Seorang doktor siswazah bertanyakan saya, bagaimana memberikan dakwah kepada pesakit. Saya agak terperanjat kerana saya bukannya ustad yang mendalami usul dakwah.
Saya diam dan memberitahu “Tunjukkan akhlak yang baik”.
Orang yang sakit selalunya mempunyai pelbagai perasaan dalam minda mereka. Mereka mahu dibantu secara fizikal, mental dan spiritual.
Semasa saya bekerja sebagai doktor siswazah dulu di Hospital Sultanah Aminah, saya pernah membantu seorang pesakit saya berusia 20an yang terbakar akibat kejutan eletrik kerana cuba mencuri pendawaian elektrik dalam bangunan terbengkalai.
Beliau terkial-kial mencapai sudu di atas meja di sebelah beliau. Saya membantu beliau dan dapat menyuapkan beberapa sudu bubur ke mulut beliau.
Mukanya masam. Tidak mengucapkan terima kasih pun. Dalam hati, bengang juga, tetapi saya betulkan niat saya balik. Saya membantu kerana ALLAH, jadi buat apa saya mahukan ucapan terima kasih pesakit saya ini.
Saya bertekad untuk menunjukkan akhlak supaya saya dapat mendekati beliau.
Setiap hari saya akan berikan air kotak soya yang besar kepada beliau.
“Minumlah air soya ni kalau haus… ”
Saya hanya menerima jelingan tajam.
Hari pertama hingga ke ketiga, kotak itu tidak terusik dan masih berada di atas meja sebelah katilnya.
Masuk hari ke empat dan seterusnya, saya lihat dia mula meminum air kotak soya yang saya berikan. Saya hanya menunjukkan “thumbs up” setiap kali saya melintasi katil beliau dan melihat minum air soya itu dengan susah payah.
Satu hari dia memanggil saya setelah saya lalu depan beliau.
“Doktor, kenapa doktor buat semua ini.. belikan saya air soya dan tujukkan ibujari doktor tu…” nada dia agak tinggi.
Kecut juga hati saya sebab saya ingatkan dia sedang marah.
Saya menjawab “sebab sayang awak. awak saudara seislam saya. kita sama-sama mengucap kalimah yang sama. saya sedih melihat keadaan awak yang menderita sakit..”
Tanpa disangka, tiba-tiba air mata dia meleleh jatuh.
Saya terperanjat sekali lagi.
Kali ini suara beliau lembut,
“Doktor, sepanjang hidup saya tiada orang yang menyayangi saya. tiada orang yang peduli saya. tiada orang yang mahu saya hidup. doktor tengok semua nurse dan doktor selalu marah dan menengking saya. Mentang-mentanglah saya ni penagih dadah..”
Saya pula yang mula sebak.
“terima kasihlah kerana doktor banyak membantu saya. membelikan saya air kotak. tak sangka doktor menghargai saya..”
Saya menjawab ringkas.. “Ïngatlah ALLAH menyayangi saudara. Apa musibah yang saudara terima sebenarnya ALLAH mahu saudara dekat padaNYA”
Tidak berapa hari kemudian, beliau dibenarkan keluar wad.
Saya merindui beliau setiap kali melintasi katil beliau. Seakan-akan beliau membalas senyuman di atas katil..
Oleh kerana wad yang saya jaga terlalu sibuk, ingatan dan rindu itu perlahan-lahan semakin pudar.
Sehingga setelah 3 tahun, ketika saya mahu solat asar di sebuah masjid di Muar, seorang lelaki menegur saya.
Wajahnya riang, jernih dan tenang. Berkopiah dan berjanggut lebat.
“Doktor Zubaidi ke?”
Saya sengih saja sebab segan bila dia menyebut nama saya agak kuat.
Dia terus memeluk saya ala orang arab.. tiga kali dan ada linangan air mata di sudut matanya.
Alhamdulillah dia sudah berubah. Bukan lagi penagih dan sudah ada kedai makan sendiri.
Saya gembira dan berjiwa hamba, mengharapkan agar akhlak saya dulu menjadi asbab kecil untuk dia berubah .. AMEEN.