Penyakit Kawasaki boleh membawa maut pada bayi dan kanak-kanak

Sewaktu saya menghadiri satu konferens mengenai penyakit kanak-kanak, antara penyakit yang ditekan ialah Penyakit Kawasaki (PK).

Ini kerana penyakit ini dapat dirawat, tetapi boleh menyebabkan kematian jika ia lambat dikesan.

Ini kerana pesakit PK yang tidak dirawat dengan betul akan mengalami kerosakan saluran darah pada jantung (coronary artery aneurysme), menyebabkan otot jantung menjadi bengkak (myocarditis), dan injap pada jantung menjadi rosak, sehingga menyebabkan jantung gagal berfungsi.

Oleh itu ibubapa tidak boleh berlengah untuk membawa anak mereka ke hospital untuk berjumpa pakar perubatan kanak-kanak bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan apabila doctor di klinik mengesyaki anak mereka mengalami tanda-tanda jangkitan penyakit Kawasaki.

Ini kerana rawatan awal menyebabkan pesakit akan pulih sepenuhnya dalam masa beberapa hari, dengan izin ALLAH.

Selalunya penyakit ini menyerang kanak-kanak berusia bawah lima tahun, terutamanya bayi yang  berusia bawah umur setahun.

Oleh itu jika anak puan mengalami demam yang berpanjangan diikuti tumbuh ruam pada tubuh, tangan dan kaki.  Muka menjadi kemerahan, anak mengadu sakit pada mulut dan lidah serta kelenjar di leher dan ketiak turut membengkak, mungkin anak itu menghidap penyakit Kawasaki.

Ada kalanya penghidap terkena cirit-birit.

Punca penyakit ini belum diketahui dengan tepat tetapi ia berkaitan dengan jangkitan virus/bakteria dan daya tahan yang lemah pada kanak-kanak.

Kebanyakan bayi yang tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia kerana lambat dibawa ke hospital selepas seminggu dijangkiti penyakit ini, akibat jantungnya membengkak.

Ibubapa sering merawat sendiri anak mereka yang demam dan meminta anak mereka diberikan ubat antibiotik ketika berjumpa dengan doctor di klinik. Ubat antibiotic tidak berkesan untuk pesakit seperti ini.

Penyakit hanya dikesan dengan menjalani pemeriksaan darah di hospital.

Doktor yang merawat kanak-kanak dengan penyakit Kawasaki lazimnya akan memeriksa terlebih dulu gejala yang timbul dan melakukan ujian darah.

Jika doctor mendapati sel darah putihnya dan bilangan sel platlet dalam darah bertambah dengan kadar dua kali ganda daripada biasa, kanak-kanak disahkan menghidap penyakit ini.

Rawatan yang diberikan untuk penyakit Kawasaki adalah menggunakan immunoglobulin yang diberi secara suntika intravena, untuk mengurangkan radang pada jantung dan menghalang kerosakan arteri koronari jika ia diberi dalam tempoh 10 hari pertama menghidap penyakit ini.

Kebanyakan kanak-kanak akan sembuh dan kembali seperti sediakala selepas dua hingga tiga minggu mendapat rawatan di hospital.

Cuma sebahagian kecil pesakit mendapat komplikasi masalah jantung kerana lambat diberikan rawatan.

Oleh itu, saya menasihatkan agar ibubapa tidak berlengah untuk membawa anak ke hospital apabila melihat tanda-tanda penyakit ini pada anak mereka.  Jika penyakit ini awal dikesan , pesakit boleh pulih sepenuhnya dalam masa beberapa hari, dengan izin ALLAH.

Wa allahu a’lam.

Leave a Reply

error: Content is protected !!