PENGENALAN KEPADA SUPER IMMUNITI
- Ramai rakan saya yang tidak sukakan testimoni. Pada saya testimoni adalah sebahagian dari bukti keserasian seseorang terhadap amalan pemakanan, ubatan atau suplemen yang dia makan. Asalkan ia diucapkan dengan rasa tanggungjawab dan kebenaran. Bukan ada niat untuk mempengaruhi orang lain. Hanya mengatakan ‘saya serasi dengan apa yang saya amalkan’. Apa salahnya dia bercerita tentang pengalamannya.
“Ia bermula dua setengah tahun lepas apabila saya memulakan semula perjalanan hidup saya dengan mengubah pemakanan saya. Mulanya amat sukar, letih dan saya hampir kehilangan semangat untuk meneruskannya. Setelah enam bulan, berat badan saya mula turun sebanyak lima kilogram, dah saya berasa sangat teruja dan kembali meneruskannya. Walaupun ia perubahan kecil dan mengambil masa yang lama, saya bersyukur kerana itulah titik tolak untuk saya memecut dalam perjalanan menjadi insan yang lebih sihat.
Saya mengambil masa yang agak lama iaitu setahun untuk menurunkan berat badan sebanyak 30kg, tetapi saya bersyukur kerana saya berasa kembali sihat.
Dulu saya kerap mengalami demam, batuk dan selsema. Rasa sakit badan dan sakit sendi. Tetapi alhamdulillah, masalah ini tidak lagi datang sekerap dulu. Bayangkan sepanjang hidup saya selama 45 tahun, saya beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru, bronchitis. Bacaan gula dan tekanan darah saya juga tinggi. Kalau dulu saya mengambil suntikan insulin dan dua jenis ubat lagi untuk mengawal diabetes saya, saya mengambil dua jenis ubat untuk mengawal tekanan darah, ubat cair darah yang menyebabkaan saya mengalami gastrik, ubat kolestrol, kesemuanya lapan jenis tablet. Alhamdulillah sekarang saya hanya mengambil dua jenis ubat sahaja, sebab doktor yang merawat memberitahu saya dapat mengawal dengan baik. Padahal saya hanya mengubah cara pemakanan saya.
Namun saya mahu beritahu, ia adalah permulaan yang susah, perjalanan hidup yang cukup mencabar dan akhirnya memberikan kehidupan yang lebih baik. Ia sangat berbaloi.
Bersyukur sangat bila dapat berjumpa dengan doktor seperti Dr Zubaidi yang faham dengan masalah saya.
-Emilia Abdullah
Ramai yang bertanya saya bagaimana mencapai tahap immuniti yang terbaik? Maksudnya bagaimana mendapat keadaan di mana tidak kerap jatuh sakit, kalau jatuh sakit pun tidak terlalu teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital?
Saya sering memberitahu, banyakkanlah berdoa kerana Allah lah yang memberikan kita sakit sebagai ujian dariNYA dan memberikan kesembuhan sebagai anugerah dariNYA.
Sebagai manusia kita hanya mampu berusaha untuk mendapat apa yang kita hajati, dan usaha kita adalah sebahagian dari doa. Allah akan mengkabulkan doa hambaNya yang berusaha. Amin.
Bagi menjawab soalan tentang immuniti tadi, saya memberitahu bahawa tahap immuniti yang terbaik (Super Immunity) dapat dapat dicapai apabila sistem pertahanan tubuh mencapai keupayaan sepenuhnya.
Dalam dunia sains perubatan sekarang telah membuktikan bahawa faktor pemakanan dapat menggandakan kuasa perlindungan sistem pertahanan tubuh kita. Ia juga melemahkan sistem ini jika kita memilih makanan yang tidak sesuai dengan tubuh.
Saintis percaya makanan yang bernutrisi akan membekalkan sebatian molekul tertentu yang merangsangkan peningkatan perlindungan ini. Dengan ini kita dapat mempertingkatkan pertahanan tubuh dengan lebih baik.
Mengapa sistem pertahan yang terbaik (Super Immuniti) ini lebih diperlukan sekarang? Ini kerana kita sekarang terdedah dengan pelbagai jangkitan virus. Di Amerika Syarikat, setiap orang dewasa dijangka mengalami selsema akibat jangkitan virus sebanyak dua hingga empat kali setiap tahun. Dan kerajaan Amerika Syarikat membelanjakan sebanyak USD40 billion setiap tahun untuk merawat rakyat mereka, secara langsung dan secara tidak langsung.
Dengan pengistiharan terhadap beberapa jangkitan virus yang baru ditemui, bermakna saintis masih berada dalam kegelapan memahami bagaimana jangkitan ini dapat dikawal, virus dapat dibunuh dan pesakit dapat dirawat. Oleh itu mereka tidak menemukan sebarang ubat yang spesifik untuk merawat jangkitan virus, hanya rawatan simptomatik yang memberikan kelegaan terhadap masalah simptom yang dihadapi oleh pesakit.
Oleh sebab itulah kita sebaiknya memastikan sistem pertahanan tubuh kita kuat dan tahu bagaimana kita dapat melindungi diri kita dan keluarga kita dari jangkitan ini.
Apabila kita telah dijangkiti penyakit, kita mungkin mengalami kesengsaraan untuk beberapa minggu dan paling teruk kita mungkin akan mengalami masalah kerosakan paru-paru, jantung atau ginjal. Sudah tentulah pada masa itu kita agak terlambat. Kita harus mendapatkan rawatan.
Sistem daya tahan kita juga mengelakkan kita dari penyakit kronik dan kanser. Sel darah putih dan komponen sistem pertahan darah kita, bukan saja dapat melawan jangkitan kuman, tetapi juga dapat mengenal sel-sel yang berpotensi menjadi sel-sel kanser.
Oleh itu perlulah kita mencari jalan agar sistem daya tahan kita menjadi kuat, sebagaimana sebuah negara harus memperkuatkan pertahanan dengan memperkukuhkan angkatan tentera (bagi melindungi serangan luar) dan pasukan poli (untuk melindungi rakyat dari jenayah dalam negara).
Insya Allah dengan sistem daya tahan yang kuat, kita dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik, dan beramal ibadah dengan lebih sempurna.
Amin.
#HealthDrZubaidi
#SuperImmunityDrZubaidi
KONSULTASI BERSAMA DR ZUBAIDI
Jika berminat mendapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi, boleh klik di link ini
MODUL KELAS PEMAKANAN PESAKIT KANSER
Pelajari dan ketahui pemakanan yang baik dan tidak baik kepada pesakit kanser melalui Modul Kelas Kanser dan Pemakanan oleh Dr Zubaidi
Dr Zubaidi Hj Ahmad Menulis Perkongsian Pengetahuan dan Pengalaman

