“Assalamu alaikum, doctor. Saya ingin berkongsi pengalaman dan cerita. Setahun yang lepas, adik perempuan saya mengalami ‘penyakit misteri’ dan dikatakan buatan orang. Ini kerana adik saya menolak pinangan orang. Beberapa hari selepas itu, adik saya mengalami demam yang agak kuat. Beliau tidak boleh bangun dan dihantar ke hospital. Doktor tidak dapat mengenalpasti punca sebenar punca demam adik saya. Beliau disuruh pulang. Keadaannya bertambah baik.
Selang beberapa hari, adik saya demam semula. Dia tidak mampu bergerak untuk beberapa minggu dan terpaksa berhenti kerja.
Dia tidak boleh berjalan, dan terpaksa merangkak ke bilik air. Saya sangat sedih dan menagis melihat keadaannya.
Kami membawanya ke hospital semula. Saudara-mara semua mahukan adik saya dihantar berjumpa bomoh atau ustaz bagi membuang sihir.
Saya berkeras membawa adik saya ke hospital. Alasan saya jika dia tidak sembuh, barulah dibawa berjumpa dengan ustaz atau bomoh.
Adik saya ditahan di hospital selama sebulan. Akhir sekali barulah disahkan menghidap penyakit SLE. Sekarang dia sudah sihat dan boleh berjalan dan bekerja. Cuma apa yang saya hairankan mengapa doctor mengambil masa agak lama untuk mendiagnosa adik saya.
Saya harap cerita saya menjadi pengajaran bagi yang lain..Terima kasih doctor.”
Wa alaikum mus salam.
Saya bersimpati dengan masalah yang adik puan hadapi. Saya juga ucapkan tahniah kerana beliau sangat tabah menghadapi ujian yang ALLAH berikan dan berdoa agar beliau diangkat darjatnya menjadi hamba-hamba NYA yang dikasihi.
Untuk mengesahkan seorang pesakit mengidap penyakit SLE bukanlah suatu perkara yang mudah. Kadangkala para doktor mengambil masa yang lama berbulan atau bertahun untuk mengesan SLE.
Itu pun jika pesakit datang secara berterusan kepada seorang doktor untuk mendapat rawatan. Dengan cara ini semua gejala dapat dikumpul dan direkodkan.
Dalam pada masa yang sama ramai pesakit yang sudah berputus asa dengan rawatan hospital kerana doctor masih belum tahu punca sebenar masalah mereka. Pesakit terpaksa berulang ke hospital dan berjumpa dengan doctor yang berlainan.
Mereka berjumpa dengan dukun dan bomoh serta mencuba pelbagai rawatan alternative lain sehingga keadaan mereka menjadi tidak terkawal dan menjadi kronik.
Saya menasihatkan wanita dan gadis yang mempunyai masalah seperti ini tidak berputus harap dengan rahmat ALLAH. Harus bersikap positif dan mendapatkan sokongan keluarga.
Doktor di hospital sebenarnya bekerja keras untuk mengenal pasti punca penyakit. Malangnya tidak ada satu sahaja ujian untuk mengesahkan diagnosa penyakit dengan tepat.
Pesakit harus menjalani pemeriksaan darah dan air kencing untuk menganalisa antibodi yang menyebabkan penyakit SLE, seperti antibodi antinuklear (ANA).
Selain itu ada beberapa lagi ujian lain seperti ujian untuk anti-DNA, anti-Sm, anti-RNP, anti-Ro (SSA), dan anti-La (SSB).
Kadang kala doctor terpaksa melakukan ujian biopsi bagi membantu mencari punca penyakit. Antara sampel tisu yang mungkin diambil ialah tisu kulit, tisu buah pinggang, dan sebagainya.
Selain itu, ujian biasa yang selalu dilakukan untuk memantau perkembangan penyakit SLE adalah “FBC” (Full Blood Count), “blood chemistry”, “ESR” (erythrocyte sedimentation rate) dan ujian air kencing. Ini dapat memberi maklumat yang penting.
Satu lagi ujian yang biasa dilakukan ialah mengukur paras darah yang dipanggil “complement”. Keputusan ujian darah “ESR” bagi pengidap SLE biasanya lebih tinggi bacaannya, tetapi bacaan paras “complement” darahnya adalah rendah terutama semasa penyakit itu sedang dalam peringkat aktif (flare).
Ujian X-ray dan ujian-ujian pengimejan yang lain boleh juga membantu dalam memastikan jika ada organ-organ lain yang terjejas.
Kesimpulannya, bukan mudah mendiagnosa seseorang pesakit mengalami penyakit SLE. Proses diagnose ini mengambil banyak masa, kos dan pengorbanan dari pesakit itu sendiri.
Janganlah berputus harap dari rahmat ALLAH.
Wallahu a’lam.