Kencing berdarah disebut hematuria dalam istilah perubatan.
Ada yang mengadu air kencingnya menjadi merah kerana terdapat banyak darah. Ada yang tidak menyedari mempunyai air kencing berdarah kerana terdapat hanya sedikit darah dan hanya diketahui dengan pemeriksaan air kencing.
Darah dalam air kencing boleh berasal dari glomerular, iaitu struktur asas ginjal yang menapis darah dan menghasilkan air kencing. Selalunya ia menyebabkan sedikit darah yang berada dalam air kencing tanpa disedari oleh pesakit.
Pendarahan ini juga boleh berasal dari struktur lain seperti saluran air kencing dan pundi kencing.
Terdapat beberapa punca yang biasa berlaku. Antaranya jangkitan kuman ada pundi dan saluran kencing. Batu karang boleh menyebabkan luka kecil dan menghasilkan air kencing berdarah. Demam yang kuat dan senaman yang agresif atau melakukan pekerjaan fizikal yang berat boleh menyebabkan kencing berdarah.
Ada juga penyakit sistemik yang saja merosakkan ginjal tetapi organ yang lain. Antaranya penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE).
Oleh itu mereka yang disyaki mengalami pendarahan dalam air kencing harus melakukan pemeriksaan air kencing iaitu Urine Full Examination and Microscopic Examination(UFEME). Air kencing pesakit akan diperiksa di bawah mikroskop bagi mengesan kehadiran darah.
Jika ia disahkan, pesakit mungkin menjalani pemeriksaan lain seperti x-ray ataupun ultrasound scan bagi mengesan batu karang.
Pemeriksaan cytoscopy pula adalah prosedur melihat ke dalam pundi kencing menggunakan saluran tiub berkamera.
Bagi masalah jangkitan kuman pada saluran air kencing, doktor akan berikan antibiotik dan serbuk yang dibancuh untuk menjadikan air kencing lebih beralkali bagi tujuan merencat pembiakan bakteria dalam pundi kencing.
Bagi masalah batu karang, batu dalam saluran kencing menyebabkan terdapat sumbatan menghalang air kencing mengalir ke pundi kencing. Doktor akan masukkan alat yang dipanggil stent untuk bagi memudahkan air kencing mengalir ke pundi. Kemudian pembedahan perlu dibuat untuk mengeluarkan batu tersebut.
Kesimpulannya, air kencing berdarah sama yang jelas kelihatan atau tidak, memerlukan pemeriksaan lanjut. Jangan biarkan ia menjadi lebih parah.
Semoga bermanfaat.
#HealthDrZubaidi