
MRI OTAK : KANSER ATAU BENIGN
“Assalamualaikum Dr. Zubaidi.
Saya ingin memohon sedikit pencerahan. Saya telah menjalani MRI otak dan keputusannya menunjukkan ada ketumbuhan pada bahagian kiri otak.
Saya buat MRI kerana saya sering mengalami sawan dan hilang kesedaran.
Doktor di hospital memaklumkan bahawa untuk mengetahui sama ada ketumbuhan ini adalah kanser atau bukan, perlu dilakukan biopsi.
Buat masa ini saya memilih untuk tidak melakukannya kerana risikonya.
Sekarang saya sedang mengamalkan rawatan homeopati dan beberapa suplemen seperti PHS, minyak zaitun, minyak kelapa dara dan lain-lain.
Soalan saya: berdasarkan laporan MRI ini, adakah ketumbuhan ini kelihatan seperti kanser, atau ia mungkin jenis ketumbuhan yang lain?
Terima kasih Dr Zubaidi.”
Waalaikumussalam warahmatullah.
Terima kasih atas soalan dan kepercayaan yang diberikan.
Berdasarkan laporan MRI otak yang puan sertakan, terdapat satu ketumbuhan intra-axial (dalam tisu otak) di lobus frontotemporal kiri.
Saiz anggaran ketumbuhan: 4.85 x 3.64 x 3.98 cm.
Ada sedikit midline shift iaitu otak teranjak ke kanan sebanyak 3.9mm, menunjukkan ada tekanan dari ketumbuhan.
Tiada pendarahan, tiada penyebaran yang jelas ke kawasan lain.
Jadi ciri-ciri ini menunjukkan ketumbuhan yang aktif dan besar, tetapi MRI sahaja tidak boleh mengesahkan sama ada ia kanser (malignan) atau ketumbuhan jinak (benign) seperti DNET (dysembryoplastic neuroepithelial tumor), meningioma atau low-grade glioma.
Oleh itu, biopsi adalah satu-satunya cara yang tepat untuk menentukan jenis sebenar ketumbuhan ini.
Mengenai rawatan alternatif, suplemen seperti minyak zaitun dan minyak kelapa dara ada manfaat antioksidan dan anti-radang yang baik untuk kesihatan otak secara umum.
Namun, ia tidak dapat menggantikan diagnosis yang tepat atau rawatan perubatan konvensional, terutama bila melibatkan ketumbuhan besar yang memberi tekanan kepada otak.
Saranan saya sebagai doktor:
1. Jika puan belum bersedia untuk biopsi, buat pemantauan berkala (repeat MRI setiap 3-6 bulan) untuk melihat perubahan saiz dan sifat ketumbuhan. Ini pun setelah berbincang dengan doktor yang merawat.
2. Berbincang dengan pakar bedah saraf tentang risiko sebenar biopsi dan alternatif yang ada.
3. Jika sawan semakin kerap atau simptom bertambah teruk, itu tanda tekanan otak meningkat dan mungkin perlu tindakan segera.
4. Teruskan gaya hidup sihat, tidur cukup, elakkan stres dan amalkan pemakanan anti-radang.
Semoga Allah beri kesembuhan dan ketenangan.
Saya doakan yang terbaik dalam setiap ikhtiar yang sedang dilakukan.
Dr Zubaidi Hj Ahmad
Doktor. Motivator. Coach Wellness A’aFIYAT
#HealthDrZubaidi
#drzubaidimenjawab