MENGGUNAKAN MOUTHWASH BOLEH MENYEBABKAN DIABETES?
“Assalamualaikum, doctor. Saya sering menggunakan pencuci mulut (mouthwash) setiap kali selepas menggosok gigi. Saya diberitahu oleh kawan saya berdasar pembacaan journal, bahawa menggunakan mouthwash adalah berbahaya, boleh menyebabkan penyakit terutama diabetes. Mohon pencerahan doctor jika ianya benar. Terima kasih”
Walaikumusalam. Terima kasih bertanya.
Saya ingin memberitahu puan bahawa saya bukanlah doktor gigi. Tetapi pertanyaan puan berkaitan dengan produk dan penyakit diabetes, saya menjawab dari sudut pencegahan penyakit.
Kebanyakan produk pencuci mulut (mouthwash) di pasaran mengandungi bahan antibakteria seperti berikut:
- Chlorhexidine
- Cetylpyridinium chloride
- Triclosan
- Alkohol
- Fluorida
- Peroksida
Bahan-bahan aktif ini berfungsi untuk membunuh bakteria yang menyebabkan keradangan gusi dan kerosakan gigi. Tetapi sebatian kimia ini juga membunuh bakteria yang baik di mulut yang menghasilkan sebatian Nitric Oxide (NO). Di dalam badan, nitric oxide membantu mengembangkan darah, dengan ini dapat melancarkan pengaliran darah dan merendah tekanan darah.
Nitric Oxide juga meningkatkan pengeluaran insulin dan mengurangkan masalah insulin resistance. Apabila koloni bakteria baik ini dimatikan, penghasilan insulin mungkin terganggu dan tahap gula dalam tubuh mungkin akan meningkat. Dengan ini akan meningkatkan risiko mendapat penyakit diabetes.
Terdapat kebimbangan para saintis terhadap penggunaan pencuci mulut ini yang terlalu kerap untuk menjaga kebersihan gigi dan mulut. Persatuan Pergigian British mencadangkan penggunaan pencucui mulut ini sekali dalam sehari. Namun apa yang perlu ditekankan adalah:
- Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Waktu pagi dan waktu malam sebelum tidur. Mencuci gigi selepas makan juga amalan yang baik.
- Gunakan ubat gigi berflorida.
- Berus gigi dengan teknik yang betul.
- Bersihkan lidah semasa memberus gigi.
Kesimpulannya penggunaan pencuci mulut (mouthwash) tidak berbahaya kecuali digunakan berkali-kali dalam sehari. Penggunaannya hanya membantu membersihkan gigi dan mulut, bukanlah kaedah utama membersihkan gigi dan mulut. Gunakannya sekali atau dua kali sehari. Pastikan ia tidak terlalu pekat.
Rujukan:
- Joshipura K J, Munoz-Torres F J, Morou-Bermudez E, Patel R P . Over-the-counter mouthwash use and risk of pre-diabetes/diabetes. Nitric Oxide 2017; 71: 14–20.
- Zahra Bahadoran, Parvin Mirmiran, Asghar Ghasemi. Role of Nitric Oxide in Insulin Secretion and Glucose Metabolism. Endocrinology & Metabolism. Volume 31, Issue 2, February 2020, Pages 118-130.