“Assalamualaikum Dr Zubaidi. Sejak mula mengambil ubat dapagliflozin, saya perasan kerap buang air kecil. Adakah ini kesan biasa ubat tersebut atau merupakan kesan sampingan yang perlu dibimbangkan? Terima kasih”.
********
Waalaikumussalam.
Ya, kerap buang air kecil selepas mengambil dapagliflozin adalah biasa dan merupakan kesan farmakologi utama ubat tersebut, bukan sekadar kesan sampingan.
Dapagliflozin ialah ubat dalam kumpulan SGLT2 inhibitor (sodium-glucose co-transporter 2 inhibitor).
Ubat ini digunakan untuk:
✅ Mengawal paras gula dalam darah pesakit diabetes jenis 2.
✅ Digunakan juga untuk pesakit gagal jantung dan masalah buah pinggang kronik.
Dapagliflozin bertindak menyekat protein SGLT2 dalam buah pinggang. Ini menyebabkan:
✅ Glukosa yang berlebihan disingkirkan melalui air kencing.
✅ Bila lebih banyak glukosa keluar melalui air kencing, ia juga menarik air keluar bersama — sebab itu kerap kencing berlaku.
Secara tidak langsung ia memberikan kesan positif, antaranya :
✅ Menurunkan paras gula darah secara semula jadi tanpa merangsang insulin.
✅ Membantu penurunan berat badan sedikit (kerana kehilangan kalori melalui air kencing).
✅ Menurunkan tekanan darah (kerana kesan diuretik ringan).
✅ Mengurangkan risiko kegagalan jantung dan kerosakan buah pinggang.
Namun begitu, kesan sampingan yang perlu diperhatikan yang mungkin mengganggu , akibat kerap kencing, adalah:
1. Dehidrasi – boleh menyebabkan pening, terutama bila berdiri cepat.
2. Jangkitan salur kencing atau faraj – kerana gula dalam air kencing boleh jadi tempat pembiakan bakteria/kulat.
3. Banyak gula dalam air kencing (glukosuria) – walaupun ini dikehendaki untuk menurunkan gula, tapi pesakit perlu pastikan hidrasi mencukupi.
4. Ketoasidosis diabetik (jarang, tapi serius) – walaupun gula tidak terlalu tinggi, boleh berlaku pada sesetengah orang.
Jadi kerap kencing mungkin mengganggu rutin seharian, pesakit terpaksa menerima kenyataan ini dan harus melakukan beberapa langkah:
✅ Minum air secukupnya, tapi elakkan minuman manis.
✅ Pantau tekanan darah dan paras gula.
✅ Elakkan berdiri terlalu cepat.
✅ Beritahu doktor jika mengalami gejala seperti sangat haus, lemah, pening keterlaluan, atau tanda-tanda jangkitan.
Jadi kerap buang air kecil selepas makan dapagliflozin adalah tindak balas yang dijangka, kerana ubat itu menyebabkan glukosa disingkirkan melalui air kencing.
Ia biasanya tidak membahayakan jika minum air secukupnya dan tidak mengalami tanda dehidrasi.
Namun, jika gejala mengganggu atau ada kesan luar biasa, segera maklumkan kepada doktor.
Semoga bermanfaat.
#HealthDrZubaidi
#drzubaidimenjawab
Anda ada banyak soalan? Dapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi melalui Live Zoom, boleh daftar di link https://needsvenue.onpay.my/order/form/20mindrz