KANSER PAYUDARA LEBIH SUKAR UNTUK DIKESAN PADA WANITA YANG OBESE

“Assalamualaikum, Dr Zubaidi. Saya ingin bertanya, benarkah wanita yang obese mudah mendapat kanser payudara walaupun tiada sejarah keluarga yang menunjukkan mereka berisiko?”

Walaikumusalam.

Memang benar wanita yang obese lebih mudah mendapat kanser payudara berbanding dengan mereka yang tidak obese. Dalam satu terbitan dalam journal Endocrine-Related Cancer, wanita yang obese lebih mudah mendapat kanser payudara, lebih mudah sel-sel kanser bergerak ke seluruh badan (metastasis) dan lebih sukar dirawat berbanding dengan wanita yang tidak obese.

(rujukan: A M Lorincz, S Sukumar. Molecular links between obesity and breast cancer. Endocrine-Related Cancer. Volume 13. 2 Page(s): 279–292)

Ini kerana peningkatan lemak dikaitkan dengan peningkatan tahap keradangan dalam badan dan ia juga menyebabkan meningkatkan penghasilan hormon estrogen. Peningkatan keradangan meningkatkan risiko kerosakan DNA yang kemudiannya membawa kepada keadaan pertumbuhan sel yang tidak normal, atau sel kanser.

Tisu lemak atau tisu adiposa yang terkumpul banyak dalam badan juga menghasilkan terlalu banyak estrogen. Tahap estrogen yang tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara, kanser endometrium, dan kanser ovari.

Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa obesiti boleh menghalang pengesanan kanser payudara apabila pesakit diperiksa dengan pemeriksaan mammogram. Mencapai berat badan ideal adalah penting untuk meningkatkan prestasi pemeriksaan mamografi.

(rujukan: Lee, K., Kruper, L., Dieli-Conwright, C. M., & Mortimer, J. E. (2019). The Impact of Obesity on Breast Cancer Diagnosis and Treatment. Current oncology reports, 21(5), 41.)

Kebanyakan wanita yang obese terlambat untuk berjumpa doktor untuk didiagnosa sebagai pesakit kanser, antaranya disebabkan saiz payudara mereka lebih besar sehingga lebih rumit untuk mengesan tumor dan kanser. Tumor dan kanser pada orang obese juga berkembang pada kadar yang sangat cepat.

Oleh itu pemeriksaan yang lebih berhati-hati terhadap wanita yang obese perlu dilakukan bagi mengelakkan mereka terlepas (misdiagnosis) dari dikesan mempunyai kanser payudara.

Semoga menjawab soalan yang diajukan.

#HealthDrZubaidi

Note: Pengambilan minyak zaitun sebagai makanan bernutrisi yang bersifat anti-keradangan membantu mencegah kanser payudara.

Leave a Reply

error: Content is protected !!