DOKTOR SAYA MAHU PILIH LEMAK YANG MANA?
Assalamualaikum, doctor. Dalam banyak ceramah pemakanan yang doctor sampaikan, selalu doctor gunakan perkataan “lemak sihat” dan mengkaitkannya dengan minyak zaitun. Apa yang doctor maksudkan dengan “lemak sihat” dalam minyak zaitun itu? Terima kasih.
Walaikumusalam. Terima kasih kerana bertanya.
Minyak zaitun yang terbaik adalah minyak zaitun yang dihasilkan tanpa menjalani banyak proses melibatkan bahan kimia. Minyak Zaitun Dara (atau Virgin Olive Oil) merujuk kepada penghasilan minyak zaitun yang diperah secara mekanikal, tanpa menggunakan haba. Minyak ini adalah minyak atau lemak yang sihat kerana mengandungi unsaturated fatty acid (asid lemak tidak tepu). Minyak zaitun kaya dengan monounsaturated fatty acid (MUFA) (80%) dan polyunsaturated fatty acid (PUFA) (15%). Sebab itu minyak zaitun dikatakan sebagai minyak atau lemak sihat.
Jika kita menggantikan pengambilan lemak trans dan lemak tepu, dengan MUFA dan PUFA, kesihatan kita akan menjadi lebih baik. Menurut terbitan journal, European Journal of Nutrition & Food Safety (2016), pengambilan MUFA dan PUFA dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit kardiovaskular. Ia juga merendahkan tahap jumlah kolestrol dan tahap ‘kolestrol jahat’ (LDL) dalam darah. Oleh kerana minyak zaitun adalah lemak yang memberikan tenaga yang banyak, hadkan pengambilannya. Saya cadangkan satu atau dua sudu besar minyak zaitun, satu atau dua kali sehari.
Pilih makanan yang kaya dengan asid lemak MUFA dan PUFA seperti minyak zaitun bagi menggantikan pengambilan margarine dan mentega. Namun jangan menganggap kita dapat menjadikan makanan kita menjadi lebih sihat hanya dengan menambahkan minyak zaitun ke dalam makanan yang tidak berkhasiat.
Semoga menjawab soalan.
#HealthDrZubaidi