Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » JADIKAN WAKTU MALAM UNTUK BEREHAT DAN MEMPERBANYAKKAN AMAL

JADIKAN WAKTU MALAM UNTUK BEREHAT DAN MEMPERBANYAKKAN AMAL

JADIKAN WAKTU MALAM UNTUK BEREHAT DAN MEMPERBANYAKKAN AMAL

(Peringatan untuk diri sendiri)

Allah menyebut dalam al-Quran dalam banyak tempat bahawa Dia menjadikan malam itu untuk manusia berehat dan tidur dan waktu siang dijadikan untuk manusia mencari kelebihan-kelebihan yang dikurniakan oleh Allah.

Pertama: “Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” Surah AlMu-min. Ayat 061.

Kedua: “Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan malam untuk mereka berehat padanya dan menjadikan siang terang-benderang? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.” Surah AnNaml. Ayat 086.

Ketiga: “Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya).” Surah Yunus. Ayat 005.

Keempat: “Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) – masa untuk mencari rezeki?” Surah al-Naba’ 9 – 11

Kesimpulannya dengan jelas Allah menyebut banyak kali yang maksudnya Dia telah menjadikan malam untuk kita tidur itu sebagai kerehatan untuk badan kita, dan siang pila sebagai masa untuk mencari rezeki.

Malam itu selain untuk berehat, menenangkan diri dari kesibukan di siang hari, Allah menyebut dalam surah al-Muzzammil ayat 6 yang maksudnya sesungguhnya ibadah pada saat-saat waktu malam itu lebih kuat kesannya ke atas jiwa dan lebih lurus bacaan kita (lebih kusyuk).

“Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya” Surah Al-Muzzammil 6)

Digalakkan beribadah pada waktu malam itu kerana pada siang harinya manusia itu banyak urusan dan kesibukan yang memanjang.

Dari ayat-ayat yang dibawakan di atas, menunjukkan bahawa waktu siang dan malam itu mempunyai fungsinya yang tersendiri. Waktu siang itu digunakan untuk melaksanakan pekerjaan dan tugas kita masing-masing. Manakala waktu malam itu, menurut al-Quran, ia digunakan untuk dua perkara; untuk tidur berehat dan untuk beribadah. Maka sepatutnya beginilah pembahagian masa bagi seorang Muslim itu.

Semoga Allah memberi kita petunjuk dan kekuatan untuk melaksanakan ketentuan ini. Allah menyebut dalam surah al-Isra’ ayat 19 yang maksudnya : “Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang sepatutnya baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya”.

Semoga kita mendapat manfaat.

#HealthDrZubaidi

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: