“Assalamu alaikum dokter, saya baru-baru ini disahkan kehamilan kembar dan usia kehamilan saya ialah 20 minggu. Akibat kesibukan bekerja sebagai operator di sebuah kilang (majikan saya tidak menggalakkan saya kerap keluar dari kilang untuk ke klinik) maka saya terlepas beberapa tarikh pemeriksaan antenatal.
Malangnya saya pula dimarahi oleh jururawat dan bidak di Klinik Ibu dan Anak. Mereka mengatakan bahawa saya menémpah bahaya kerana gagal datang pada tarikh yang ditetapkan.
Adakah “menempah bahaya” disebabkan saya hamil kembar? Mohon pencerahan. Terima kasih.”
WA ALAIKUM MUS SALAM.
Saya memahami dan bersimpati dengan masalah. Saya juga tidak bersetuju dengan cara majikan puan melayan puan sebagai pekerja, dengan tidak membenarkan puan menjalani pemeriksaan prenatal terutama ketika puan sedang hamil kembar.
Ini kerana semua kehamilan kembar adalah kehamilan yang berisiko tinggi kerana boleh membawa kepada banyak komplikasi.
Namun begitu ramai wanita yang tidak menyangka mereka hamil kembar. Hanya dengan pemeriksaan mesin ultrasound, kehamilan ini dapat dikesan pada peringkat awal.
Selain dari factor keturunan, kehamilan kembar juga disebabkan oleh penggunaan ubat-ubatan untuk rawatan ketidaksuburan.
Pengambilan pil subur clomiphene citrate boleh menyebabkan rangsangan bagi pengeluaran telur ovum yang banyak dalam kelenjar ovari.
Kehamilan dengan teknik IVF dan penggunaan suntikan gonnadotrophin untuk merangsang ovulasi juga boleh mengakibatkan kehamilan kembar.
Kehamilan kembar boleh dibahagikan kepada kembar seiras dan kembar tidak seiras.
Kembar seiras disebabkan oleh belahan pada satu ova yang telah disenyawakan kepada dua embrio. Embrio boleh mempunyai uri yang berasingan atau berkongsi uri.
Masalah komplikasi yang sering dikaitkan dengan kehamilan kembar adalah kelahiran pramatang.
Jika semasa kehamilan, kehamilan seperti ini tidak diberikan perhatian, ia boleh menyebabkan pertumbuhan bayi yang perlahan dalam rahem akibat bekalan darah yang terpaksa dikongsikan.
Kematian bayi bayi dalam rahem juga boleh berlaku, selain keguguran dan kecacatan.
Ibu yang hamil juga boleh mengalami masalah tekanan darah tinggi semasa hamil (pregnancy induced hypertension), kekurangan sel darah merah (anaemia), dan mengalami air tuban yang banyak dalam rahem.
Kedudukan bayi dalam rahem juga berada dalam keadaan yang tidak normal, sama ada kedudukan bayi itu melintang atau menyongsang, dan selalunya menyebabkan kelahiran secara pembedahan Caesarean.
Disebabkan masalah komplikasi komplikasi inilah maka kehamilan kembar dikategorikan sebagai kehamilan yang berisiko tinggi. Oleh itu kehamilan kembar memerlukan penjagaan antenatal yang lebih teliti dan lebih kerap.
Wallahu a’lam.