BRAIN ANEURYSM IBARAT BOM JANGKA DI DALAM KEPALA
Pernah dengar berita seorang pekerja yang terlalu stress dengan pekerjaan terpaksa melakukan kerja lebih masa setiap hari, tidak cukup tidur, dan tidak mendapat makanan sesimbang untuk beberapa minggu, tiba-tiba mengadu sakit kepala dan akhirnya meninggal dunia? Tentu menghairankan kerana beliau mungkin tiada penyakit tekanan darah tinggi (hipertensi).
Beliau mungkin mengalami pendarahan dalam otak (haemorrhagic stroke) akibat kebocoran saluran darah pada bahagian yang sangat lemah. Bahagian yang lemah ini selalunya akibat pembentukan aneurysm yang berlaku sejak dilahirkan (faktor keturunan) yang selalunya berlaku pada orang yang muda. Pada orang yang berusia, ia berlakuk akibat proses atherosclerosis yang menyebabkan dinding saluran darah menjadi keras dan lemah.
Seseorang boleh mendapat ‘brain aneurysm’ kerana faktor genetik atau kerana salur darah yang bertukar menjadi keras (atherosclerosis) dan faktor usia.
Jadi apa itu ‘brain aneurysm’?. Ia adalah gelembungan yang berlaku pada saluran darah arteri yang berada pada otak apabila terdapat bahagian pada saluran darah tertentu yang lemah. Biasanya ia berada di bahagian pangkal otak yang dinamakan ‘Circle of Willis’.
Kes saluran darah menjadi pecah akibat naeurysm ini lebih banyak berlaku pada wanita, pesakit hipertensi, dan perokok tegar.
Bolehkah aneurysm ini dikenalpasti di peringkat awal? Selalunya ia tidak memberikan sebarang tanda. Apabila keadaan menjadi kritikal, sebagai contoh mengalami sakit kepala yang terlalu kuat dan pemeriksaan MRI dilakukan, barulah dikesan masalah ini. Pemeriksaan lanjut dilakukan untuk mengetahui keadaan sebenar aneurysm ini. Selain dari itu pesakit yang mengalami masalah sakit kepala yang kuat bersama pandangan yang kabur, rasa lemah pada tubuh badan dan mengalami sawan, mungkin mengalami masalah aneurysm yang semakin membesar.
Jika ia tidak dikesan lebih awal, ia menyebabkan kebocoran dan darah dari saluran darah masuk ke ruang dalam otak. Ini akan menyebabkan tekanan di dalam otak akan meningkat dan menyebabkan sel-sel otak terjejas. Akhirnya menunjukkan tanda-tanda seseorang individu itu mengalami stroke.
- Sakit kepala yang sangat kuat
- Muntah berterusan
- Rasa lemah seluruh tubuh
- Tidak boleh bertutur dengan baik
- Mengalami sawan
- Pengsan
Apakah jenis rawatan yang boleh dilakukan?
Tujuan rawatan dilakukan adalah untuk mengelakkan pendarahan berlaku disamping mengekalkan fungsi salur darah yang terlibat.
Pada masa ini, terdapat 2 jenis rawatan:
1. Pembedahan
‘Clip’ istimewa diletakkan pada bahagian pangkal aneurysm semasa pembedahan berlaku merupakan rawatan yang standad dengan peratus kejayaan yang tinggi. Sepanjang 20 tahun yang lepas, pelbagai kemajuan dalam teknik pembedahan termasuk ‘clipping’ secara pembedahan mikro dengan risiko yang sangat rendah.
2. Terapi endovaskular
Ini merupakan alternatif kepada pembedahan.
‘Angiogram’ otak akan dilakukan dan alat istimewa yang dinamakan ‘coils’akan diletakkan di dalam aneurysm semasa prosedur ini dilakukan. ‘Coils’ ini akan menyebabkan ‘aneurysm’ tersumbat, kemudian darah beku terhasil dan seterusnya ‘aneurysm’ tersebut menjadi keras. Proses ini dapat menghalang aneurysm dari pecah dan mengakibatkan pendarahan otak.
Sumber: Society of NeuroInterventional Surgery (SNIS)
Apakah prognosis pesakit yang mempunyai ‘brain aneurysm’?
‘Aneurysm’ yang kecil mungkin tidak disedari oleh pesakit itu sepanjang hayatnya.
Jika aneurysm in pecah dan pendarahan dalam otak berlaku, 40% daripada kes-kes sebegini berakhir dengan kematian dalam masa 24 jam pertama. Dua puluh lima peratus lagi maut dalam masa 6 bulan pertama.
Pesakit yang menerima rawatan bagi aneurysm yang belum pecah, memerlukan masa yang kurang untuk proses rehabilitasi berbanding dengan mereka yang mempunyai aneurysm yang sudah pecah. Proses rehabilitasi bagi mereka ini mungkin mengambil masa berminggu-minggu sehingga berbulan-bulan.
Dr Zubaidi Hj Ahmad Menulis Perkongsian Pengetahuan dan Pengalaman
