Saya jarang berjumpa dengan kanak-kanak yang mengalami bisul sekarang. Mungkin tahap kesedaran ibubapa dan pendidikan kesihatan di sekolah telah berjaya mendidik kanak-kanak di peringkat sekolah rendah lagi tentang kentingnya kebersihan diri.
Bagi kanak-kanak yang melakukan aktiviti lasak di sekolah, dan kebersihan diri tidak dipantau oleh ibubapa yang mungkin bekerja, mungkin akan mengalami bisul.
Bisul adalah pengumpulan nanah di bawah kulit. Orang kita menganggap kelompang pada kulit yang berwarna kuning (nanah) itulah bisul. Namun pengumpulan nanah akibat jangkitan kuman yang kronik boleh berlaku pada mana-mana tisu dalam tubuh, seperti otak, hati dan ginjal.
Dalam Bahasa Inggeris nanah disebut pus, sementara pengumpulan nanah disebut pustule (jika saiznya kecil) dan abscess jika saiznya besar.
Proses pembentukan nanah adalah salah satu proses tindak balas daya tahan melawan penyakit (immunity) tubuh kita untuk menghalang penyebaran kuman (terutamanya bakteria) kepada bahagian tisu badan yang lain.
Ketika kuman sudah memasuki tisu badan, dan mula merosakkan sel-sel, sistem dayatahan tubuh akan dirangsangkan dan menyebabkan pembebasan cytokines ke dalam perederan darah. Cytokines ini akan menyebabkan tindakbalas keradangan. Ini akan menarik jutaan sel-sel darah putih untuk datang ke bahagian tersebut untuk membunuh kuman-kuman di situ.
Kuman dan tisu badan yang mati berkumpul dan membentuk nanah. Dalam pada masa yang sama, sel-sel sihat yang bersebelahan dengan kawasan tersebut akan membentuk dinding untuk menyekat nanah ini merebak ke tisu yang lain. Pengumpulan nanah dalam dinding (yang disebut kapsul) ini membentuk bisul.
SIMPTOM-SIMPTOM
Tanda-tanda suatu tisu badan mengalami bisul ialah apabila tisu itu mengalami radang akibat jangkitan kuman dan membentuk nanah ialah kawasan itu menjadi kemerahan, rasa sakit bila disentuh, rasa hangat pada kawasan itu, kawasan itu menjadi bengkak dan apabila ditekan bengkakan itu terasa seperti berisi cecair.
Individu yang mempunyai jangkitan kuman dan bisul, selalunya mengalami demam.
Jangkitan kuman bakteria adalah punca yang paling biasa terjadinya bisul. Dalam satu jangkitan kuman yang menyebabkan bisul, ada kalanya terdapat beberapa jenis kuman bakteria.
Selalunya kuman bakteria jenis Staphylococcus aureus yang sentiasa berada di permukaan kulit, menunggu peluang untuk masuk ke dalam kulit dan menyebabkan nanah dan bisul. Ia mudah dirawat dengan antibiotic.
Namun terdapat jenis kuman bakteria yang kebal terhadap antibiotic, iaitu methicillin-resistant Staphylococcus aureu yang agak sukar dirawat dan boleh menyebabkan komplikasi lain seperti jangkitan kuman ini merebak ke organ penting lain seperti ginjal dan hati.
Kanak-kanak lebih mudah dijangkiti kuman dan menyebabkan nanah dan bisul kerana mereka masih faham tentang kebersihan diri. Selain itu daya tahan melawan penyakit mereka tidak sebaik orang dewasa. Sistem pertahanan melawan penyakit dalam tubuh mereka masih belum matang dan dibentuk sepenuhnya.
Masalah bisul dan jangkitan kuman pada kulit tidak akan berlaku jika ibubapa menjaga kebersihan diri anak mereka dengan memastikan mereka mandi, dan mengamalkan membasuh tangan yang sempurna.
Bagi kanak-kanak yang tidak menjaga kebersihan diri, bahagian kulit yang biasa mengalami jangkitan kuman dan bisul adalah bahagian berlipat seperti celah kelengkang, ketiak, pelipatan lengan dan leher. Ini kerana kawasan kulit ini mudah berpeluh, lembap dan tidak dibersihkan dengan baik ketika mandi.
BISUL BOLEH BERJANGKIT
Bisul boleh berjangkit apabila bisul ini pecah, kerana ia akan menyebabkan kuman bakteria yang masih hidup dalam nanah ini merebak ke kawasan lain atau pada individu lain.
Pastikan anak kita tidak menyentuh, memicit dan memecahkan bisul . Elakkan dari berkongsi pakaian dan tuala yang mungkin telah menyentuh nanah.
Jika saiz bisul atau nanah adalah kecil (kurang daripada 1 cm diameter) boleh tuamkan dengan air hangat dan sejuk selama lebih kurang 30 minit 4 kali sehari. Ini akan mengurangkan keradangan dan mempercepatkan kesembuhan. Basuh tangan sebelum dan setelah melakukan tuaman ini.
Jika bernanah agak besar atau melibatkan beberapa tempat di permukaan kulit, elok bawa anak ke klinik bagi menjalani pembersihan dan mendapat ubat antibiotic.
Jangan cuba untuk pecahkan dengan memicit bisul tersebut. Ini boleh menyebabkan nanah di bawah kulit akan tertolak ke bahagian tisu yang lebih dalam.
Pergi dapatkan rawatan doktor jika:
1. Saiz bisul melebihi 1 cm diameter.
2. Saiz bisul semakin membesar dan menjadi lebih sakit.
3. Bisul berada di tempat sensitive seperti di kawasan dubur atau pangkal peha.
4. Bisul beserta demam yang kuat.
Bagi pesakit kronik seperti pesakit diabetes, pesakit yang menjalani rawatan chemotherapy dan dialysis, segera berjumpa dengan doctor kerana jangkitan kuman boleh merebak dengan cepat walaupun saiznya kecil kurang dari 1cm. Begitu juga dengan kanak-kanak berumur kurang dari setahun.
Selalunya jangkitan kuman ini boleh merebak dengan 3 cara iaitu kapsul bisul pecah dan menjangkiti tisu bersebelahan, atau kuman boleh dengan memasuki saluran darah dan pergi lebih jauh ke organ hati, ginjal dan otak atau melalui saluran limfa sehingga menyebabkan kelenjar limfa sakit dan bengkak.
RAWATAN DI KLINIK
Rawatan standard untuk bisul adalah membuka bisul dan mengeluarkan nanah tersebut. Ia dikenali sebagai prosedur “incision and drainage” (I&D).
Menurut American College of Emergency Physicians, (2014), kebanyakan individu yang mempunyai bisul dan tidak masalah dengan sistem daya tahan, tidak perlu menggunakan antibiotic selepas menjalani prosedur ini.
Antibiotik hanya mungkin akan diberikan kepada :
1. Individu yang mengalami bisul yang teruk (terlalu besar dan dalam),
2. Bisul berada di banyak tempat,
3. Bisul berada di tempat yang sulit dan lembap seperti di ssekitar dubur,
4. Saiz bisul merebak dengan cepat,
5. Terdapat tanda-tanda kewujudan cellulitis (jangkiman kuman bawah kulit yang teruk),
6. Terdapat tanda-tanda pesakit mengalami jangkitan kuman dalam darah (septicaemia)
7. Pesakit yang mengalami kekurangan system daya tahan seperti pesakit diabetes yang tidak terkawal, pesakit yang menjalani rawatan hemodialysis dan pesakit kanser
8. Warga tua
9. Bayi dan kanak-kanak.
PENCEGAHAN UNTUK MENGELAKKAN BISUL
Kebersihan diri adalah cara terbaik untuk mengelakkan jangkitan kuman dan bisul. Balut semua luka dan pada kulit , jika ada, dengan pembalut untuk melindungi daripada jangkitan kuman
Ajarkan anak-anak untuk membasuh tangan mereka kerap dan betul, dengan menggunakan sabun dan air untuk sekurang-kurangnya 20 saat.
Rujukan:
1.Singer, Adam J.; Talan, David A. (Mar 13, 2014). “Management of skin abscesses in the era of methicillin-resistant Staphylococcus aureus”. The New England Journal of Medicine 370 (11): 1039–47.
2. American College of Emergency Physicians, “Five Things Physicians and Patients Should Question”, Choosing Wisely: an initiative of the ABIM Foundation (American College of Emergency Physicians), retrieved January 24, 2014
[IKLAN]
Tingkatkan daya tahan anak anda terhadap sebarang jangkitan dengan Set Anak Sihat. Sila klik pada gambar di bawah :
Dr Zubaidi Hj Ahmad Menulis Perkongsian Pengetahuan dan Pengalaman

