Hampir kesemua wanita yang hamil akan mengalami perubahan emosi yang bercampur, iaitu perasaan gembira kerana berjaya hamil dan pada masa yang sama merasa tertekan dan letih, akibat keletihan di tempat kerja, balik ke rumah pula terpaksa melakukan kerja-kerja rumah dan melayan anak-anak dan suami.
Ramai yang gembira kerana dapat menyempurnakan kewajiban sebagai seorang isteri yang dapat menghadiahkan zuriat dalam sebuah perkahwinan dan menjadikan perkahwinan itu lebih sempurna. Dalam masa yang sama banyak tenaga yang dihabiskan untuk pembesaran bayi dalam rahim.
Bukan setakat kepenatan fizikal, mereka juga mengalami perubahan emosi. Ada yang runsingkan tentang masa depan anak yang bakal dilahirkan. Adakah anak itu cacat atau sempurna sifat fizikalnya?
Adakah anak itu akan menjadi anak yang berbakti kepada ibubapa sendiri dan masyarakat dan akan anak yang soleh/solehah?
Malah ada yang bertanya sama ada mereka mampu menjadi ibu yang baik dan dapat membesarkan dan memberikan pendidikan sempurna pada anak?
Bagi keluarga hidup sederhana tentu juga berfikir adakah mereka mampu mempunyai seorang lagi anak dalam kos saran hidup yang semakin meningkat?
Ada juga yang mula merasa diri mereka tidak disayangi suami apabila suami memberikan komen-komen mengenai perubahan tubuh mereka.
Perubahan ini disebabkan oleh perubahan hormone semasa hamil yang mendadak sehingga mempengaruhi fungsi otak dan saraf yang normal.
Semua wanita yang hamil mempunyai tindakbalas emosi yang terbeza terhadap tekanan hidup yang dihadapi ketika hamil.
Oleh itu, sokongan dari suami dan keluarga sangat penting. Bagi wanita yang mempunyai sokongan dari suami dan keluarga yang kuat, selalunya lebih tabah berbanding dengan wanita yang tidak mendapat sokongan suami, apabila suami buat tidak tahu, atau tinggal berjauhan dengan suami, atau suami selalu berada di luar kawasan (out station).
Selain itu ketabahan diri wanita itu sendiri memainkan peranan. Wanita yang biasa hidup dalam keadaan susah semenjak kecil mungkin lebih tabah daripada wanita yang selalu bergantung pada pertolongan ibubapanya semasa kecil.
Tanda-tanda kecelaruan emosi
Bagi mengelakkan terjadi kecelaruan emosi terjadi pada wanita yang hamil, ada beberapa faktor yang harus dikenali pasti oleh doctor, jururawat atau saudara terdekat.
Antaranya ialah:
1. Pernah mengalami sendiri masalah kemurungan ini atau terjadi dalam keluarganya atau saudara terdekat yang mengalami kemurungan sama ada semasa hamil atau tidak.
2. Tidak mendapat sokongan fizikal dan emosi dari suami atau keluarga terdekat atau rakan-rakan sekeliling. Ini selalunya berlaku apabila perkahwinan tidak mendapat restu keluarga, suami tinggal berjauhan, bekerja di syarikat yang sangat kompetetif, atau suami dan isteri tidak bersedia untuk menimang cahaya mata.
3. Wanita yang hamil setelah menjalani rawatan kesuburan. Selalunya wanita seperti ini mudah berasa tertekan kerana telah lama mencuba dan membelanjakan banyak wang untuk kehamilan ini. Begitu juga dengan pengharapan ibubapa dan suami yang mengharapkan agar kehamilan kali ini berjaya. Tekanan ini sangat mengganggu emosi wanita yang hamil ini.
4. Pernah mengalami keguguran pada kehamilan yang lepas. Wanita seperti ini kerap risau tentang keselamatan bayi yang dalam dalam rahemnya. Mereka tertanya-tanya apakah bayi yang dikandung kali ini dapat dilahirkan dengan selamat.
5. Mengalami masalah penyakit atau komplikasi berkaitan dengan kehamilan. Bagi wanita yang mengalami masalah komplikasi kehamilan seperti diabetes dan tekanan darah tinggi ketika hamil selalu mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kecelaruan emosi.
6. Mengalami masalah kehidupan dari segi kewangan, pekerjaan, anak-anak dan hubungan yang tegang dalam keluarga. Wanita yang masih muda dan belum berkahwin, apabila hamil mempunyai risiko yang lebih tinggi kerana memikirkan nasib mereka setelah anak dilahirkan.
Wanita yang pernah hidup dalam penderaan semasa kecil juga berisiko untuk mendapat kecelaruan emosi. Malah wanita yang mempunyai ibubapa atau penjaga yang garang kerap mengalami masalah ini kerana kesusahan semasa hamil akan mengingatkan mereka tentang peristiwa mereka didera dahulu.
Oleh itu ketika penjalani pemeriksaan prenatal untuk kehamilan, doctor atau jururawat , perlu lebih peka terhadap sebarang perubahan emosi atau meneliti tanda-tanda kecelaruan emosi ini.
Beberapa tanda kecelaruan yang mungkin dapat dikesan dengan mudah dan perlu ditanyakan kepada mereka ialah tanda keletihan yang keterlaluan dan masalah sukar untuk tidur.
Walaupun masalah ini agar biasa bagi wanita yang hamil, tetapi mereka yang sedang mengalami kecelaruan emosi ini selalunya seperti sudah berputus asa dengan kehamilannya (tidak mahu meneruskan kehamilan) atau mudah menitiskan airmata apabila bercerita tentang masalah yang dihadapi.
Mereka sukar untuk bercerita, tetapi kadang kala linangan air mata saja yang mengalir dari kelopak mata, sudah cukup menandakan mereka sedang mengalami kecelaruan emosi.
Jika doctor atau jururawat yang bertugas gagal untuk mengenalpasti wanita seperti ini, dibimbangi mereka akan mengalami masalah kemurungan atau “meroyan”apabila telah melahirkan anak nanti.
TANDA-TANDA KECELARUAN EMOSI 1. Tidak merasa seronok dengan kehamilan sekarang 2. Kerap termenung , rasa sedih atau “kosong” sepanjang hari 3. Tidak dapat menjalankan rutin seharian di rumah dan di tempat kerja 4. Mudah marah atau mudah secara berlebih atas sebab yang kecil. Contohnya tidak jumpa kunci kereta, mereka akan menjerit dan memaki hamun atau terus menangis 5. Keinginan untuk sentiasa makan atau tidak mahu makan sama sekali 6. Rasa bersalah, rasa tidak dihargai atau rasa mudah putus asa. Jika wanita yang hamil ini mengalami tiga atau lebih daripada tanda-tanda di atas, untuk lebih dari dua minggu, maka mereka harus segera dirujukkan kepada kaunselor atau doctor pakar psikiatri. |
Bermula di awal kehamilan
Kebanyakan tekanan emosi ini bermula pada awal kehamilan antara 6 hingga 10 minggu, kemudian secara perlahan-lahan tekanan emosi ini akan beransu-ansur hilang kerana mereka dapat mengadaptasi dengan perubahan hormone yang kecil ini.
Kemuncak perubahan emosi ini dapat dilihat apabila mendekati saat kelahiran bayi dan dalam masa seminggu selepas melahirkan anak. Ia boleh berlarutan sehingga waktu pantang.
Ini kerana ketika mendekati waktu kelahiran, hormone dalam tubuh wanita itu dalam tahap tertinggi. Setelah melahirkan anak, tahap hormone akan turun serta-merta dan menyebabkan banyak perubahan emosi yang dapat dikesan.
Kesan kecelaruan emosi semasa hamil
Perubahan emosi ini dikira sebagai normal jika ia tidak mengganggu rutin kehidupan seharian. Namun perubahan emosi yang tidak tertanggung akan membuatkan seorang wanita akan menunjukkan tanda-tanda kecelerauan emosi yang ketara.
Jika kecelaruan in tidak ditangani dengan baik, sudah tentu ia akan menjadi lebih parah apabila telah melahirkan anak nanti. Dalam istilah melayunya disebut sebagai “meroyan” atau dalam istilah perubatan “post-partum blues”.
Selalunya kecelaruan emosi ini akan berakhir dalam masa dua minggu. Jika ia melebihi dua minggu maka saya menasihatkan agar wanita ini diberikan bantuan kaunseling bagi membantu mereka mengatasi masalah ini.
Kecelaruan emosi ketika hamil ini apabila tidak dikesan awal dan diberikan rawatan yang betul dan sempurna, mereka akan mengalami masalah emosi yang lebih teruk.
Mereka mungkin mengalami masalah “serangan panic” di mana mereka mengadu tiba-tiba tidak boleh bernafas, jantung berdegup laju, rasa seperti mahu pitam atau pengsan, tapak tangan berpeluh, sesak nafas, perasaan seperti serangan jantung atau rasa seperti mahu mati. Persaan ini selalunya akan hilang dengan sendirinya apabila dapat ditenangkan dan berehat.
Mereka juga mungkin mengadu rasa bimbang dengan kehamilan mereka secara melampau. Walaupun telah diditerangkan oleh doctor, merka masih bimbang dan bertanyakan secara berulang tentang bayi mereka seperti ada perasaan bahawa sesuatu yang buruk pasti akan terjadi pada kehamilan mereka.
Kesan kecelaruan emosi terhadap kehamilan
Banyak kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa masalah kecelaruan emosi yang teruk dan tidak dirawat dengan betul dan sempurna boleh menjejaskan kehamilan kerana meningkatkan risiko kelahiran pramatang.
Bayi yang dilahirkan pramatang selalunya dimasukkan ke dalam incubator sebelum dibenarkan pulang dan komplikasi pada bayi pramatang ini bergantung kepada usia kehamilan ketika ia dilahirkan dan berat badan bayi ketika dilahirkan.
Semakin awal bayi dilahirkan dan semakin ringan ketika dilahirkan, akan meningkatkan pelbagai masalah seperti masalah pernafasan, mata, jantung dan ginjal. Oleh itu kelahiran pramatang ini cuba dielakkan.
Bayi yang dilahirkan secara normal dan lahir pada masanya oleh ibu yang mengalami kecelaruan emosi ini, biasanya tidak mengalami apa-apa masalah perubatan/kesihatan yang ketara. Bermakna masalah kecelaruan emosi ini tidak memberi kesan negative pada bayi yang dilahirkan (kecuali kelahiran pramatang dan komplikasinya).
Cuma dalam banyak kajian menunjukkan bahawa wanita yang mengalami kecelaruan emosi ini selalunya akan meninggikan risiko untuk bayinya mendapat masalah yang sama apabila dewasa nanti.
MEROYAN ATAU “POST-PARTUM BLUES”
Selain itu wanita yang sedang mengalami kecelaruan emosi semasa hamil boleh mengalami kemurungan semasa waktu berpantang (selepas melahirkan anak) atau dikenali sebagai “meroyan” atau “post-partum blues”.
Tanda meroyan ini seperti yang ditunjukkan oleh wanita yang mengalami kemurungan semasa hamil. Cuma ia berlaku setelah bayi dilahirkan.
Selain dari tanda-tanda kecelaruan emosi yang disebutkan tadi, wanita yang mengalami ‘meroyan’ juga menunjukkan tanda yang sangat ketara iaitu tidak berminat terhadap bayi mereka dan adakalanya ada perasaan untuk mencederakan bayi yang kecil itu atau mencederakan dirinya sendiri.
Oleh itu kita harus berhati-hati apabila melihat seorang itu yang membiarkan anak mereka menangis tanpa berusaha memberikan susu, atau memukul bayi yang dilahirkan tanpa belas kasihan. Ini adalah tanda-tanda kemurungan semasa berpantang atau meroyan atau “post-partum blues”.
Nasihat bagi kesihatan fizikal dan mental
Bagi wanita yang hamil, selain menjaga kesihatan fizikal, mereka juga harus menjaga kesihatan mental. Pastikan mereka rasa gembira dan bersemangat dengan kehamilan mereka. Buangkan perasaan negative dan tanamkan dalam jiwa bahawa kesusahan semasa hamil ini merupakan suatu jihad atau mujahadah yang dilakukan oleh setiap muslimah yang beriman.
Tanamkan dalam fikiran bahawa kehamilan ini adalah suatu anugerah, bukannya suatu bencana dan kesusahan. Mesti ada rasa seronok ketika menunggu kedatangan órang baru’dalam kehidupan mereka.
Untuk itu dapatkan sokongan dari suami, keluarga dan rakan-rakan. Beritahu mereka tentang kehamilan ini. Oleh kerana mungkin ada yang berasa irihati (atau wanita hamil ini yang berasa ada orang yang berisi hati padanya), maka carilah rakan-rakan yang boleh berikan sokongan. Pasti orang itu boleh diharapkan untuk membantu secara fizikal, mendengar rintihan dan masalah serta dan dihubungi bila memerlukan.
Banyakkan persiapan kerohanian, seperti solat, zikir, berdoa dan membaca al Quran. Banyak kajian menunjukkan orang yang mempunyai hubungan spiritual yang baik, selalunya akan lebih tenang bila menghadapi cabaran dalam kehidupan mereka.
Banaykkan berdoa untuk keselamatan sepanjang kehamilan dan berdoalah agar anak yang dilahirkan adalah anak yang sihat, sempurna dan menjadi anak yang soleh/solehan yang memberi manfaat pada negara dan agama.
Nasihat saya pada suami pula, perlu faham bahawa ketika hamil seorang wanita mengalami banyak kekurangan dalam melakukan tugas mereka. Mereka tidak mampu melayani kehendak suami di bilik tidur seperti biasa atau memasak masakan untuk keluarga.
Mereka harus faham bahawa ini adalah proses kehamilan yang biasa dihadapi oleh semua pasangan. Bersyukurkan kerana ALLAH AWT tidak memilih suami untuk hamil, tetapi memilih isteri untuk memikul tanggungjawab mengandungkan anak dalam rahem mereka.
Banyakkan bersabar kerana isteri sedang mengandungkan zuriat mereka, yang bakal membantu mereka apabila mereka tua nanti dan mendoakan apabila mereka telah meninggal dunia.
Bayangkan jika mereka tidak menyambut kehadiran anak itu ke dunia dengan perasaan gembira, bagaimana anak-anak ini akan memandikan, mengkapankan, mensolatkan dan mendoakan untuk mereka apabila mereka meninggal dunia kelak.
Jadi suami harus ada rasa gembira, sabar dan menghargai pengorbanan isteri, barulah isteri akan dapat merasakan kehamilan itu suatu yang disokong penuh oleh suami.
Lakukan tugasan di rumah bersama-sama dan rajinkan diri melakuakn persiapan menyambut kelahiran anak seperti membeli barang-barang untuk bayi, bersama isteri. Jadikan aktiviti membantu isteri sebagai aktiviti yang menyeronokkan.
Dr Zubaidi bin Hj Ahmad