Ramai di kalangan rakyat Malaysia yang berisiko untuk mendapat masalah kerosakan ginjal, atau kita selalu sebut sebagai Penyakit Ginjal Yang Kronik atau Chronic Kidney Disease (CKD). Malah ramai yang tidak mengetahui yang mereka sebenarnya telah mula mengalami masalah ini.
Jika masalah CKD dikenalpasti awal, ia dapat dirawat dengan lebih mudah. Atau ia dapat dikawal agar ia tidak menjadi lebih teruk. Ini kerana kebanyakan penyakit ini tidak memberikan sebarang tanda awal.
Oleh itu terdapat dua ujian yang sangat membantu mengesan kerosakan fungsi ginjal pada peringkat awal.
Pertama, Ujian ACR (Albumin to Creatinine Ratio). Ia adalah ujian air kencing, di mana air kencing dikumpulkan selama 24 jam melalui bekas yang disediakan. Air kencing akan diuji untuk sejenis protein, albumin. Kehadiran albumin dalam air kencing adalah sesuatu yang tidak normal. Bacaan albumin akan dibandingkan dengan jumlah creatinine yang ada dalam air kencing.
Ratio albumin (dalam unit mcg/L) kepada creatinine (unit mg/L) yang normal adalah kurang dari 30. Bacaan antara 30-300 menandakan microalbuminuria, sementara bacaan melebihi 300 dianggap sebagai macroalbuminuria.
Namun ujian ini agak rumit kerana pesakit terpaksa mengumpul air kencing selama 24 jam dan membawanya ke makmal.
Kedua, Ujian GFR (glomerular Filtration Rate). Ia adalah ujian darah di mana fungsi ginjal diukur. Ujian ini agal lebih mudah dilakukan. Bergantung kepada nilai bacaan GFR, masalah kegagalan ginjal dikategorikan kepada 5 tahap, iaitu tahap satu hingga lima.

Oleh itu saya mencadangkan setiap kali pemeriksaan darah enam bulan sekali dilakukan, buatlah pemeriksaan GFR bagi menentukan tahap fungsi ginjal kita.
#HealthDrZubaidi
Dr Zubaidi Hj Ahmad Menulis Perkongsian Pengetahuan dan Pengalaman
