Ramai di antara kita yang mendapatkan perkhidmatan tenaga asing dari Indonesia, Bangladesh, Myammar, Nepal atau mana-mana negara dunia ketiga untuk membantu kita sebagai pekerja dalam industri perkilangan, pertanian atau apa sahaja.
Namun kita harus berhati-hati. Walaupun mereka telah disaring di Negara mereka untuk mengesan penyakit berjangkit yang mungkin mereka hadapi, tetapi kadar rasuah di negara-negara itu amat tinggi sehingga apa sahaja pengesahan dokumen boleh didapati dengan membayar wang rasuah.
Oleh itu tidak hairanlah jika ramai di antara pekerja-pekerja ini yang dikesan mempunyai penyakit Pulmonary Tuberculosis (TB paru-paru), Hepatitis B, HIV, penyakit kelamin dan lain-lain apabila menjalani pemeriksaan saringan yang diwajibkan oleh FOMEMA di Malaysia.
Baru-baru ini saya menulis di dalam wall.
“Oleh kerana pembantu rumah akan berada di dalam rumah kita 24 jam dan kita sentiasa bersama-sama mereka, maka saya cadangkan jika mahu mendapatkan khidmat pembantu rumah, minta tolong isteri memeriksa bahu kiri mereka. Jika terdapat parut akibat suntikan BCG, maka kebarangkaliannya untuk dijangkiti oleh tuberculosis amat rendah berbanding dengan mereka yang tiada parut BCG. Saya dapati ramai pembantu rumah asing telah membawa kuman TB ke Malaysia”
Status saya telah dikongsikan oleh ramai rakan FB.
“Doktor, bagaimana dengan anak saya di rumah. Saya baru menggajikan pembantu rumah dari seberang. Dia sering batuk dan mengikut surat yang dikeluarkan di negaranya, dia bersih dari penyakit tetapi macam doctor beritahu, saya kurang yakin dengan sistem kesihatan di negara itu..” Keluh seorang rakan FB.
Kerisauannya memang berasas. Kebanyakan pekerja yang menjalani pemeriksaan saringan di Pusat Kesihatan tempat saya bekerja mempunyai masalah paru-paru, yang disyaki peringkat awal jangkitan TB.
Jika dibandingkan pemeriksaan xray dada antara warganegara tempatan dengan pekerja asing, memang banyak bezanya.
Malang sekali dua orang pembantu klinik tempat saya bekerja telah disahkan dijangkiti TB beberapa tahun lalu, dan disyaki dijangkiti daripada pesakit-pesakit warga asing yang datang mendapatkan rawatan untuk masalah batuk.
Walaupun mereka kini telah pulih, namun pengalaman disuntik di punggung setiap hari sebagai rawatan TB, memang menyeksakan.
Persoalan yang sentiasa bermain dalam fikiran saya adakah vaksin BCG yang diberikan kepada kita semasa lahir tidak cukup untuk melindungi kita dari jangkitan TB?
Vaksin BCG (Bacillus Calmette-Guérin) yang disuntikkan kepada bayi ketika dilahirkan adalah kuman bacteria Mycobacterium bovis yang dilemahkan (live attenuated) untuk merangsang pembentukan antibodi bagi memperkasakan daya tahan menentang kuman bacteria Mycobacterium tuberculosis yang menyebabkan jangkitan TB.
Sebelum ini kanak-kanak di Malaysia, dan negara-negara lain seperti Singapura, Korea Selatan dan Taiwan, diberikan suntikan BCG ketika mereka dilahirkan dan satu lagi suntikan ketika berumur 12 tahun. Oleh kerana kes-kes TB semakin berkurangan, Kementarian Kesihatan Malaysia dan Singapura tidak lagi memberikan suntikan ini pada kanak-kanak yang berumur 12 tahun di sekolah.
Malah kerajaan Korea Selatan telah menghentikan suntikan pelalian ini pada bayi yang baru lahir. Sementara negara bekas jajahan Soviet masih lagi memberikan suntikan vaksin BCG pada rakyat mereka secara berkala sepanjang hayat mereka.
“Doktor, semasa saya membuat pengajian Master di US, anak kami yang ketiga tidak disuntik dengan vaksin BCG. Begitu juga ketika saya membuat ijazah pertama di UK. Anak kami yang pertama tidak disuntik dengan BCG ketika dilahirkan. Kenapa doktor di Malaysia beriya-iya memberikan suntikan ini?”
Saya tersenyum mendengar soalan ini. Ini bukan teori konspirasi untuk melemahkan umat Islam di Malaysia. Ini soal polisi kesihatan yang dibentuk oleh pakar-pakar kesihatan awam.
Di US, dasar kesihatannya berbeza dari Malaysia. Oleh kerana kadar jangkitan TB yang rendah, vaksin itu tidak diberikan pada anak-anak yang baru dilahirkan. Mereka hanya melakukan ujian saringan untuk mengesan penyakit ini dan memberikan rawatan jika rakyat mereka mengalami jangkitan TB.
Pada saya, pemberian vaksin BCG kepada bayi yang baru dilahirkan tidak menjadi kesalahan. Ini bertepatan dengan dasar Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO yang mencadangkan agar suntikan pelalian BCG diberikan kepada semua kanak-kanak yang dilahirkan di negara-negara yang mempunyai endemic TB (terutama dunia ketiga) untuk melindungi dari jangkitan penyakit itu terutamanya yang melibatkan paru-paru, (Pulmonary TB) dan yang melibatkan otak, atau TB meningitis.
Di United Kingdom pula, suntikan pelalian BCG mula diperkenalkan pada tahun 1953. Oleh kerana kadar jangkitan TB semakin berkurangan kerana dasar kesihatan awam yang bertambah baik, suntikan pelalian BCG hanya diberikan kepada remaja berumur 13 tahun dan polisi ini telah dihentikan pada tahun 2005. Tiada lagi suntikan pelalian ketika lahir dan ketika berumur 13 tahun.
(rujuk: Immunisation against infectious disease – ‘The Green Book’, Dept of Health, UK) Download Green Book, updated 7 November 2011 (PDF, 2950K)
Polisi baru di UK mencadangkan bahawa suntikan vaksin BCG hanya diberikan kepada yang berisiko sahaja seperti:
- Bayi berumur 0 hingga 12 bulan, yang dilahirkan dalam keluarga yang pernah dijangkiti TB dalam masa 5 tahun lepas.
- Bayi berumur 0 hingga 12 bulan yang belum disuntik vaksin BCG, tetapi mempunyai ibubapa atau datuk dan nenek yang dilahirkan di negara-negara ketiga yang kuat dijangkiti TB.
- Kanak-kanak berumur 1 hingga 5 tahun tinggal bersama ibubapa atau datuk dan nenek yang dilahirkan di negara-negara dunia ketiga yang kuat dijangkiti TB.
- Kanak-kanak berumur 6 hingga 16 tahun yang belum disuntik dan ujian tuberculin adalah negatif serta tinggal dengan ibubapa atau datuk dan nenek yang dilahirkan di negara-negara dunia ketiga yang kuat dijangkiti TB.
- Pendatang yang berumur 16 tahun ke bawah dan ujian turbeculin negatif dan tinggal bersama ibubapa atau datuk dan nnek yang dilahirkan di negara-negara ketiga yang kuat dijangkiti TB.
- Orang dewasa yang belum pernah disuntik dengan vaksin BCG dan ujian tuberculin negatif dan sentisa berhubung dengan pesakit TB.
(rujuk: Tuberculosisi, NICE Clinical Guideline (March 2011); “Clinical diagnosis and management of tuberculosis, and measures for its prevention and control”)
Oleh kerana tahap kemudahan kesihatan di US dan UK telah tinggi, maka polisi yang tidak memberikan suntikan pelalian BCG dapat difahami. Tetapi bagaimana dengan negara kita ?
Dengan kebanjiran pandatang asing seramai 2 juta dari negara dunia ketiga yang kuat dijangkiti TB, seperti Indonesia, Nepal. India, Bangladesh, Vietnam, Nigeria dan lain-lain di Malaysia, Malaysia tidak lagi bebas dari jangkitan kuman TB.
Kita tidak lagi mengecapi status negara “bebas TB” yang pernah kita nikmati bersama Singapura dulu. Kadar peningkatan kes-kes TB di kalangan rakyat Malaysia menjadi-jadi.
Dalam satu laporan perangkaan, menyebut semenjak tahun 1989 secara purata antara 11 500 hingga 12 00 kes baru dikesan setiap tahun. Pada tahun 2006, sebanyak 14 000 kes yang dikesan menjadikan nisbah jangkitan TB di Malaysia ialah 61 setiap 100 000 rakyat Malaysia. (WHO mendefinasikan “negara bebas TB” mempunyai nisbah jangkitan TB sebagai kurang dari 40 orang dalam 100 000 rakyat)
Pada tahun 2007 pula sebanyak 16,000 kes baru dan pada tahun 2008 sebanyak 17,506 kes baru yang didaftarkan di mana 2207 kes melibatkan pendatang asing.
Saya sendiri risau jika ada pesakit warga asing yang datang ke Pusat kesihatan, tempat saya bekerja kerana mereka mungkin pembawa TB. Apabila mereka batuk, pesakit-pesakit lain yang menunggu bersama mereka juga berisiko untuk mendapat jangkitan TB.
Melihat peningkatan yang agak mendadak, apakah suntikan vaksin BCG yang diberikan ketika kita lahir tidak mencukupi?
Dalam satu jurnal lain, satu artikel memberitahu bahawa vaksin BCG yang diberikan pada bayi atau dewasa hanya akan memberikan perlindungan daya tahun selama 14 tahun.
(rujuk: BMC Infect Dis. 2008 Jan 25;8:9. “Persistence of the immune response induced by BCG vaccination”).
Jadi secara pengiraan kasar, jika kita menerima suntikan vaksin vaksin BCG ketika dilahirkan, ia hanya memberikan perlindungan sehingga berumur 14 atau 15 tahun. Jika kita pernah disuntik semula dengan vaksin pada umur 12 tahun ketika di sekolah, mungkin ia akan memberikan perlindungan daya tahan sehingga berumur 27-30 tahun.
Mereka yang berisiko tinggi adalah yang sentiasa berhubung dengan pekerja asing di tempat kerja atau mempunyai pembantu rumah yang menjadi pembawa kuman bakteria TB.
Apatah lagi kes-kes jangkitan kuman TB paru-paru dilaporkan banyak menyerang pesakit dalam lingkungan remaja dan dewasa, keberkesanan suntikan vaksin BCG ketika dilahirkan mungkin tidak mencukupi.
(rujuk: Sterne JA, Rodrigues LC, Guedes IN; “Does the efficacy of BCG decline with time since vaccination?” Int J Tuberc Lung Dis. 1998 Mar;2(3):200-7).
Banyak laporan perubatan memberitahu bahawa semakin lama, daya tahan dalam tubuh terhadap kuman TB berkurangan. Malah suntikan vaksin BCG tidak memberikan perlindungan sepenuhnya. Dalam satu artikel dalam penerbitan jurnal terkenal JAMA, memberitahu risiko untuk dijangkiti TB bagi mereka yang pernah mendapat suntikan vaksin BCG adalah 50%.
(rujuk: Colditz GA, Brewer TF, Berkey CS, et al; “Efficacy of BCG vaccine in the prevention of tuberculosis. Meta-analysis of the published literature”. JAMA. 1994 Mar 2;271(9):698-702)
Jadi perlukah kita mendapat semula suntikan itu memandangkan risikonya sangat besar. Saya serahkan keputusan kepada pembuat dasar iaitu pakar-pakar kesihatan awam.
Wallahu a’lam.
Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (100112)
assalamualaikum, dr zubaidi. saya baru menemui website doktor ini. ingin bertanya kepada dr. ttg keadaan ibu saya yang mengidap batuk dan baru-baru ini telah dimasukkan ke wad dan dr. do hospital mengatakan ada jangkitan kuman pada paru-paru beliau. setelah 5 hari di wad, ibu saya dibenarkan keluar setelah result darah yang di ambil negatif dari kuman.
soalan saya, ibu saya mengidap sakit jantung dimana saluran darah arterinya ‘membantut’ kerana difahamkan oleh IJN kerana semasa kecil ibu saya kerap sakit dan saluran itu tidak mengalami pembesaran sebagaimana tubuhnya. selepas keluar dari wad tempohari, ibu saya masih batuk dan adakah kemungkinan dari sakit jantung itu boleh menyebabkan batuk yang teruk yang di alami oleh ibu saya sekarang doktor.
harap dapat penjelasan dari tuan doktor.
sekian, terima kasih