Tadi ada Coach Diet yang kata bahaya ambil buah, termasuk buah kurma, buah tembikai dan banyak lagi buah.
Sudah sampai haramkan makanan yang halal dan disukai oleh Nabi kita S.A.W konon katanya ia berbahaya.
Pelik sangat ni …. Sedangkan ulama kita dan para ustaz mencadangkan pengambilan buah-buahan seperti ini. Tapi dia mengharamkan pula.
Katanya buah-buahan ini boleh meningkatkan tahap kerintangan insulin, tahap kolesterol dan menyebabkan fatty liver. Padahal ia bukannya satu-satunya punca. Sedangkan gula ringkas, makan berproses, minyak tepu dan minyak trans boleh menyebabkan masalah yang sama.
Nanti dulu. Jangan mudah percaya.
Buah-buahan sememangnya mengandungi fruktosa, sejenis gula semula jadi, tetapi dalam bentuk asalnya, buah tidak berbahaya kerana mengandungi serat, vitamin, dan antioksidan yang membantu mengawal kesan fruktosa terhadap tubuh.
Serat dalam buah melambatkan penyerapan gula, mengurangkan lonjakan gula darah secara mendadak, dan memberi rasa kenyang yang lebih lama.
Cuma kena elakkan pengambilan buah dalam bentuk jus yang mengasingkan buah dari fibernya.
Jus buah yang telah diproses dengan mengasingkan serat boleh menjadi berbahaya jika diambil dalam jumlah yang banyak.
Ini kerana:
1. Penyerapan gula yang cepat – Tanpa serat, fruktosa dalam jus diserap dengan lebih pantas, menyebabkan lonjakan gula darah yang lebih tinggi.
2. Kesan terhadap hati – Fruktosa yang berlebihan akan diproses di hati dan boleh menyebabkan peningkatan lemak hati serta risiko penyakit hati berlemak bukan alkohol (NAFLD).
3. Kurang rasa kenyang – Tanpa serat, jus tidak memberi rasa kenyang seperti buah sebenar, menyebabkan seseorang minum lebih banyak tanpa menyedari jumlah gula yang diambil.
4. Kesan pada insulin – Pengambilan jus secara berlebihan boleh meningkatkan rintangan insulin, yang berisiko kepada diabetes jenis 2.
Namun bagi yang mengambil secara bersederhana, jus buah-buahan juga membekalkan serat, vitamin, dan antioksidan yang membantu mengawal kesan tidak baik fruktosa terhadap tubuh. Jadi jangan risau jika ambil dalam kuantiti yang sederhana.
Tanpa buah kita mungkin mengalami masalah sembelit, kekurangan vitamin dan mineral dan antioksida.
Contoh mudah, kita hanya mendapat vitamin C dari sumber buah dan sayuran. Tanpa buah kita mungkin mengalami masalah kekurangan vitamin C.
Bagaimana Dengan Kordial?
Kordial adalah perasa tiruan buah-buahan yang dicampur gula tambahan yang lebih tinggi daripada fruktosa. Masalah utama kordial termasuk:
✅ Gula tambahan berlebihan – Gula putih atau sirap jagung tinggi fruktosa (HFCS) sering ditambah, meningkatkan risiko obesiti dan diabetes.
✅ Tiada nutrisi – Tidak mengandungi serat, vitamin, atau mineral semula jadi seperti dalam buah asli kerana ia sekadar perasa buah tiruan.
✅ Pengawet dan bahan kimia – Beberapa kordial mengandungi bahan tambahan yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan jika diambil berlebihan.
Kesimpulan
✅ Makan buah dalam bentuk asal lebih baik kerana kandungan seratnya.
✅ Jus buah kurang baik jika diambil berlebihan, terutama yang diproses secara komersial dan dijual dalam kotak atau tin.
✅ Tiada orang yang ambil buah secara berlebihan. Setakat 2-3 biji mangga atau seikat anggur atau sebiji betik, itu masih sederhana. Dikatakan berlebihan jika makan buah satu bakul besar setiap hari.
✅ Jika ingin minum jus, sebaiknya buat sendiri dan jangan tapis seratnya.
✅ Kordial adalah pilihan paling tidak sihat kerana kandungan gula tambahan dan bahan kimia. Elakkan.
✅ Jika seseorang mempunyai diabetes atau masalah metabolik, pengambilan buah yang manis perlu dikawal. Pilihan terbaik adalah buah yang rendah indeks glisemik seperti beri dan epal hijau.
✅ Ambillah makanan yang seimbang dan bersederhana. Insyaallah akan dapat banyak manfaat. Bahaya jika tidak mengambil buah dan sayuran. Ia sumber mikronutrien yang penting dalam tubuh.
Semoga bermanfaat.
#dietdrzubaidi
Dapatkan OLEVA STEVIA sebagai alternatif pengganti gula putih yang mempunyai banyak manfaat kepada kesihatan.