ADAKAH DEGUPAN JANTUNG KITA NORMAL?

Kadar degupan jantung orang dewasa yang normal adalah antara 60 hingga 100 kali seminit.

 

Namun ramai yang bertanya, apakah degupan jantung mereka normal, jika pada waktu rehat, 78 dan selepas berlari ia menjadi 130 degupan perminit.

 

Sebenarnya degupan jantung kita tidak tetap pada satu bacaan sahaja. Ia boleh meningkat dan boleh menurun apabila melakukan aktiviti fizikal atau mengalami tekanan perasaan seperti terlalu takut atau terkejut.

 

Kebiasaannya degupan jantung akan kembali semula pada julat yang normal iaitu antara 60 hingga 100.

 

Sebagai contoh, degupan jantung akan meningkat sehingga 140 per minit apabila berlari, tetapi akan turun semula pada 60-70 degupan perminit ketika tidur.

 

Yang menjadi masalah apabila degupan jantung tidak menurun selepas ia melonjak tinggi melebihi 150 degupan perminit untuk beberapa jam, sehingga mendatangkan rasa loya, pening, sakit dada dan sukar bernafas. Ini adalah suatu keadaan yang tidak normal dan perlu mendapatkan rawatan.

 

Saya masih teringat seorang pesakit saya, yang masih muda berusia awal 40an yang sering rasa berdebar-debar. Satu hari dia datang ke klinik saya mengadu mengalami rasa berdebar-debar sehingga dia berasa tidak selesa.

 

Bila saya periksa degupan jantungnya, ia mencapai 180 perminit. Beliau juga berasa pening dan tekanan darahnya normal. Ini berlaku setelah beliau melakukan jogging pada pagi tadi.

 

Saya merujukkannya ke Jabatan Kecemasan kerana saya menganggap keadaan beliau serius.

 

Rupanya beliau mengalami masalah konduksi dalam jantung. Ini menyebabkan jantungnya berdegup laju kerana lebih banyak impulse yang dihantar ke otot jantung walaupun melakukan aktiviti fizikal yang tidak agresif.

 

Masalah konduksi dalam jantung adalah masalah degupan jantung yang biasa berlsku secara tiba-tiba kepada pesakit yang sihat, tidak merokok dan pada usia muda, terutama peminum kopi yang tegar.

 

Sebagai informasi asas, fegupan jantung kita bermula dari bateri semulajadi (atau perentak jantung atau pacemaker) pada satu bahagian pada jantung dan mengalir ke seluruh otot jantung melalui wayar semulajadi.

 

Jadi masalah konduksi atau pengaliran elektrik ini berlaku apabila terdapat masalah pada mana-mana bahagian sama ada di bateri atau wayar.

 

Kerosakan itu boleh menyebabkan degupan jantung boleh terlalu lambat atau terlalu cepat.

 

Ia boleh berlaku akibat faktor usia yang meningkat, masalah komplikasi dari penyakit diabetes dan hipertensi atau pernah mendapat serangan sakit jsntung. Kadangkala ia disebabkan faktor keturunan dan dilakukan dengan masalah ini sejak dilahirkan seperti mana yang terdapat pada pesakit yang mengalami masalah Supraventricular Tachycardia (SVT).

 

Antara gejala yang perlu diperhatikan adalah:

1. Rasa pening atau pitam yang berlaku disebabkan degupan jantung terlalu lambat atau terlalu cepat. Ini kerana bekalan darah yang dipam tidak mencukupi lalu menurunkan tekanan darah.

2. Berdebar-debar akibat peningkatan kadar degupan jantung ketika dalam keadaan rehat.

3. Rasa tidak selesa pada dada.

4. Mudah rasa penat.

 

Bagi mengesan masalah ini pemeriksaan Elektrofisiologi (EP) dilakukan bagi memeriksa konduksi elektrik dalam jantung. Ujian ini seperti pemeriksaan angiogram di mana satu wayar dimasukkan ke dalam jantung menerusi saluran darah dari celah urat paha.

 

Walau bagaimana pun pemeriksaan awal seperti pemeriksaan nadi pada pergelangan tangan dapat membantu menentukan bilangan dan ritma degupan jantung.

 

Dapatkan nasihat doktor yang berpengalaman bagi penerangan yang lebih jelas.

 

Semoga bermanfaat.

 

#HealthDrZubaidi

 

 

KONSULTASI BERSAMA DR ZUBAIDI

Jika berminat mendapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi, boleh klik di link :

https://needsvenue.onpay.my/order/form/20mindrz

Leave a Reply

error: Content is protected !!