Melasma Bukan Sumpahan Buatan Orang

Lama sudah saya tidak berbicara mengenai isu-isu yang tidak berkaitan dengan kehamilan. Ini mengakibatkan saya kekeringan idea untuk menulis isu-isu perubatan yang lain. Satu hari ketika saya sedang membaca sebuah jurnal perubatan, tiba-tiba inbox facebook saya dimasuki mesej.

”Salam doktor, harap tidak mengganggu. Saya baru balik dari kampong selama seminggu. Tanpa saya sedari kulit muka saya menjadi kehitaman di kedua-dua belah pipi saya. Saya amat risau kerana makcik di rumah ibu saya memberitahu ianya buatan orang. Untuk pengetahuan doktor saya, ini adalah perkahwinan saya kedua dengan seorang duda. Umur saya sudah 35 tahun dan ini kali ketiga saya hamil”

Saya cuba bertanyakan lagi isu-isu yang berkaitan dengan perkahwinan dan kehamilannya. Ia benar-benar mengganggu tumpuan pembacaan jurnal saya. Namun saya ingin membantu beliau.

Saya percaya tompok-tompok hitam itu disebabkan oleh keadaan dinamakan sebagai “Melasma”. Melasma juga dikenali sebagai “chloasma faciei” kerana membentuk seakan-akan topeng berwarna hitam di muka wanita.

Melasma berlaku pada wanita yang hamil dan pada wanita yang mengambil pil perancang atau pil hormone replacement therapy (HRT). Jadi ia bukanlah suatu sumpahan atau buatan orang.

“Doktor, muka saya menjadi kusam dah pelbagai cara telah saya cuba. Banyak krim yang saya beli dari farmasi tapi tidak berhasil”

Kebanyakan wanita yang menghadapi masalah ini tidak segera berjumpa doktor yang berpengalaman. Mungkin mereka ada berjumpa doktor, namun disebabkan doktor itu kurang berpengalaman di bidang dermatology (kulit), maka masalah ini tidak dapat diselesaikan. Membeli ubat-ubat di farmasi tanpa mendapat nasihat yang betul pula adalah merbahaya.

Saya pernah didatangi oleh seorang wanita yang mengalami ruam-ruam dan bengkak mata kerana menggunakan ubat sapu untuk menghilangkan warna hitam di pipinya. Ubat ini dibeli melalui teman dari sebuah kedai sengseh di bandar. Ia adalah tindakbalas alahan yang teruk. Dia hampir tidak bernafas kerana mukanya bengkak dan saluran pernafasannya yang mempunyai banyak lendir.

Melasma juga mempunyai tanda-tanda seperti kulit yang gelap,  terutama pada bahagian muka, hidung, bibir atau dahi. Ia berlaku secara perlahan-lahan. Ia bukanlah tanda barah kulit dan tidak merbahaya, sekadar masalah kosmetik.

“Adakah ianya berpunca dari pemakanan? Saya agak buah pelam yang saya makan menyebabkan kegelapan kulit saya ini.”

Melasma tidak berpunca dari pemakanan. Ia tiada kaitan langsung dengan pemakanan. Ia disebabkan oleh rangsangan sel melanocytes yang berada di bawah lapisan kulit oleh hormon estrogen dan progesterone .

Ia mudah berlaku pada wanita yang mempunyai kulit sawo matang kerana terdapat banyak sel-sel melanocyte pada kulit mereka, apatah lagi jika mereka tinggal di kawasan yang mempunyai sinaran matahari yang kuat terutamanya pada negara membangun.

Melasma juga disebabkan oleh faktor baka (genetic). Ini bermakna jika ibu kepada wanita itu pernah mengalami melasma, anaknya juga lebih mudah mendapat masalah yang serupa.

”Tapi emak saya tidak menghadapi melasma..”

Jika begitu keadaannya, mendiagnosa merupakan satu kerja yang lebih sukar. Ini kerana melasma yang dialaminya mungkin disebabkan oleh penyakit-penyakit kronik yang lain.

Antaranya ialah pesakit yang mempunyai penyakit thyroid. Gejala  stress juga menyebabkan pengeluaran hormon yang mengrangsang melanocyte. Jadi sebelum membeli sebarang krim muka yang dikatakan mujarab, seeloknya buatlah pemeriksaan tahap kandungan hormon thyroid dulu. Ada juga melasma disebabkan oleh alahan kepada ubatan moden atau herba dan alat-alat kosmetik.

”Jika pemeriksaan doktor menunjukkan saya tidak mengalami apa-apa penyakit kronik dan tiada pengaruh keturunan, apa yang perlu saya lakukan?”

Saya boleh mencadangkan beberapa jenis krim yang mungkin boleh didapati di farmasi. Namun perlulah berjumpa doktor dahulu.

Jika wanita itu sedang hamil, saya nasihatkan agar jangan bimbang kerana masalah kulit ini akan berkurang malah hilang setelah melahirkan anak.

Bagi mereka yang sudah lama mengamalkan ubat perancang kehamilan, sudah masanya untuk menghentikan ubat itu. Menghentikan pengamalan ubat perancang keluarga atau pil hormon replacement therapy akan mengatasi masalah ini, namun haruslah mendapatkan nasihat doktor juga.

Walaupunbagaimana pun masalah ini boleh dibantu dengan:

  • Menggunakan krim seperti hydroquinone (HQ) namun haruslah dengan panduan dari doktor kerana ianya merbahaya, kerana ia boleh menyebabkan radang muka yang teruk.
  • Krim Tretinoin, iaitu ubat yang membantu menggantikan lapisan kulit yang lama, namun tidak boleh digunakan pada wanita hamil.
  • Krim Azelaic acid (20%), yang merendahkan aktiviti sel melanocytes. Namun ia mengambil masa yang lama untuk keberkesanannya.
  • Rawatan laser yang biasa dilakukan di klinik pakar kulit.

Rawatan-rawatan di atas mempunyai kesan-kesan sampingan yang tertentu dan haruslah mendapat nasihat doktor sebelum menggunakannya.

Wallahu a’lam

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (160211)

3 comments

  1. Yong shahriah

    salam dr.

    saya ada sedikit persoalan,adakah melasma sama dengan jeragat? kalau tidak dimana bezanya.

  2. salam alayk Doktor…
    Adakah melasma ini boleh diubati dengan cara tradisional?
    @ bagaimana pula melasma yang bukan pada wanita hamil, adakah ianya boleh hilang??
    @ mungkinkah melasma sejenis bakteria yang ada pada kulit?

  3. salam,

    setelah sy bertukar dari noriday ke regulon, kulit pada dahi, dagu dan leher sy kehitaman (bertompok), adakah akibat dari pil tersebut? perlukah saya berhenti menggunakannya? sy juga nk tahu lebih lanjut tentang pil yasmin.

    terima kasih.

Leave a Reply

error: Content is protected !!