Kopi Luwak : Manfaat dan Hukum

 

Kopi luwak atau juga dikenali sebagai civet coffee, adalah antara kopi yang termahal di dunia dan ia sangat sukar didapati. Ini kerana pengeluarannya sangat terhad.

 

Harga kopi luwak boleh mencecah antara US$100 dan $600 sekilo bergantung kepada kualitinya. Kopi yang dihasilkan oleh musang liar dalam hutan lebih mahal dari kopi yang dihasilkan oleh musang yang dijinakkan.

 

Kebanyakan pengeluaran kopi luwak ini dihasilkan di Pulau Sumatera, Jawa, Bali dan Sulawesi, Indonesia. Ia juga dikeluarkan di Vietnam, Filipina (dinamakan kape alamid) dan Timur Timor (kafé-laku).

 

 

 

Pengeluaran kopi ini bermula apabila bijian kopi yang dimakan oleh  musang sepsis Paradoxurus hermaphrodites, dipungut selepas melalui sistem penghadam dan dikeluarkan bersama najis musang.

 

Ketika berada dalam dalam perut dan saluran usus musang itu selama satu setengah hari, enzim proteolytic akan meresap dan mencernakan protein yang terdapat biji kopi ini. Pencernaan protein ini akan menghuraikan rantai molekul-molekul protein dan menghasilkan beberapa asid amino yang baru.

Jadi perncernaan hanya berlaku dalam biji kopi, dan apabila biji kopi ini dikeluarkan melalui dubur bersama najis musang, biji kopi ini masih tidak berubah sifat fizikalnya.

 

Penghuraian protein ini kepada asid amino yang lebih kecil akan menyebabkan kopi yang dihasilkan akan mengeluarkan aroma yang lebih wangi dan mengurangkan rasa pahit.

 

(rujuk: Marcone, Massimo, Food Research International, Volume 37, Issue 9, pages 901–912, 2004)

 

 

Dalam kajian yang dihasilkan oleh Marcone (2004), juga mendapati bahawa kopi luwak ini selamat diminum. Kuman-kuman yang mungkin berada di usus dan dubur musang dan melekat pada biji kopi sangat sedikit.

 

Oleh itu  ia tidak membahayakan peminum kopi kerana kuman-kuman ini akan hilang setelah melalui proses pembersihan, dan panggangan dengan haba yang tinggi  sebelum dibungkus dan dijual.

 

Tidak banyak kajian yang menyokong manfaat kopi luwak ini. Kopi ini hanya bermanfaat kepada peminumnya hanya kerana mempunyai kandungan kafein sebagaimana kopi-kopi yang lain.

 

Sebagai contoh, kopi berkafein bermanfaat untuk mengurangkan risiko menghidap penyakit nyanyuk (Alzheimer’s) dan penyakit Parkinson’s. Kandungan antioksidan dalam kopi akan menghalang kerosakan sel-sel otak. Jadi peminum kopi akan mendapat manfaat dari bahan kafein yang terdapat pada biji kopi.

 

 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 juga telah bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Meminum Kopi Luwak (Musang).

 

Muzakarah berpandangan bahawa kaedah fiqhiyyah menetapkan bahawa hukum asal mengenai sesuatu adalah harus selagi mana tidak ada dalil muktabar yang mengharamkannya.

 

Ulama’-ulama’ fiqh muktabar menjelaskan bahawa mana-mana bijian yang dimuntahkan oleh haiwan atau yang keluar bersama najis haiwan tersebut, selagi mana ianya tidak rosak dan masih kekal dalam rupa bentuknya yang asal atau jika ditanam ia mampu tumbuh, maka ia dihukumkan sebagai mutanajjis (benda yang terkena najis) dan bukan benda yang najis.

 

Maka Muzakarah memutuskan bahawa biji kopi luwak harus dijadikan bahan minuman dengan syarat:

 

1.    biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam; dan

2.    biji kopi tersebut hendaklah disucikan terlebih dahulu daripada najis.

 

Namun bagi memastikan syarikat pengeluar kopi mengikuti syarat di atas, maka JAKIM atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) haruslah memantau proses pengeluarannya sebelum diberikan sijil halal sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam.

 

Fatwa ini juga selaras dengan Fatwa Majlis Ulama Indonesia bertarikh 20 Julai 2010 bersamaan 8 Sya’ban 1430H.

 

Soalnya sekarang adakah kita bersedia mengeluarkan wang yang lebih banyak untuk mendapatkan kopi luwak yang beraroma dan mempunyai rasa yang kurang pahit, sedang kebaikan dan manfaat terhadap kesihatan adalah sama seperti kopi-kopi berkafein yang lain.

 

Adakah kita boleh percaya dalam memastikan syarikat pengeluar kopi telah mematuhi syarat-syarat yang diberikan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia. Tepuk dada, tanya iman..

 

Leave a Reply

error: Content is protected !!