Tahyul Moden: Garam Boleh Halang Kesan Radiasi Nuklear?

Pasaraya di Beijing dan Shanghai, China telah kehabisan bekalan serbuk garam semenjak khamis 17 Mac 2011. Ini kerana rakyatnya mempercayai khabar-khabar angin mengatakan kebocoran radiasi dari Kompleks Nuklear Fukushima Daiichi, Jepun boleh menyebabkan kanser thyroid. Iodised salt (garam yang ditambah unsur iodin) yang dijual di pasaraya pula dipercayai boleh mengelakkan kanser thyroid ini.

Kerajaan China gagal mengawal khabar-khabar angin ini dan rakyat China semakin panik walaupun tahap radiasi di 41 buah bandar di China masih normal.

Tahap panik yang melampau membuatkan seorang pelanggan di bandar Ningbo membeli bekalan serbuk garam untuk bekalan selama lima tahun bagi melindungi dirinya dan keluarganya.

Selain itu khabar-khabar angin juga memberitahu bahawa terdapat satu ubat pencegahan kanser thyroid, iaitu tablet potassium iodide. Kementerian Kesihatan di negara itu juga menasihati orang ramai agar tidak mengambil sebarang ‘ubat pencegahan radiasi’ yang mungkin dijual oleh orang yang mengambil kesempatan dari malapetaka ini.

World Health Organization (WHO) pula mengatakan bahawa unsur iodin yang terdapat dalam iodized salt sebenarnya tidak berkesan untuk mengelakkan kesan radiasi.

Ini kerana ia tidak mengandungi cukup  iodin untuk mengelakkan radioaktif iodin dari merosakkan  kelenjar thyroid. Untuk mendapat dos yang optima, ia bersamaan dengan 80 sudu teh iodized salt.

Untuk perbandingan, di Amerika Syarikat sebanyak 75 microgram iodine ditambah dalam setiap gram garam. Ini bermakna seseorang harus mengambil beberapa kilogram iodized salt untuk menyamai 130 milligram dalam satu tablet potassium iodide. Ini sudah tentu merbahaya kepada kesihatan dan mustahil untuk diambil dalam makanan.

Kesan radiasi terhadap manusia

Radiasi berlaku apabila nucleus pada zarah-zarah yang tidak stabil terhurai. Apabila sampai kepada tisu manusia, radiasi ini akan menyebabkan kerosakan yang dahsyat. Ia boleh menyebabkan kulit terbakar teruk, kanser dan kematian.

Radiasi diukur dengan unit rem, singkatan bagi “roentgen equivalent in man”. Ia mewakili jumlah radiasi yang boleh menyebabkan kerosakan pada manusia.

Dalam tragedi ngeri di Hiroshima dan Nagasaki, rakyat Jepun menerima jumlah rem yang banyak dari tiga sumber. Pertama mereka mendapat radiasi serta merta dari letupan bom nuklear. Kemudian dari pencemaran radiasi pada alam sekitar dan akhirnya dari pencemaran radiasi yang berada di atmosfera dan jatuh semula ke bumi.

Walaupun dos 25 rem boleh menyebabkan kerosakan dalam sel-sel darah, namun ianya tidak dapat dirasakan. Apabila radiasi mencapai 100 rem, ini akan menyebabkan tanda-tanda “radition sickness”, antaranya ialah rasa loya, muntah, sakit kepala dan apabila dilakukan  pemeriksaan darah ia menunjukkan kekurangan darah putih.

Dos 300 rem atau lebih bukan saja menyebabkan rambut gugur, tetapi juga kerosakan organ dalaman termasuk saraf dan sistem penghadaman. Mangsa yang mengalami kekurangan sel darah putih yang teruk mengakibatkan jangkitan kuman yang sukar dirawat dan akhirnya menyebabkan kematian.

Radiasi juga boleh mengurangkan platelet iaitu unsur penting dalam darah pembekuan darah. Kekurangan platelet akan menyebabkan pendarahan yang teruk pada organ dalaman terutama otak.

Separuh dari mangsa yang terdedah pada 450 rem akan mati serta merta, tetapi pendedahan pada 800 rem atau lebih akan menyebabkan kematian yang pasti.

Selain dari tanda-tanda di atas, mangsa juga mungkin akan mengalami ceret-beret yang teruk dan demam panas yang tinggi. Tiada ubat yang spesifik untuk penyakit ini, dan kematian selalunya akan muncul selepas beberapa hari.

Bagi mangsa yang terselamat pula, mereka mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap leukemia, kanser paru-paru, kanser thyroid, kanser payudara dan kanser organ-organ dalaman yang lain.

Hiroshima and Nagasaki

Ramai penduduk Jepun yang mati di Hiroshima dan Nagasaki bukan disebabkan oleh letupan bom secara langsung. Maksudnya mereka tidak mati akibat letupan tetapi mati akibat radiasi yang dilepaskan selepas letupan.

Sebagai contoh, seorang remaja berumur 14 tahun dimasukkan ke hospital selepas dua hari letupan berlaku. Beliau mengalami demam yang tinggi dan muntah. Sembilan hari kemudian rambutnya gugur dengan banyak. Pada hari ke-tujuh belas, hidungnya mula berdarah dan meninggal dunia pada hari ke-dua puluh satu.

Di Hiroshima dan Nagasaki, beberapa doktor yang terselamat, merasa pelik semasa merawat pesakit. Dalam buku  Nagasaki 1945, Dr. Tatsuichiro Akizuki menulis ”dengan rasa kehairanan, kami tidak mengetahui punca penyakit yang dialami oleh ramai pesakit. Mereka tiada mengalami kecederaan akibat letupan nuklear”

Selepas tujuh hingga sepuluh hari selepas letupan bom nuklear, ramai rakyat Jepun di kedua-dua daerah itu mula ‘mati beramai-ramai’. ’Penyakit misteri’ itu membunuh rakyat Jepun perlahan-lahan. Sebagai seorang doktor, saya tidak mampu berbuat apa-apa hanya melihat saja kematian seorang demi seorang pesakit saya

Doktor dan jururawat juga tidak tahu bahawa tubuh badan mereka juga terjejas akibat radiasi radioaktiviti.

Dr. Akizuki nenulis lagi “Kami semua mengalami ceret-beret dan pendarahan dari gusi. Kami hanya berkata dalam hati ‘esok maut akan menjemput aku pula’. Kami sangat bimbang tentang masa depan

Dalam beberapa bulan selepas itu, mereka yang terselamat dari letupan telah mengalami leukemia dan bilangan mereka amat ramai. Selepas itu, muncul pula kes kanser paru-paru, kanser thyroid, kanser payudara, dan beberapa jenis kanser lagi.

Pada masa sekarang belum ada lagi rawatan yang berkesan. Rawatan yang mungkin membantu hanyalah pemindahan darah dan pemindahan sum-sum (bone-marrow transplants). Itu pun jika pesakit mengalami tanda-tanda menghidap leukaemia.

Kesimpulannya, malapetaka yang berlaku di Fukushima Daiichi, Jepun bukan hanya akan menyebabkan kanser thyroid saja. ‘Penyakit radiasi’ adalah istilah yang besar bagi menggabungkan banyak penyakit dan kanser yang disebabkan oleh kesan radiasi radionuklear. Mustahil jika ada orang yang mendakwa satu ubat atau ‘alat pelindung’ yang dapat mengelakkan radiasi ini.

Menambahkan iodised salt dalam makanan tidak mencegah kita mendapat kanser thyroid akibat radiasi nuklear. Ia hanya berguna untuk mengelakkan penyakit hypothyroidism (iaitu kekurangan hormon aktif thyroid akibat kekurangan unsur iodin dalam pemakanan).

Oleh itu kita janganlah diperbodohkan oleh orang yang ingin mengambil kesempatan atas malapetaka ini. Mempercayai mereka adalah suatu kejahilan yang merugikan dan kita akhirnya tidak mendapat apa-apa.

Sebagai manusia yang dikurniakan akal, kita haruslah mempelajari serba-sedikit tentang radiasi ini. Semoga kita terselamat dari keprcayaan tahyul, khurafat di alaf baru dan terselamat dari ’syirik kecil’.

Wallahu a’lam

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (220311)

One comment

  1. DR,

    apa yang doktor katakan mungkin betul, dan apa yang orang lain katakan juga boleh dipertimbangkan.

    Ada sebab garam dijadikan oleh Allah, mungkin ia adalah penawar, orang yang ada membuat kajian mungkin menjumpainya sebagai penawar.

    Kadang-kadang Allah mengerakkan hati manusia untuk menyiasat atau mengkaji sesuatu yang telah di jadikan dan kelebihan perkara itu.

    Jadi adil tak kalau saya katakan kita beri peluang mereka yang ada masa untuk mengkaji tentang garam tersebut yang ada di dalam muka bumi, lautan, gunung dan sebagainya.

Leave a Reply

error: Content is protected !!