Banyak sangat kontroversi perubatan yang melanda. Paling baru saya mendapat pertanyaan dari seorang ibu di Australia. Pertanyaan itu dihantar ke dalam inbox facebook saya.
”Doktor, saya berada di Australia sekarang. Doktor yang menyambut kelahiran anak saya tidak memberikan suntikan Vitamin K. Beliau hanya memberikan titisan supplemen Vitamin K di mulut anak saya. Apakah kesan jika saya mendapat suntikan Vitamin K kerana saya diberitahu oleh rakan-rakan bahawa suntikan Vitamin K amat merbahaya”
Amalan di Malaysia
Di hospital kerajaan Malaysia, suntikan vitamin K diberikan kepada semua bayi yang baru dilahirkan. Saya belum mendengar di mana-mana conference perubatan yang saya hadiri tentang bahaya suntikan Vitamin K.
Namun saya lebih faham apa yang berlaku jika suntikan vitamin K tidak diberikan. Jika disuruh memilih, saya suka memilih sesuatu fakta yang saya yakini dan sahih daripada fakta yang belum terbukti dan hanya disokong oleh bukti-bukti yang lemah.
Suntikan Vitamin K biasanya diberikan semasa bayi dilahirkan untuk mengelakkan pendarahan dalam otak selepas beberapa minggu dilahirkan.
Dalam satu kajian yang dijalankan sebanyak 2 dari 100,000 bayi yang dilahirkan tanpa suntikan vitamin K akan mengalami pendarahan otak dan seterusnya menyebabkan kecacatan otak atau kematian.
Satu kajian lain pula yang diterbitkan oleh Journal Pediatrik di German, membuktikan pendarahan dalam otak berlaku antara 5 dari 100,000 kelahiran yang tidak menerima suntikan vitamin K. (rujuk: A.H. Sutor et al., “Late form of vitamin K deficiency bleeding in Germany,” Klin Padiatr (Germany) 207, no. 3 (May-Jun 1995): 89-97)
Apabila suntikan ini diberikan, ia akan menggalakkan penghentian darah jika berlaku insiden pendarahan dalam otak. Disebabkan organ dalam tubuh bayi belum matang, mereka mempunyai keupayaan yang rendah dalam pembekuan darah. Selain itu mereka tidak mempunyai bekalan Vitamin K yang cukup di dalam hati mereka.
Kontroversi
Semenjak tahun 1960an lagi, amalan suntikan vitamin K selepas lahir diberikan secara meluas di UK, Eropah dan US. Ia murah dan berkesan. Ia tidak mendatangkan kesan sampingan walaupun pada bayi yang mempunyai penyakit pada organ hati.
Namun begitu amalan ini mula dilanda kontroversi pada tahun awal 1990an. Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan telah membuat spekulasi bahawa suntikan vitamin K boleh menyebabkan penyakit childhood leukaemia.
Walau bagaimana pun kajian ini telah dipertikaikan oleh ramai saintis dan pakar perubatan. Kajian ini berbentuk retrospektif iaitu dengan mengkaji berapa ramai kanak-kanak yang telah menghidap penyakit leukaemia dan disuntik dengan Vitamin K, berbanding dengan kanak-kanak yang tidak disuntik Vitamin K dan mempunyai leukaemia.
Perbandingan ini sudah tentu memberikan angka besar dalam keputusan yang dihasilkan. Mereka mendapati bahawa risiko mendapat leukaemia meningkat sebanyak 1.8 kali ganda apabila diberikan suntikan vitamin K.
Kajian sebegini ialah satu kajian yang rambang kerana banyak faktor lain yang menyebabkan leukaemia tidak diambil kira. Pada saya, kajian ini tidak lengkap.
Hanya kebetulan kanak-kanak yang menghidap leukaemia mendapat suntikan Vitamin K. Maka tidak benar jika semua bayi yang disuntik Vitamin K dikatakan akan menerima nasib yang sama. Banyak faktor yang harus dipertimbangkan.
Kajian yang baik bermula dari awal bayi disuntik dan kemudiannya dilakukan follow up selama 15-20 tahun. Rekod-rekod mereka harus disimpan dengan baik dan dipertimbangkan banyak faktor-faktor seperti sosioekonomi ibubapa. Kemudian tentukan berapa banyak di antara kanak-kanak yang telah disuntik vitamin K menghidap leukemia dan berapa bilangan mereka yang tidak disuntik, menghidap penyakit yang sama.
Hanya disebabkan oleh satu penerbitan artikel dan tersebar luas di internet, seluruh dunia perubatan digoncangkan. Ia membimbangkan para ibu yang bakal melahirkan anak, dan berada dalam dilema sama ada bayi mereka nanti perlu disuntik atau pun tidak.
Banyak juga kajian yang dilakukan di seluruh UK, AS, German dan Sweden berikutan dengan penerbitan artikel itu. Tetapi ahli saintis dan pakar perubatan telah sebulat suara menyatakan “tiada bukti kukuh yang menyokong kenyataan bahawa suntikan vitamin K akan menyebabkan penyakit leukaemia di kalangan kanak-kanak”.
Sebagai contoh satu kajian di Denmark, yang membuat follow up semua kanak-kanak yang dilahirkan semenjak 1945 selama 40 tahun dan membandingkan bilangan mereka yang mendapat penyakit leukaemia dengan mereka yang tiada penyakit leukaemia. Pakar-pakar mendapati kanak-kanak yang menerima supplement vitamin K tiada kaitan langsung dengan penyakit leukemia.
Kajian di Scotland terhadap 400 orang kanak-kanak yang berumur sehingga 14 tahun yang sedang menghidap kanser leukaemia. Mereka juga mendapati tiada kaitan antara suntikan Vitamin K dan kanser itu.
Jawatankuasa Keselamatan Ubatan dan Jabatan Kesihatan United Kingdom juga membuat keputusan bahawa tiada data yang menyokong peningkatan kes leukaemia disebabkan oleh suntikan vitamin K.
American Academy of Paediatrics juga memberikan pendapat bahawa ‘suntikan vitamin K menghalang penyakit yang boleh membawa maut (pendarahan otak) dan risiko mendapat kanser leukaemia adalah tidak dapat dibuktikan’.
Jadi jelas bahawa suntikan vitamin K yang diamalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah selamat dan memberikan manfaat besar.
Risiko atau tidak berisiko?
Banyak kajian menunjukkan bayi yang dilahirkan mempunyai kekurangan vitamin K. Jadi mereka bila-bila masa saja boleh mengalami pendarahan.
Apatah lagi jika berlaku ’peristiwa’ yang boleh menyebabkan pendarahan, seperti bayi yang dilahirkan secara songsang atau dengan bantuan forcep. Sudah tentu mereka mempunyai risiko yang amat tinggi.
Begitu juga jika ibu mereka mengamalkan ubat anti-convulsion bagi mengelak ibu mengalami kejadian sawan. Bayi-bayi ini berada dalam kumpulan berisiko tinggi.
Tetapi statistik menunjukkan sebanyak 35% kes pendarahan otak berlaku tanpa tanda-tanda awal atau mereka yang tidak termasuk dalam golongan berisiko tinggi.
Di United Kingdom sendiri, dengan purata 800,000 kelahiran setiap tahun, 60-80 bayi mengalami masalah pendarahan, 15-20 bayi akan mengalami pendarahan di otak, 4-6 bayi mati akibat pendarahan ini manakala 10-20 bayi mengalami kecacatan otak akibat pendarahan otak.
Bolehkah suntikan digantikan ubat yang dimakan?
Ada ibubapa yang bertanya saya, bolehkah Vitamin K ini diberikan secara titisan ke mulut, dan bukan disuntik? Saya rasa ibubapa tidak faham isu yang sebenar. Isu yang dikhuatiri ialah ”vitamin K menyebabkan penyakit leukaemia di kalangan kanak-kanak” bukannya suntikan yang menyebabkan penyakit itu.
Jadi sama ada ianya suntikan atau titisan ke mulut, ia adalah perkara yang sama. Saya faham ada beberapa negara seperti Australia dan German telah menukar amalan pemberian dari suntikan vitamin K kepada ‘ubat yang ditelan’ (by mouth).
Untuk memberikan vitamin K ’ubat yang ditelan’, vitamin K harus diberikan beberapa kali dalam waktu yang tertentu. Ia diberikan 3 dose, iaitu pada waktu lahir, setelah berumur 7 hari, dan setelah berumur 28 hari untuk mendapat kesan yang sama seperti satu suntikan.
Masalah dengan vitamin K seperti ini ialah ramai ibu yang gagal membawa anak mereka ke pusat kesihatan untuk dos yang berikutnya.
Mahu beri atau tidak?
Kesimpulannya, terserahkan kepada ibubapa yang memilih terbaik untuk anak mereka. Di hospital kerajaan, Kementerian Kesihatan Malaysia mewajibkan suntikan ini diberikan kerana mengikut polisi yang telah ditetapkan.
Di hospital swasta, ibubapa mempunyai pilihan untuk tidak diberikan suntikan kepada anak mereka. Di Malaysia, saya belum lagi mendengar ada Vitamin K yang diberikan melalui titisan melalui mulut. Jadi risiko pendarahan seharusnya dipikul oleh ibubapa sendiri setelah berbincang dengan doktor yang merawat.
Saya amat yakin bahawa tiada bukti yang kukuh mengatakan bahawa suntikan Vitamin K boleh meningkatkan risiko mendapat kanser darah (leukaemia) di kalangan kanak-kanak. Jika ada kanak-kanak yang mendapat penyakit yang merbahaya itu, ianya berlaku secara kebetulan. Banyak faktor-faktor yang menyumbang untuk seseorang kanak-kanak mendapat leukaemia.
Adalah tidak adil, hanya kerana hanya satu kajian saintifik yang lemah, telah menyebabkan kita meletakkan risiko yang tinggi terhadap anak-anak kita.
Wallahu a’lam
Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (190311)
Dr,
Saya ingin bertanya apakah kesan dari akibat darah beku di otak bagi bayi berumur seminggu?