Suami Isteri Perlu Berpelukan

Ramai pasangan suami isteri muda hari ini tidak menyedari sentuhan fizikal adalah sesuatu yang amat diperlukan. Kesibukan, keletihan balik kerja dan anak kecil yang memerlukan perhatian bukanlah alasan untuk tidak memberikan sokongan emosi kepada pasangan kita dengan melalui sentuhan fizikal, iaitu dengan cara berpeluk.

Pelukan adalah suatu sentuhan fizikal yang tidak perlu diajar. Sejak dari bayi hingga remaja, kita selalu mendapat sokongan emosi dengan pelukan, sama ada pelukan ibu semasa bayi dan pelukan rakan-rakan sepermainan.

Namun setelah berumah tangga kita kadang-kala terlupa bahawa orang dewasa yang sudah berkahwin dan mempunyai anak juga memerlukan pelukan.

Keperluan pelukan antara suami-isteri

Tidak kira sama ada suami atau isteri, kedua-duanya mengalami kehidupan era moden yang meletihkan fizikal dan emosi.

Suami yang bertindak sebagai ketua keluarga dan mencari nafkah, sering merasakan tekanan di tempat kerja dan tidak lepas mengalami perasaan-perasaan negatif seperti berputus asa, perasaan marah atau perasaan rendah diri.

Perasaan-perasaan yang tidak dikawal dengan baik akan mengundang penyakit-penyakit seperti penyakit tekanan darah tinggi, diabetes dan serangan sakit jantung.

Bagi wanita pula urusan rumah tangga yang tidak pernah selesai dan perangai anak-anak yang menduga perasaan, akan menyebabkan para isteri memerlukan seseorang untuk meluahkan perasan yang terpendam.

Oleh itu suami dan isteri saling memerlukan antara satu sama lain untuk mengurangkan tekanan perasaan.

Ramai pakar psikologi yang mencadangkan ‘rawatan pelukan’ di mana suami dan isteri digalakkan berpeluk sebelum tidur selama 10 minit. Pelukan ini harus dinikmati tanpa diteruskan dengan hubungan jima’. Tujuannya agar segala perasaan yang negatif tersimpan dalam hati sepanjang hari dapat dilepaskan dengan memeluk suami atau isteri.

Jadi pelukan adalah sangat diperlukan dalam hubungan suami dan isteri. Ia akan merapatkan hubungan suami isteri. Pelukan tidak harus dilihat sebagai mukadimah pada hubungan jima’ antara suami dan isteri saja. Pelukan juga harus dilihat sebagai hubungan perasaan dan perkongsian emosi antara suami dan isteri.

Kelebihan berpelukan

Pelukan adalah satu sentuhan fizikal erat yang dilakukan pada di leher, belakang badan atau pinggang. Pelukan kadang-kala melibatkan kucupan, pandangan mata, sentuhan mesra dan beberapa gerakan tubuh lain.

Oleh itu, mereka yang berpelukan menandakan hubungan mereka amat rapat, dan mempunyai pertalian kasih sayang yang mesra.

Ramai ahli psikologi menyatakan kebimbangan terhadap pasangan suami isteri yang jarang berpelukan. Mereka bimbang perkahwinan pasangan seperti ini adalah perkahwinan yang diikat oleh ‘lafaz nikah’ dan hubungan fizikal dan jima’ saja, dan bukan hubungan emosi dan perkongsian perasaan.

Islam juga menggalakkan hubungan emosi. Dalam satu riwayat hadis yang mahsyur, Rasulullah s.a.w memberitahu,

“Man laa yarham laa yurham (barangsiapa yang tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi) (Bukhari dan Muslim).

Perbanyakkanlah luahan kasih sayang dengan ucapan dan sentuhan fizikal (pelukan).

Pelukan ibarat baja yang sangat diperlukan oleh pokok. Tanpa baja, pokok mampu hidup, namun ia tidak subur. Daunnya menjadi kuning dan mudah gugur. Pokok itu tidak menghasilkan bunga atau buah.

Pelukan adalah tanda luahan kasih sayang antara suami dan isteri. Ia memperbaiki hubungan yang retak dan menyuburkan kasih sayang antara suami dan isteri.

Bagi pasangan yang agak berat untuk menyatakan “Saya sayang awak..” dengan perkataan,  pelukan adalah cara alternatif terbaik untuk melafazkannya.

Pelukan bukan setakat perkongsian emosi saja, malah lebih dari itu. Pelukan boleh menunjukkan sokongan emosi ketika suami atau isteri sedang menerima ujian getir perjalanan hidupnya.

Pelukan juga melambangkan rasa gembira atau kesedihan. Jika kita memilih pasangan kita untuk dipeluk, bermakna pasangan kita itulah orang yang mempunyai hubungan fizikal dan emosi yang rapat.

Jangan hairan, seorang suami atau isteri lebih gemar memeluk anak dari pasangan masing-masing. Saya pernah diberitahu oleh seorang pesakit yang mengalami sakit kepala akibat stress, memberitahu suaminya tidak pernah memeluknya kecuali sebelum melakukan hubungan jima’.

Mereka sudah mempunyai empat orang anak tetapi masih kekok untuk berpelukan bagi menyatakan kasih sayang. Saya mengesyaki mereka belum lagi dapat menjalankan hubungan emosi walau sudah lama bergelar suami dan isteri.

Perbualan mereka sebagai suami dan isteri hanya membincangkan hal-hal berkaitan siapa yang akan membayar bil air dan api, barang-barang keperluan dapur harus dibeli dan hal persekolahan anak-anak.  Tidak ada masa untuk menluahkan emosi, rasa gelisah dan rasa kekecewaan.

Malah si suami meremehkan emosi isteri dan tidak melayannya.

Apabila kesedihan, isteri suka memeluk anak atau bantal dari memeluk suami.

Suami yang sering berurusan out station dan berjauhan dengan isteri boleh menjadikan pelukan sebagai cara terbaik meluahkan rasa rindu. Seorang isteri atau suami boleh menilai kasih sayang pasangan mereka dengan pelukan.

Pelukan rindu seharusnya merupakan pelukan yang mesra dan kemas. Jika pelukan itu sangat ringkas dan tidak beremosi, sudah tentu ia bukan pelukan yang menyatakan rindu dan kasih sayang. Ia lebih kepada pelukan biasa yang penuh keraguan.

Kesan pelukan

Satu kajian psikologi telah diterbitkan di Journal American Psychosomatic Society. Mereka membandingkan beberapa pasangan yang menunjukkan suami isteri yang menonton rancangan video selama 10 minit sambil memegang tangan, kemudian di akhir sesi itu berpelukan selama 20 saat.

Sementara sekumpulan pasangan lain hanya melihat video yang sama di kerusi berasingan tanpa berpelukan di akhir sesi.

Kemudian setiap pasangan ditemuramah untuk menceritakan saat yang paling stress sepanjang hari itu sambil diperiksa tekanan darah dan denyutan nadi. Pasangan suami isteri yang berpelukan tadi dengan tenang menceritakan masalah mereka dan ramai yang hampir lupa saat yang paling stress yang mereka tempuhi pada hari itu.

Sementara pasangan yang duduk berasingan ketika menonton video, pula bercerita dengan penuh emosi saat-saat stress mereka pada hari itu sambil tekanan darah meningkat dan denyutan nadi sangat pantas.

Ramai saintis yang berpendapat bahawa sentuhan dan pelukan suami dan isteri akan mengurangkan pengeluaran hormon yang bertindakbalas dalam tubuh ketika tertekan seperti cortisol dan adrenaline. Pelukan juga akan menyebabkan kelanjar di otak akan mengeluarkan hormon serotonin dan dopamine, yang memberikan rasa tenang dan tenteram.

Pelukan juga akan menyebabkan gelombang di otak menjadi lebih tenang, lalu mengurangkan stress dan kerisauan. Oleh itu bagi pesakit yang mengalami masalah kerisauan (anxiety) dan mempunyai emosi yang tertekan, memeluk binatang peliharaan adalah  rawatan kejiwaan yang baik.

Namun apa yang lebih baik lagi jika suami atau isteri memeluk pasangan masing-masing ketika mereka mengalami tekanan jiwa dan perasaan dalam keadaan kerisauan.

Pelukan dan oxytocin

Oxytocin adalah biokimia semulajadi dalam otak yang merangsangkan hubungan erat antara ibu-anak, suami-isteri, merangsangkan perasaan kasih sayang antara ayah kepada anak, dan menggalakkan suami untuk kekal setia pada isterinya.

Dalam kehidupan yang realiti, hormon oxytocin akan menyuburkan keluarga yang bahagia, tanpa perang mulut atau keganasan fizikal.

Hormon oxytocin dikeluarkan ketika berpelukan dan ia adalah sebahagian dari tindakbalas seksual. Oleh di kala ramai isteri yang sedang sedih minta dipeluk suami mereka, si suami membaca mesej yang salah. Mereka menyangka itu permintaan untuk melakukan hubungan jima’ dari si isteri.

Secara fizikalnya, kita akan dapat menganggak apabila oxytocin dikeluarkan, dengan melihat perubahan wajah yang menyenangkan dan intonasi suara yang menjadi semakin lembut.

Oxytocin juga akan menghalang pengeluaran hormon yang menyebabkan stress iaitu hormon cortisol dan norepinephrine. Secara tidak langsung oxytocin akan mengurangkan risiko seseorang mengalami sakit jantung.

Ini bertepatan dengan banyak kaijan mendapati wanita yang tidak bahagia dalam perkahwinannya mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit jantung.

Masa masa untuk berpelukan

Pelukan antara suami isteri adalah perbuatan halal di sisi Islam. Oleh itu boleh dilakukan sekerap yang mungkin tetapi biarlah mengikut keadaan.

Sebagai contoh, apabila berada di bilik tidur, tentu pelukan romantis itu dilakukan dengan kadar masa yang agak lama sambil mengucapkan kata-kata manis. Sentuhan fizikal pula boleh dilakukan tanpa hal batasan.

Tetapi apabila berada di depan anak-anak, tentu pelukan pada bahu suami dan isteri lebih sesuai untuk memberitahu bahawa mereka adalah pasangan ibubapa yang bersefahaman.

Sementara apabila berada di khalayak ramai, tentu pelukan tubuh harus dikurangkan. Sentuhan fizikal seperti memegang bahu dan  tangan mungkin lebih sopan.

Pelukan boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana saja. Namun bagi rakyat Malaysia, elok juga perlakuan pelukan antara suami dan isteri  dilakukan dengan berhati-hati di khalayak awam.

Lama berpelukan

Pelukan boleh dilakukan untuk beberapa saat hingga beberapa jam. Ia bergantung kepada tujuan pelukan itu.

Bagaimana mahu memeluk dengan baik?

  1. Pastikan apakah jenis pelukan yang hendak diberikan. Sama ada pelukan itu pelukan mesra, pelukan romantik, pelukan gurauan, pelukan kegembiraan dan tahniah atau pelukan simpati.
  2. Lebarkan tangan dan senyumlah ketika mulakan pelukan. Bagi lelaki suka memeluk pinggang dan belakang isterinya dan isteri pula lebih suka memeluk leher dan bahu suami. Tarik dan rapatkan tubuh dan rasakan sentuhan pada dada, abdomen dan peha.
  3. Pelukan harus dilakukan dengan perasaan. Sesekali peluk erat dan rapat bagi menunjukkan kita selesa dengan suami/isteri kita.
  4. Tukar posisi sama ada pelukan dari tepi, pelukan dari belakang atau pelukan sambil duduk menonton TV. Boleh memeluk bahu sambil memegang tangannya.
  5. Yang penting rasakan kenikmatan dan keseronokan bersama. Tinggalkan semua fikiran yang mungkin mengganggu, sama ada memikirkan pinggan yang belum dibasuh atau bunyi telefon bimbit.
  6. Peluklah suami/isteri selama yang mahu. Ia boleh jadi beberapa saat, hingga beberapa minit. Jika mampu bolehlah peluk untuk beberapa jam terutama jika isteri berada dalam keadaan trauma perasaannya seperti baru keguguran atau baru diragut begnya.
  7. Sambil memeluk, ucapkan kata-kata romantik, kata-kata semangat dan motivasi atau kata-kata memujuk. Elakkan pelukan ala kadar yang mungkin memberikan mesej yang salah.

Siapa harus memulakan?

Jika dalam keluarga yang kurang mempunyai hubungan emosi dan dikendali oleh seorang bapa yang garang dan tegas, saya percaya bahawa pelukan adalah sesuatu perbuatan yang asing. Malah ia boleh digambarkan sebagai ‘perbuatan yang melampau’ dilakukan di hadapan anak-anak.

Jadi janganlah mengharapkan suami atau isteri yang dididik dalam keluarga yang sebegitu akan memulakan pelukan itu.

Suami juga kadang-kala merasa kekok untuk melakukannya kerana mereka melihat dari perspektif yang berbeza. Memulakan pelukan pada mereka adalah perbuatan yang dilihat sebagai perbuatan yang tidak macho, mencabar sifat kelakian dan meruntuhkan keegoannya.

Dalam diam, suami sebegini sebenarnya minta untuk dipeluk oleh isterinya walaupun berat mulut mereka memintanya.

Jadi persoalan siapa yang peluk dahulu tidak harus diperdebatkan. Malah orang yang hebat ialah orang yang memulakan pelukan itu kerana dia telah meruntuhkan perasaan kekok, malu dan ego.

Jadi jika suami yang tidak memulakan pelukan, maka eloklah isteri yang memeluk dulu. Tiada hadiah untuk siapa ‘menang’ dalam soal mencantumkan perasaan dalam rumahtangga.

Banyak kajian menunjukkan pelukan akan mengurangkan tekanan emosi, merendahkan tekanan darah, seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung. Dalam hal ini, wanita yang mendapat faedah paling banyak kerana hormon oxytocin yang dikeluarkan oleh wanita lebih banyak berbanding dengan lelaki.

Pelukan harus diberikan setiap masa, sekerap yang mungkin. Saya sendiri memeluk isteri saya setiap kali mahu pergi kerja, sebaik sahaja saya tiba di rumah dari tempat kerja dan ketika mahu tidur.

Ia harus dijadikan suatu tabiat untuk menyatakan rasa cinta dan kasih antara suami dan isteri.

Wa allahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (250112)

 

IKLAN

 

Bagi wanita yang mengalami masalah kitaran haid yang tidak menentu, dan bagi wanita yang baru melahirkan anak, saya mencadangkan suplemen , selain dari vitamin C dan E. Boleh dapatkan produk Kacip Fatimah keluaran UTM di http://needsvenue.com.my

Bagi individu yang mengalami kekeringan kulit, terutamanya eczema saya mencadangkan cream Labicea Revitalizing Moisturizer. Info lanjut di https://www.facebook.com/Labicea-Revitalizing-Moisturizer-486696818067490/

Untuk pembelian menggunakan kad kredit sila klik di bawah:

Warisan tradisi silam kini dalam tangan anda

 

 

 

13 comments

  1. nice article doc! saya suka baca blog doc sebab byk ilmu saya dapat. thanks very much doc!

  2. Saya akan mula memeluk suami saya selepas ini! Nice one doc :-)

  3. bila nk peluk aje,dh kene marah..mmcam mana tu?

  4. i like to read ur article soo much..i just love reading though tak berpeluang lagi nak mempraktikkannya..hihi…guess i just do the practical with my mum,dad,bros,sis n frenss..;)

  5. Dah jadi satu habit dah doc… bila nak rest sekejap bila penat bekerja mesti nak baca artikel-2 dalam blog doc nie.. suka sangat-2 .. banyak ilmu dapat.. moga doc murah rezeki aminnnn…

  6. indahnya…..tersangatlah indah.

  7. saya baru amalkan peluk suami.. dia rasa dihargai wlpn sudah 13 thn bkahwin namun belum tlambat untuk bbuat demikian

  8. alhamdulilah, setiap pagi, sebelum suami pegi kerja, kami akan berpelukan sekurangkurangnya 1 minit.. & kami akn katakan i love u, kesannya, walaupun kami sibuk dengan tanggungjawab di tempat kerja, kami rasa semanagat unk balik rumah, rindu.. hehehe

  9. stiap pg seblum suami g keje kami akan bepelukan… klu ad salah sorg x puas hati akan di luah wktu nie.. rasa tenang sangat

  10. Saya suka baca artikel Dr. ni sebab saya sedang mengalaminya sekarang.

    Bukan apa pun, sekurangnya saya rasa lega kerana apabila saya dipeluk, ia satu bentuk kelegaan emosi dari seorang suami.

    FYI, saya sekarang ini selalu memendam emosi kerana kurang sokongan emosi terutama dari isteri. Saya harap mampu mengawalnya tanpa menjejaskan diri sendiri.

    Very good article Doc!!!

  11. saya suka baca artikel ni tapi sayangnya x dpt share di twitter dan facebook utk saya sharekan kpd husband.biar dia baca sendiri.
    Husband saya agak ego dan sukar menerima perkara ini skarang ni..

    • saya suka baca artikel ni tapi sayangnya x dpt share di twitter dan facebook utk saya sharekan kpd husband.biar dia baca sendiri. Husband saya agak ego dan sukar menerima perkara ini skarang ni..

      Dr Zubaidi: Terima kasih atas sokongan puan. Banyakkan doa untuk suami yang ego. Ajak dia berjemaah di rumah atau galakkan dia bersolat di masjid setiap waktu. Saya pernah melihat seorang lelaki yang dulunya nakal dan degil, ego tinggi dan pembengis, telah menjadi lelaki yang penyayang dan soleh. Semoga ALLAH memudahkan usaha puan.

Leave a Reply to hudaCancel reply

error: Content is protected !!