Sawan dan Ketumbuhan Otak: Tiada kaitan dengan saka

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “kami beriman”, sedang mereka tidak diuji? [Al-Ankabut 29: 2]

Banjir besar di Kota Tinggi

Pada akhir tahun 2006 dan awal tahun 2007 iaitu bermula dari 19 Disember 2006 sehingga 16 Januari 2007, Kota Tinggi telah dilanda banjir besar dlm sejarah tanahair.

Banjir gelombang pertama pada 19 Disember telah menenggelamkan hampir keseluruhan bandar Kota Tinggi termasuklah bank, kedai-kedai dan kompleks membeli-belah.

Namun banjir gelombang kedua bermula dari 11 Januari 2007 lebih dahsyat kerana menenggelamkan tempat yang tidak ditenggelamkan sebelumnya sehingga hampir menerjah masuk ke Hospital Daerah Kota Tinggi (HDKT).

Ini terjadi berikutan angin monsun Timur Laut yang bertiup dari bulan Oktober hingga Mac menyebabkan hujan lebat telah melanda seluruh negeri Johor selama hampir seminggu sehingga Sungai Johor tidak mampu lagi menampungnya.

Hampir 12,000 orang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan yang terpaksa dibuka dua kali kerana banjir telah melanda sebanyak dua kali. Malahan terdapat pusat-pusat pemindahan juga ada yang turut dinaiki air menyebabkan mangsa-mangsa terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan lain”.

Sumber:  http://ms.wikipedia.org/wiki/Kota_Tinggi#Peristiwa_banjir_besar_Kota_Tinggi.

Saya tidak mengingati tarikh peristiwa itu. Semua catatan yang saya tuliskan telah luntur di dalam saku baju dibasahi hujan lebat dan air lumpur ketika itu. Saya datag bersama dengan beberapa ahli NGO perubatan dan berkampung tiga hari di sana. Semua catatan kenangan itu hilang. Maka saya cuba mencari kembali catatan tarikh itu di wikipedia.

Saya tidak mengingat apa-apa kejadian lain kecuali sesuatu yang amat ‘menjentik’ fikiran saya. Ketika mengadakan lawatan untuk pembahagian makanan seharian bagi penduduk yang berpindah di pusat kesihatan, saya diminta merawat beberapa ‘penghuni’ pusat pemindahan itu.

Saya memahami keadaan mereka. Setelah seminggu berkampung di pusat pemindahan, berbanding saya ketika itu hanya baru tiba di sana, keadaan kehidupan seharian mereka  memang tidak selesa.

Laksamana Bentan dan Sultan Johor Mangkat Dijulang

Tentu kita dapat membayangkan keadaan mereka.  Maka di saat itu datang seorang remaja perempuan berumur 17 tahun datang ke ‘meja pemeriksaan’ saya.

Dia mengadu sakit kepala yang kuat beberapa hari ini. Semasa menceritakan simptomnya, dia berkata sakit kepalanya telah lama mengganggu kehidupannya dan ada kalanya dia tidak ke sekolah.

Dengan kekurangan yang ada di ‘mobile clinic’, saya mencadangkan agar beliau menjalani pemeriksaan lanjut di HSA JB kerana saya mengenali seorang pakar neurology di sana.

Belum saya sempat saya menuliskan surat rujukan, dia memberitahu saya sesuatu. Kata-katanya membuatkan saya terfikir-fikir sehingga kini tentang tahap pemikiran orang Melayu kita.

Tak payahlah doktor suruh saya buat pemeriksaan doktor pakar. Kami sekeluarga memang keturunan Laksamana Bentan, sumpahan Sultan Mahumud Mangkat Dijulang masih belum berakhir. Adik saya lebih teruk. Dia sering kena sawan dan pengsan

Saya tidak pasti sama ada itu hanyalah ungkapan gurauan, atau ungkapan kebanggaan kerana dia berketurunan Laksamana Bentan yang menderhakai Sultan Johor ketika itu atau dia mengungkapkan kata-kata dungu yang berfikiran singkat dan cetek ilmunya.

(Bila saya kaji semula kitab Sejarah Melayu, kononnya keturunan Laksamana Bentan akan muntah darah selama tujuh keturunan. Bukannya sakit kepala atau pengsan)

Saya segera teringat kejadian yang diceritakan oleh rakan saya pakar neurology itu tentang peristiwa seorang remaja lelaki yang sering pengsan di sekolah asrama di Muar. Pelbagai teori khurafat dan syirik yang diberikan, antaranya kawasan itu keras, hantu penunggu di situ belum dijamu dan remaja itu disantau dan pelbagai.

Dipendekkan cerita, pemeriksaan CT scan otak di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, mendapati remaja itu menghidap tumor otak yang tidak merbahaya dan akhirnya selamat dibedah.

Kaitan sawan dan tumor otak

Perkara ini dibincangkan dengan panjang lebar di suatu sesi Continuos Medical Education (CME) anjuran Malaysian Medical Assciation Johor yang diadakan di Johor Bahru beberapa tahun dahulu. Ramai doktor yang bertanyakan tentang kaitan sawan dengan tumor otak.

Malah di kalangan orang awam juga yang sering beranggapan bahawa jika seseorang itu mengalami sawan, kemungkinan besar pesakit itu mengalami sesuatu di dalam otaknya (tumor).

Namun begitu saya ingin memberitahu bahawa setiap orang yang sawan (Seizures) tidak semestinya menghidapi penyakit ketumbuhan otak. Ianya hanyalah salah satu tanda yang boleh menunjukkan seseorang itu mungkin menghidapi ketumbuhan otak. Keliru?

Ianya ibarat di mana ada semut, kemungkinan di situ ada gula. Namun bila ada gula, tidak semestinya di situ telah ada semut.

Nasihat saya bagi mereka yang mempunyai sawan adalah segeralah berjumpa dengan pakar saraf (neurologist). Cara terbaik utuk menentukan sama ada ianya benar-benar sawan ialah dengan menjalani pemeriksaan EEG, dan CT scan otak pula membantu untuk menentukan adanya ketumbuhan otak.

Electroencephalography (EEG) sebenarnya adalah suatu maklumat untuk mengesan aktiviti eletrik yang dihasilkan oleh saraf neuron di dalam otak. Ianya amat berkesan untuk menentukan seseorang itu mempunyai penyakit sawan atau tidak.

Maka tidak lengkap jika sesorang itu mengaku mempunyai penyakit sawan, tetapi tidak pernah membuat ujian EEG dan CT scan otak. Namun harus diingat bahawa tanda awal tumor otak adalah sakit kepala. Apatah lagi jika pesakit mengalami beberapa masalah saraf (neurological deficit) seperti kebas tangan dan lemah sebelah tubuh.

Tidak semua orang yang menghidap ketumbuhan otak akan mengalami sawan. Ini semua bergantung kepada jenis ketumbuhan dan lokasi di mana ketumbuhan itu berada di dalam otak.

Apa sebenarnya sawan (seizures)

Bila secara tiba-tiba aliran impulse elektric yang tidak normal berlaku di dalam otak, ini akan menyebabkan sawan.

Sawan juga menyebabkan perubahan fizikal seperti twitching (terasa otot seperti tertarik-tarik) atau convulsions (tubuh menggelepar) atau mungkin setakat termenung (staring) untuk beberapa minit.

Malah pesakit tidak dapat mengawal berak dan kencing, dan ada yang tiba-tiba pengsan. Perkara-perkara di atas adalah tanda-tanda yang serius dan harus ditanyakan kepada doktor. Ini semua bergantung kepada tempat di mana aliran elektrik terganggu di otak. Ianya juga bergantung sama ada ianya berasal dari otak sendiri (primary) atau kanser yang berasal dari tempat yang lain (metastatic).

Mengapa sawan berlaku pada pesakit yang mempunyai ketumbuhan otak ?

Sawan boleh berlaku akibat banyak sebab pada pesakit yang menghidap tumor (ketumbuhan) otak. Kewujudan tumor itu sendiri di dalam otak yang menghalang aktiviti pengaliran impulse yang dihasilkan oleh saraf neuron.

Tumor ini juga menyebabkan tekanan dalam otak (intracranial pressure) bertambah. Parut (scar tissue) akibat pembedahan lama di otak itu juga menghalang penghantaran impulse elektrik.  Stress dan tidur yang tidak mencukupi (sleep deprivation) adalah salah satu sebab mengapa secara tiba-tiba pesakit tumor otak mengalami sawan.

 

Kepentingan merawat sawan

Sawan boleh berlaku sekali atau berpuluh-puluh kali. Apa yang penting adalah mencegah dan mengawal kejadian sawan.

Sawan itu sendiri sebenarnya tidak membunuh pesakit ketumbuhan otak, namun keadaan sekeliling yang menjadi ancaman pada keselamatan mereka.

Sebagai contoh, apabila berlakunya  sawan ketika memasak, minyak panas bole menyimbah ke atas badan pesakit. Sawan ketika memandu pula boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.

Bagi pesakit sebegini, sawan hanya dapat dikawal dengan ubat anticonvulsion atau antiepileptik.

Berbalik kepada cerita tadi, remaja yang menganggap dirinya mangsa keadaan (berketurunan Laksamana Bentan), saya secara peribadi amat sedih dengan pemikiran kita yang masih menganggap kejadian mistik adalah segala-galanya dalam hidup. Segalanya dikaitkan dengan kepercayaan tidak berasas. Ada juga yang mencampurkan mistik yang berasal dari kepercayaan Hindu dengan kemurniaan Islam.

Saya teringat kepada kata-kata Za’ba yang mengulas sikap orang Melayu termasuk dalam hal beragama. Sikap suka bergantung kepada orang dan suka mengambil kesempatan atas nama agama.

Menurut Za’ba, cara beragama yang salah telah melemahkan bangsa Melayu. Sikap enggan menilai semula apa yang menjadi kebiasaan yang kadang-kala dikaitkan dengan agama membentuk nilai diri yang enggan berubah dan lemah.

Antara kata-kata Za’ba: “Tuhan selalu mencela keras akan orang-orang yang hanya mengikut dengan buta tuli sahaja apa yang dikatakan orang atau apa yang biasa dibuat orang. Umpama mereka yang berdegil mengikut jalan nenek moyang atau pendapat orang dahulu-dahulu dengan tiada ditimbang lagi salah benarnya atas neraca timbangan akal sendiri, bahkan tiada dikira walaupun berlawanan dengan akal fikiran yang insaf dan bersalahan dengan ilmu pengetahuan yang sah betulnya”

Pemikiran kita harus berubah…

 

Susunan Dr Zubaidi b Hj Ahmad (290710)

http://www.facebook.com/drzubaidi

7 comments

  1. terima kasih atas info yg sgt berguna ini. sy menghadapi situasi yg sama, tetapi ia berlaku ke atas anak sy. Abnormaliti pada kromosom ke 2 menjadi punca berlaku gejala sawan. EEG juga telah menunjukkan sawan memang berlaku dan masih dalam rawatan. Gejala sawan juga menjadi salah satu faktor kepada GDD yang dialami anak saya. NAmun, kita yg lebih terbuka sekarang dah boleh terima situasi dan kurang mempercayai mitos kerana telah dibuktikan oleh medical team. Banyak yang harus dipelajari dan tulisan ini salah satu sumber maklumat yang sgt berguna. Terima kasih doktor.

    • Terima kasih puan atas perkongsian cerita. Sudah tentu ianya membantu saya dalam urusan klinikal dan menceritakan kepada pesakit2 yg lain.

  2. Assalamualaikum Dr,
    Anak saya dikesan mengalamai sawan (focal epilepsy) melalui eeg sejak thn lalu. Walaupun telah mengambil 2 jenis ubat masih tidak berubah maka diminta menjalani MRI. Keputusan amat mengejutkan kami sekeluarga kerana menunjukkan kewujudan tumor pada otak sebelah kanan / belakang . Menurut doktor kemngkinan perlu dibedah dan keputusan akan diberi mungkin pada Isnin depan.
    Saya amay risau/dukacita/keliru kerana ramai yang bercerita negatif tentang kesan dan risiko dari pembedahan otak ini. Ada juga yang menyarankan cara perubatan kampung/Islam.. Saya berharap dr. dapat memberi sedikit pandangan….t/kasih.

  3. doktor,,
    sy ingin berkongsi pengalamn sy,,

    sgale ye bermula pada tahun lepas,
    usia sy 20 tahun,
    sy menghadapi sawan pertama,
    sehinga hari ini suda 3 kali terkena sawan,
    slain itu sy juga menghadapi gangguan penglihatan yg tidak berkaitan dengan mata selepas sy terkena sawan,
    da ia nya boleh di kate kn setiap mase,
    tap sy x tau punca ye,,

    pd pendapat doktor ape kebarangkalian ye berpunca?
    trima kasih

  4. Slm DR..bagaimana pula yang dikatakan sawan ketika demam yang suhunya terlampau tinggi…boleh DR jelaskan…anak saya skrg mengalaminya..teerima kasih

  5. Assalamualaikum dr saya juga mempunyai masalah termenung dan disah sawan beberapa bulan ini. Saya telah menjalani MRI dan keputusan yang mengejutkan di dapati ketumbuhan dalam otak saya.doktor menyarankan saya membuat pembedahan. Saya berharap pandangn dari doktor. Terima kasih.

  6. sebenarnya sumpahan itu memang telah tiada…mana yg mengatakan dia adalah keturunan laksmana bentan hendaklah menunjukkan bukti sahsiah keluarga dr laksmana bentan hingga la sekarang……sekirannya tiada ia telah mencemarkan keturunan laksmana bentan yg sedia ada….oleh itu tolong la jangan nak membelitkan fakta yg tidak jela mahupun nyata

Leave a Reply

error: Content is protected !!