Semalam saya berkongsi tentang masalah pening kepala. Antara punca masalah ini yang saya kongsikan semalam adalah masalah yang berkaitan dengan masalah dalam telinga. (boleh rujuk perkongsian semalam).
Selain itu, masalah ini juga boleh disebabkan oleh masalah kekurangan sel darah merah (anemia). Jika mengalami pening, doktor mungkin mencadangkan pemeriksaan darah untuk mengetahui tahap hemoglobin, jika doktor mengesyaki masalah anemia.
Selain itu rasa pening kepala boleh dirasai oleh mereka yang mempunyai masalah tekanan darah rendah secara tiba-tiba. Oleh itu pemeriksaan tekanan darah amat penting kerana penurunan tekanan darah secara tiba-tiba bukan saja boleh menyebabkan rasa pening kepala tetapi juga boleh menyebabkan pengsan dan kematian.
Satu lagi keadaan dinamakan ‘Orthostatic hypotension’ dimana rasa pening apabila melakukan perubahan posisi dengan cepat dari keadaan duduk kepada keadaan berdiri. Saya mencadangkan agar terus berbaring jika mengalami masalah ini bagi mengelakkan diri terjatuh dan mencederakan kepala.
Masalah jantung juga boleh menyebabkan masalah ini. Serangan sakit jantung dan masalah degupan jantung yg tidak sekata, juga boleh menyebabkan rasa pening. Ini disebabkan pengaliran darah yang tidak mencukupi ke bahagian otak.
Saya ada seorang pesakit yang mengadu pening kepala, berlarutan bertahun-tahun. Sekejap ia datang dan sekejap ia hilang. Diikuti rasa kebas pada anggota tubuh. Rupa-rupa setelah melakukan pemeriksaan ctscan otak mendapati beliau mengalami penyakit ‘Multiple Sclerosis’. Pesakit Parkison juga mungkin mengalami masalah yang sama. Bezanya penyakit Parkinson selalunya berlaku pada orang tua, sementara penyakit Multiple Sclerosis boleh berlaku pada orang muda.
Dehidrasi (kekurangan air dalam tubuh), hypoglycemia (kekurangan glukosa dalam tubuh) dan pengambilan ubat-ubatan seperti ubat kemurungan dan ubat sawan boleh menyebabkan pening kepala.
Jadi bagi mereka yang mempunyai masalah pening kepala, terutama jika berlarutan dan semakin teruk, buatlah pemeriksaan doktor. Rawatan bagi masalah ini bergantung kepada puncanya.
Semoga bermanfaat.
#HealthDrZubaidi