Kanak-kanak tidak memerlukan pengambilan sebarang suplemen vitamin termasuk multivitamin untuk tumbesaran, jika mereka mendapat cukup nutrien dari makanan yang mereka makan. Ini kerana makanan dari sumber tumbuh-tumbuhan (sayur-sayuran dan buah-buahan) menyediakan sumber nutrient yang terbaik dan semulajadi termasuk vitamin dan mineral.
Namun begitu untuk menyediakan tubuh anak kita dengan sistem immuniti yang kuat, mereka harus mendapatkan nutrient yang mencukupi, terutama kanak-kanak yang terlalu memilih makanan seperti tidak suka memakan sayur-sayuran dan buah-buahan. Untuk makluman, kebanyakan nutrient yang membantu membangunkan sistem immuniti, diperolehi dari makanan yang kita makan terutamanya dari sumber tumbuh-tumbuhan.
Jadi mereka mungkin memerlukan sedikit nutrient (terutamanya vitamin dan mineral) dari suplemen vitamin. Namun begitu terdapat juga mineral dan vitamin seperti vitamin D, kalsium dan zat besi yang mungkin ditambah dalam makanan terutamanya dalam roti, susu dan jus buah-buahan. Jadi periksa kandungan makanan ini bagi memastikan anak kita cukup keperluan nutrient.
Keputusan untuk memberikan suplemen vitamin pada kank-kanak terletak di tangan ibubapa. Jika kita mahu berikan, pastikan suplemen multivitamin ini diberikan pada dos yang betul, bergantung pada umur. Pastikan suplemen multivitamin itu tidak memberikan 100 peratus Keperluan Harian kerana sebahagian keperluan ini akan disumbangkan oleh pemakanan yang mereka makan.
Selalunya kanak-kanak yang memerlukan suplemen multivitamin adalah kanak-kanak yang:
1. Mengalami tumbesaran fizikal dan mental yang perlahan.
2. Mengalami masalah alahan makanan yang teruk sehingga tidak mendapat makanan yang seimbang.
3. Mengalami penyakit yang berkaitan dengan masalah penghadaman
4. Ibubapa yang mengamalkan diet vegan yang ketat.
Saya mencadangkan agar kanak-kanak digalakkan mengambil makanan yang seimbang. Selain itu mereka juga harus digalakkan mengambil makanan yang berkhasiat, terutama makanan yang disebut sebagai ‘Quranic Food’
Semoga bermanfaat.
#HealthDrZubaidi
Dr Zubaidi Hj Ahmad Menulis Perkongsian Pengetahuan dan Pengalaman

