Mencari Ubat adalah Tawakal

Saya menolak debat

Saya adalah di antara orang yang tidak suka berdebat. Ia bukan kerana saya tiada fakta untuk dilontarkan dalam perdebatan, tetapi pada pendapat saya tiada siapa yang mendapat keuntungan dari perdebatan itu.

Selepas perdebatan itu nanti, saya masih dengan pendirian saya dan dia masih dengan pendiriannya. Akhir sekali muka berubah menjadi  masam mencuka dan putus ukhwah.

Setiap perdebatan memang mengujakan emosi. Bila emosi menggelegak panas dek mempertahankan ego, semua adab perdebatan dan kesahihan/kebenaran fakta disimpan di belakang punggung.

Gelojak amarah akan mengemudikan perdebatan itu. Masing-masing mahu menang. Kemenangan dan ego dipertahankan tetapi fakta/kebenaran dibuang. Perdebatan bukan lagi kerana Allah tetapi perdebatan berkiblat pada nafsu amarah.

 

Mencari kesempurnaan tawakal 

Baru-baru ini saya diajak lagi berdebat dalm ruangan chatting di facebook. Saya segera menolaknya. Alhamdulillah, saya tenang mengerjakan solat Asar selepas itu. Tiada dendam dan sakit hati membuku ketika menghadap raja sekelian alam, Allah rabbul Jalil. 

 ”Doktor tahu tak apabila seorang yang sakit itu memakan ubat, ia mendekati syirik?”

 Saya mengurut dan dan meneliti provokasi itu.

 ”Pesakit boleh jatuh syirik bila mengambil ubat yang doktor beri itu”

 ”Jadi solusinya?” Saya cuba membalas provokasi. 

 ”Kita kena bertawakal, doktor! Bukan doktor yang menyembuhkan. Kalau Allah hendak menyembuhkan, air kosong yang diminum juga menyembuhkan !”

Saya terasa panas di muka dan kepala akibat provokasi itu. Tentu saya atau sesiapa yang jahil dalam bab tawakal akan terduduk termenung.

Saya mengemas semula dalam fikiran saya semua pelajaran dari para ustaz dan buku-buku fiqh yang saya baca. Akhirnya saya ucapkan salam dan keluar dari ruangan chatting itu.

 

Mengambil sebab adalah prinsip tawakal.

Saya membaca semula tulisan As Syeikh Walid bin Rasyid al Su’aidan dalam kitabnya “Isu-isu Fiqh Perubatan Semasa” dan mengingati semula semua kuliah tentang akidah. Saya amat yakin dengan pegangan saya.

Pertama, isu mencari ubat. Adakah ianya dibenarkan oleh syarak?

Berdasarkan kepada kaedah yang saya fahami, akidah ahli al Sunnah wal Jamaah, mengambil sebab-sebab adalah termasuk dalam kesempurnaan tawakal.

Tawakal itu berasaskan kepada dua rukun iaitu pergantungan sempurna kepada Allah dan pengambilan sebab-sebab yang dibenarkan syarak.

Maksudnya disamping kita bergantung harap pada Allah untuk kesembuhan, kita juga harus mencari ubat. Ini kerana Allah sendiri menyusun alam ini dalam keadaan saling bergantung di antara satu sama lain.

Sebagai contoh jika kita lapar, kita akan makan nasi (sebab) untuk kita kenyang dan bukannya makan pasir. Pada masa yang sama kita yakin Allah saja yang berikan kita kenyang dan tenaga.

Dengan ini kita melengkapi rukun tawakal. Manakala doa kepada Allah agar kita beroleh kenyang dan tenaga termasuk dalam meyakini kekuasaan Allah.

 

Bukti makhluk memerlukan sebab untuk mendapatkan sesuatu

Ketika Maryam r.a melahirkan anak dan memerlukan  makanan, beliau diperintahkan supaya menggoncangkan batang pokok kurma yang berdekatan dengannya, padahal ketika itu beliau terlalu lemah, bernifas dan takut dengan apa yang berada di hadapannya.

Beliau diperintahkan menggoncangkan batang kurma itu pada hal sekiranya beberapa orang lelaki yang gagah perkasa  berkumpul untuk menggoyangnya sudah tentu mereka tdak berjaya berbuat demikian.

Ini membuktikan Maryam r.a berpegang teguh dengan sebab-sebab. Apabila beliau menggoncangkan batang pokok kurma itu lalu gugurlah buah tamar jenis Ruthab (separuh masak) untuk dimakan. Ini membuktikan kepentingan mengambil sebab-sebab dan meninggalkan sikap lemah dan suka bertangguh dan malas.

Begitu juga dengan Nabi Musa a.s. Apabila beliau dan kaumnya Bani Israel berdiri di hadapan Laut Merah yang luas saujana mata memandang, sedangkan Firaun dan bala tenteranya mengejar beliau dari belakang. 

Di waktu kritikal itu, Nabi Musa diperintahkan memukul Laut Merah di hadapannya padahal Allah SWT berkuasa membelah laut itu tanpa pukulan tongkat baginda a.s.

Dalam satu hadis yang biasa kita dengar mengenai tawakal, Rasullah SAW pernah menyuruh seseorang itu mengikat keldainya sebelum meninggalkan keldai itu. Ini bermakna mengikat keldai itu adalah termasuk sebab-sebab untuk menghalang kehilangan keldai itu dan termasuk sebahagian dari tawakal.

Bukti-bukti di atas menunjukkan betapa penting mengambil sebab-sebab kerana ianya termasuk dalam tawakal.

Maka ada di kalangan ulama salaf memberitahu :

Bergantung penuh pada sebab-sebab adalah syirik di dalam tauhid, meninggalkan tawakal keseluruhannya adalah kecacatan kepada syariat. Mengambil sebab-sebab di samping menaruh kebergantungan sepenuh hati pada Allah adalah hakikat syarak.”

Kata As Syeikh Walid bin Rasyid al Su’aidan, berubat dengan berjumpa doktor ketika sakit sebagai mengambil sebab untuk sembuh, termasuk dalam tawakal.

Namun dalam mendapat kesempurnaan tawakal hendaklah berkeyakinan bahawa Allah yang menyembuhkan penyakit. Doktor dan ubatnya tidak lebih dari sebab-sebab yang dimudahkan Alah kepada makhluknya. Tanpa keyakinan ini, kita mungkin jatuh kepada syirik. Iaitu apabila kita meyakini bahawa ubat dan doktor itulah yang menjadi penyebabnya.

 

Menolak qadar dengan qadar

Mengambil sebab-sebab ini dengan mencari ubat dan mendapatkan rawatan adalah suatu perbuatan yang tidak bertentangan dengan qadar. Allah SWT menentukan qadar segala sesuatu dan dalam masa yang sama memerintahkan kita mengambil sebab-sebabnya. Setiap sesuatu itu dimudahkan untuk apa ia diciptakan.

Seperti mana kita qadar lapar ditolak dengan qadar makan. Qadar peperangan hendaklah ditolak dengan adar melengkapkan persiapan mengahdapi peperangan. Qadar pengangguran hendaklah ditolak dengan qadar mencari kerja. Qadar sakit hendaklah ditolak dengan qadar mencari ubat dan penawarnya.

Umar r.a pada ketika berlakunya taun dalam mencari penyelesaiannya berkata ”Kita lari dari qadar Allah kepada qadar Alah”

Berubat dengan sesuatu yang bersifat ubat dan kebiasaannya menyembuhkan adalah sesuatu yang bersifat harus (dibolehkan) kerana ia termasuk dalam qadar Allah. Qadar Allah hendaklah ditolak dengan qadar juga.

 

Prinsip ubat yang dibenarkan

Namun dalam kita mencari sebab untuk penyembuhan atau ubat hendaklah kita memerhatikan dua perkara.

Pertama hendaklah sebab (atau ubat) bukanlah sesuatu yang mempunyai unsur khurafat, tahyul dan lainnya. Ini kerana Islam adalah agama yang menentang semua itu.

Maka orang bertanya apakah khurafat dan tahyul? Secara mudah ia adalah apa sahaja kebatilan yang tidak berasaskan fakta dan dalil yang benar. Tidak ada bukti yang mengatakan ianya berkesan dan juga tiada juga dalam nas al Quran dan hadis.

Sebagai contoh jika seseorang itu lapar, bolehkah dia memakan pasir? Jika dia percaya makan pasir boeh mengenyangkan dia termasuk dalam syirik besar kerna keyakinannya itu dan bodoh mempercayai pasir boleh mengenyangkan. Jika dia mempercayai pasir adalah sebab untuk dia kenyang,  sesungguhnya dia masuk kebodohan yang nyata.

Prinsip pertama dalam mencari ubat sebagai sebab untuk penyembuhan ialah ianya harus sesuatu yang benar dan dapat diterima orang atas kebiasaan sifatnya dan selalunya dibuktikan dengan kajian sainstifik.

Sebagai contoh lagi seseorang tidak boleh mendakwa air perigi di sebelah kubur seorang wali boleh menyembuhkan penyakit kerana air perigi itu pada kebiasaannya tidak boleh menyembuhkan kecuali dapat dibuktikan dengan saintifik. Kalau dia menyakini dengan berkat kemulian kubur wali di situ, maka dia termasuk dalam syirik dan berdosa besar. Kalau dia meyakini air perigi itu sebab untuk penyembuhan, ianya adalah kebodohan.

Begitu juga jika dia memakai gelang yang kononnya untuk perubatan. Hukum memakai gelang yang didakwa boleh menyembuhkan ini telah banyak diterbitkan dalam fatwa mufti di dalam dan luar negeri.

Sepanjang sedekad saya menjadi doktor belum pernah saya membaca artikel di mana-mana Journal Perubatan tentang kebaikan gelang yng didakwa untuk perubatan itu. Belum ada clinical study yang membincangkan tentang gelang itu. Semua berdasarkan testimony  yang boleh diupah dan diperalatkan.

Prinsip kedua pula ialah haruslah berubat dengan sesuatu yang halal.

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud.

“Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan menciptakan ubat bagi setiap penyakit, maka berubatlah kamu namun janganlah kamu berubat dengan benda yang diharamkan.”

Ini bermakna kalau ada kepercayaan orang Melayu bahawa bangkai seperti hati ular atau arak yang memabukkan itu sebagai ubatnya adalah sesuatu yang  salah.

Rasulullah s.a.w dengan tegas memberitahu perkara ini. Untuk prinsip kedua ini tuan-tuan  dan puan-puan boleh merujuk kepada ustaz-ustaz.

Saya berdoa agar keimanan dan keyakinan kita tetap teguh kepada Allah. Sebagai makhluk yang lemah kita juga harus menyiapkan diri kita dengan ilmu agar tidak termasuk ke dalam golongan yang bodoh lagi rugi.

Wallahu a’lam.

 

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (010910)

http://www.facebook.com/drzubaidi

https://drzubaidi.com/blog/

Leave a Reply

error: Content is protected !!