Kaitan migraine dan stroke
Saya diberitahu oleh seorang rakan bahawa terdapat berita yang mengatakan bahawa kebarangkalian orang yang menghidap migraine untuk diserang stroke, dua kali ganda lebih tinggi dari orang yang tidak mengalami migraine. Hal ini berlaku terutamanya di kalangan wanita.
Berita yang dikeluarkan oleh Reuters Health pada 2 Jun 2010 ini mengejutkan ramai pesakit migraine terutamanya wanita. Ia dilapor memetik satu artikel dalam journal terkenal American Journal of Medicine. Walau bagaimana pun saya cuba mencari pautan journal tersebut tetapi gagal. Pautannya terputus.
Sebelum ini banyak kebimbangan yang disuarakan oleh masyarakat perubatan mengenai kemungkinan pesakit migraine diserang stroke.
Dalam satu artikel yang diterbitkan di British Medical Journal (BMJ), mendapati bahawa migraine mungkin menyumbangkan risiko serangan stroke. Penulis artikel itu memberitahu bahawa perbandingan wanita yang berumur 45 tahun ke bawah menunjukkan bahawa seramai 65% wanita yang mengalami migraine diserang stroke berbanding hanya 30% wanita yang tidak pernah mengalami migraine diserang stroke.
(rujuk: “Migraine and risk of ischaemic stroke: a case-control study”. BMJ1993;308:289–92)
Dalam satu artikel lain pula memberitahu bahawa kebanyakan wanita yang muda dan berisiko, mudah diserang stroke jenis ischaemic (darah beku) berbanding dengan stroke jenis haemorrhagic (pendarahan).
(rujuk: “Migraine and stroke in young women: case-control study” BMJ 1999; 318:13)
Stroke jenis ischaemic ini disebabkan oleh darah beku yang menyumbat saluran darah di bahagian otak. Sumbatan darah beku itu menyebabkan bahagian otak tersebut tidak mendapat bekalan darah yang membawa nutrient dan oksigen, menyebabkan tisu otak mati dan pesakit mengalami kelumpuhan.
Namun setelah saya meneliti beberapa artikel yang berkaitan dalam BMJ, saya mendapati laporan yang dikeluarkan dalam Reuter Health tidak lengkap.
Seharusnya kajian itu menimbang juga faktor-faktor lain yang boleh menyumbang risiko serangan stroke seperti tekanan darah tinggi, tabiat merokok dan diabetes.
Ini kerana kebarangkalian untuk seseorang penghidap migraine diserang stroke amat rendah, kecuali dia juga merupakan pesakit darah tinggi, kencing manis, perokok tegar, mempunyai berat yang tinggi atau mengamalkan ubat perancang kehamilan, risiko ini bertambah.
Hal ini disahkan dalam satu lagi artikel dalam BMJ di mana satu kajian dilakukan di lima buah hospital di sekitar Paris, mendapati bahawa wanita muda berusia 45 tahun ke bawah dan merupakan penghidap migraine mempunyai risiko tinggi diserang stroke jika mereka adalah wanita yang mengamal pil perancang keluarga atau perokok tegar (melebihi 20 batang sehari).
(rujuk: “Case-control study of migraine and risk of ischaemic stroke in young women” BMJ 1995;310:830)
Oleh itu saya berpendapat bahawa wanita penghidap migraine tidak akan mengalami serangan stroke kecuali wanita itu mempunyai darah yang pekat akibat penyakit diabetes, menghisap rokok atau mengamalkan pil perancang kehamilan.
Malah faktor darah yang pekat dan mudah membeku boleh berlaku ketika diserang migraine dan meninggikan risiko untuk diserang stroke.
(rujuk: “Platelet aggregability in migraine”. Neurology 1977;27: 843)
Apatalah lagi jika wanita ini yang ‘kecacatan jantung’ seperti patent foramen ovale atau atrial septal aneurysm, maka risiko untuk diserang stroke lebih tinggi.
(rujuk: “Prevalence of patent foramen ovale in patients with stroke”. N Engl J Med1988;318:1148–52)
Oleh itu kenyataan bahawa “migraine boleh menyebabkan serangan stroke” masih lagi diperdebatkan dan perlu kajian yang lebih mendalam.
Nasihat yang harus diberikan kepada wanita ialah sama ada mereka menghidap migraine atau tidak, mereka haruslah menghentikan tabiat merokok dan jika mengamalkan pil perancang keluarga, berbincanglah dengan doktor dan pilihlah pil yang mengandungi dos estrogen yang rendah bagi mengurangkan risiko serangan stroke.
(rujuk: “Oral contraception and the risk of a cerebral thromboembolic attack: results of a case-control study’. BMJ 1993;306:956–63)
Saya percaya bahawa kebarangkalian untuk seseorang wanita penghidap migraine untuk diserang stroke amat rendah, kecuali dia juga merupakan pesakit darah tinggi, kencing manis, perokok tegar, mempunyai berat yang tinggi atau mengamalkan ubat perancang kehamilan.
Wallahu a’lam.