Di sebuah kawasan perumahan kos rendah, seorang lelaki bernama Amir melangkah perlahan ke klinik, berdengkut-dengkut menahan sakit. Tangannya menggenggam tongkat kayu, wajahnya menahan sengsara. Di ruang menunggu, dia tersandar ke dinding, kelihatan letih dan sedih.
Hari itu pesakit terlalu ramai, tapi saya pesan pada pembantu klinik untuk memberitahu saya jika ada kes kecemasan supaya tidak menunggu terlalu lama.
Ketika saya memanggil masuk, dia tersenyum kecil, tetapi matanya tidak dapat menyembunyikan kepedihan.
“Doktor,” katanya perlahan, “saya dah tak tahu nak buat apa. Kaki ni… sakit sangat.”
Saya menjemputnya duduk dan memeriksa kakinya yang bengkak. Sendi-sendi merah itu jelas tanda serangan gout. “Macam mana keadaan di rumah, Amir? Ada sesiapa yang boleh jaga awak?”.
Dia menggeleng perlahan. “Isteri saya cikgu tadika sibuk kerja, doktor. Anak-anak kecil lagi. Saya rasa bersalah sangat… tak boleh bantu apa-apa.” Suaranya mulai bergetar.
Saya cuba menenangkannya. “Amir, awak kena kuat. Kalau awak jaga diri, awak boleh sihat. Kita perlukan usaha bersama.”
Dia menarik nafas panjang, namun wajahnya tetap muram. “Doktor, keluarga saya semua sama. Abang saya, kakak saya… semua ada masalah macam ni. Ayah saya pun… dia pergi awal. 54 tahun saja, doktor. Sakit jantung. Saya takut saya pun sama.”
Saya terdiam sejenak. Kata-katanya seperti menanggung harapan yang pudar. “Amir, penyakit memang boleh diwarisi, tapi awak boleh buat perubahan. Mungkin susah, tapi bukan mustahil.”
Dia tunduk, memandang tangannya sendiri. “Tapi doktor, saya tak tahu nak makan apa. Saya lapar, tapi setiap kali makan, saya takut. Hari ni baik, esok sakit balik. Saya rasa macam dah kalah.”
Saya mengeluh kecil. “Saya faham, Amir. Tapi kita boleh cuba pelan pemakanan baru. Ini untuk awak. Saya dah siapkan nota ni. Bacalah dan cuba ikut. Kita mula sikit-sikit.”
Saya bimbang kerana pesakit gout boleh mendapat serangan jantung juga selepas 10-15 tahun.
Dia mengambil nota yang dikumpulkan dalam folder, dengan tangan yang menggigil. Matanya berkaca-kaca.
“Doktor… kalau saya ikut semua ni, boleh ke saya elak jadi macam ayah saya? Saya takut tinggalkan anak-anak saya sebelum mereka besar.”
Saya tersenyum, walaupun hati saya sebak mendengar suaranya yang tersekat-sekat. “Kita cuba, Amir. Kita lawan sama-sama. Awak tak sendirian. Insyaallah saya bantu. Wassap saya jika perlu dan tidak faham nota itu”.
Dia mengangguk perlahan, tetapi air mata sudah mula mengalir di pipinya. “Terima kasih, doktor. Saya cuma nak hidup sihat… untuk anak-anak saya. Mereka perlukan saya.”
Ketika dia melangkah keluar dari bilik saya, tongkat kayunya mengetuk lantai dengan bunyi yang perlahan tetapi penuh makna.
Dalam kesakitannya, dia membawa harapan baru. Saya hanya mampu berdoa agar nota kecil itu menjadi lilin yang menerangi jalan hidupnya.
Dialog terakhirnya masih terngiang-ngiang di kepala saya. “Doktor… saya harap kali ini saya boleh berubah. Saya tak nak anak-anak saya ikut jejak saya.” Kata-katanya itu menghantui hati saya, memberi ilham untuk membantu lebih ramai lagi pesakit yang berjuang melawan penyakit.
Semoga Allah permudahkan usaha kamu, Amir.
#ceritadrzubaidi
Boleh dapatkan SET SAKIT SENDI DAN GOUT
Anda ada banyak soalan? Dapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi melalui Live Zoom, boleh daftar di link https://needsvenue.onpay.my/order/form/20mindrz