Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bayi/Kanak-kanak » BAHAYAKAH DEMAM ANAK SAYA?

BAHAYAKAH DEMAM ANAK SAYA?

Jika tidak kerana niat illahi ta’ala, tentu saya di antara doktor yang paling kecewa bila berhadapan dengan ibu bapa yang ‘gemar’ membawa anak mereka ke klinik.

Setiap kali ke klinik, pasti mahukan ubat-ubat yang ada kalanya tidak perlu. Jika tidak diberi, akan berbantah pula dengan doktor.

Ini bukanlah satu tindakan ibu bapa yang baik. Ibu bapa mungkin keliru tentang penyakit. Mereka mungkin melihat penyakit dari segi gejala saja, sedangkan doktor melihat gejala penyakit dengan mencari punca.

Antara gejala yang menjadi kebimbangan ibu bapa ialah gejala demam. Demam hanyalah gejala (symptom) bagi penyakit. Oleh kerana ia bukan penyakit, tidak semua gejala demam memerlukan ubat.

(rujuk: “Clinical Report–Fever and Antipyretic Use in Children” Pediatrics; diterbitkan 28 Februari  2011)

Minggu lalu saya didatangi oleh sepasang ibu bapa yang membawa anaknya dan saya cuba menerangkan konsep ‘gejala demam’ ini.

Setelah saya puas menerangkan, akhirnya mereka berkata,

”Kalau anak saya tidak demam, saya tak bawa ke klinik”

Saya hanya diam dan memerhatikan anaknya yang sedang memanjat katil pesakit. Di luar tadi pun, saya mendengar anaknya menjerit-jerit sambil berlarian dengan abangnya.

Saya bimbang jika terlalu banyak ubat yang diberi, kanak-kanak akan memberikan kesan mudarat pula.

Mengenal demam

Terlalu sukar untuk memastikan seseorang kanak-kanak itu sedang demam hanya dengan meletakkan telapak tangan ke dahi mereka. Oleh itu saya selalu menasihatkan agar ibu bapa menggunakan pengukur suhu, thermometer  bagi mendapatkan bacaan yang lebih baik. Cuba letakkan beberapa kali dengan selang masa beberapa jam, bagi memastikan kanak-kanak itu benar-benar demam.

Kebanyak doktor bersetuju bahawa suhu badan yang normal ialah antara 36.5–37.5 °C (98–100 °F). Jadi gejala demam bermula apabila suhu badan melebihi 37.5 °C (>100 °F).

(rujuk: Axelrod YK, Diringer MN (May 2008). “Temperature management in acute neurologic disorders”. Neurol Clin 26 (2): 585–603)

American Academy of Pediatrics (AAP) memberitahu bahawa gejala demam sebenarnya menandakan tubuh kanak-kanak itu sedang berjuang untuk menentang jangkitan kuman.

Peningkatan suhu dalam badan juga tidak bermakna bahawa kanak-kanak itu sedang menghadapi gejala demam yang serius. Keseriusan peningkatan suhu (gejala demam) harus seiring dengan umur kanak-kanak itu dan kelakuan mereka.

Secara normal, suhu badan manusia akan meningkat pada sebelah petang dan kemudian akan turun semula antara tengah malam dan pagi. Ini kerana dalam otak manusia ada struktur yang mengawal suhu yang dikenali sebagai ’thermostat’ yang terletak di bahagian hypothalamus dalam otak.

Oleh itu AAP mencadangkan agar ibubapa membawa anak mereka berjumpa doctor jika anak mereka berumur antara 3 bulan hingga 6 bulan dan mempunyai suhu melebihi 101 °F atau 38 °C  atau berumur lebih 6 bulan dan mempunyai suhu badan 103 °F atau  39.4 °C.

Di samping itu kelakuan kanak-kanak atau bayi berubah seperti kelihatan suka merengek (menangis tanpa air mata), mempunyai ruam, tidak mahu makan/minum, mengalami sawan dan  mempunyai tanda-tanda dehidrasi, menandakan mereka mengalami gejala demam yang serius.

Ubat demam bukanlah penyelamat

Gejala demam adalah sebahagian dari mekanisme tubuh melawan kemasukan kuman (sama ada bacteria atau virus) dalam badan. Sesetengah kajian memberitahu bahawa penyakit mudah berlaku ketika kuman masuk ke dalam apabila suhu tubuh tidak meningkat. Ini kerana kuman lebih sukar hidup dalam suhu badan yang agak tinggi.

Gejala demam juga membantu merangsangkan daya tahan tubuh dengan mempercepatkan pergerakan sel darah putih untuk menyerang kuman, mengurangkan kesan toksin yang keluarkan oleh kuman dan memperbanyakkan pembentukan antibody dalam tubuh.

(rujuk: Craven, R and Hirnle, C. (2006). “Fundamentals of nursing: Human health and function”. Fourth edition. p. 1044)

Walau bagaimanapun hal ini harus dibezakan jika bayi atau kanak-kanak mengalami suhu badan yang terlalu tinggi dan menyebabkan mereka tidak berselera untuk makan/minum dan tidur, kerana ini akan menyebabkan keadaan tubuh mereka sukar untuk sembuh.

AAP tidak memberikan galakan bayi atau kanak-kanak yang mengalami gejala demam dan masih aktif, diberikan ubat paracetamol untuk mengurangkan demam mereka.

Malah AAP mencadangkan bayi atau kanak-kanak itu diberikan lebih banyak cecair, sama ada dalam bentuk susu dan sebagainya bagai membantu mempercepatkan kesembuhan.

Pemberian ubat paracetamol untuk mengurangkan demam hanya diberikan pada bayi atau kanak-kanak yang mengalami demam yang tinggi dan menyebabkan mereka tidak aktif.

Oleh itu berhati-hatilah menggunakan ubat ini walaupun senang di dapati di farmasi. Ubat ini harus diberikan dengan dos yang betul. Jangan berikannya melebihi dari kekerapan yang dibenarkan. Dapatkan nasihat yang betul dari doctor atau ahli farmasi.

Nasihat saya jika gejala demam melebihi 102.2 °F (39 °C ) atau lebih bawalah berjumpa doctor. Dan ingatlah gejala demam bukan penyakit, maka tidak semua gejala demam perlu diberikan ubat.

Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: