“Assalamualaikum Dr Zubaidi, Saya baru pulang dari mengerjakan umrah dari 7 Februari hingga 18 Februari.
Doktor, saya ingin bertanya. Sebelum berangkat pada 7 Februari, saya melakukan ujian kehamilan (UPT) dan keputusannya negatif. Saya kemudian mengambil ubat tahan haid Norcolut sebanyak dua kali sehari selama empat hari ketika berada di Madinah.
Apabila tiba di Mekah pada 11 Februari, saya meningkatkan dos Norcolut kepada tiga kali sehari. Pada 15 Februari, saya berhenti mengambil Norcolut. Namun, setelah kembali ke Malaysia, haid saya masih belum datang. Saya kemudian melakukan ujian kehamilan (UPT) dan keputusannya positif.
Apakah kesan pengambilan Norcolut terhadap kandungan saya?
Terima kasih”.
Waalaikumussalam.
Pengambilan Norcolut (norethisterone) semasa awal kehamilan boleh menimbulkan kebimbangan, tetapi jangan terlalu panik.
Sebelum itu saya terangkan dulu, apa itu Norcolut?
Norcolut mengandungi norethisterone, iaitu sejenis hormon progestin yang biasa digunakan untuk menangguhkan haid atau merawat gangguan haid.
Hormon ini bertindak dengan menstabilkan lapisan rahim, mencegah pendarahan haid, dan meniru kesan progesteron dalam badan.
Ujian kehamilan (UPT) mengesan hormon hCG, yang mungkin masih rendah pada 7 Februari sehingga menyebabkan keputusan negatif.
Selepas beberapa minggu, paras hCG meningkat, menyebabkan ujian menjadi positif setelah pulang ke Malaysia.
Ini bermakna puan sudah hamil ketika mengambil Norcolut, tetapi usia kandungan masih terlalu awal untuk dikesan pada ujian UPT yang pertama.
Norcolut tidak disarankan untuk wanita hamil kerana ia boleh mengganggu keseimbangan hormon awal kehamilan.
Beberapa kajian menunjukkan bahawa progestin seperti norethisterone berpotensi memberi kesan kepada perkembangan janin, terutamanya pada bayi lelaki kerana ia boleh mengganggu perkembangan sistem reproduktif.
Walau bagaimanapun, kesan ini bergantung kepada dos dan tempoh penggunaan.
Pengambilan dalam tempoh pendek mungkin tidak memberi kesan besar, tetapi pemeriksaan lanjut masih diperlukan.
Jadi nasihat saya.
✅ Segera berjumpa doktor pakar sakit puan untuk pemeriksaan kehamilan, termasuk ujian darah dan ultrasound bagi memastikan perkembangan bayi normal.
✅ Jangan ambil sebarang ubat hormon lagi tanpa arahan doktor.
✅ Pantau sebarang tanda bahaya seperti pendarahan, sakit perut, atau kekejangan. Itu mungkin tanda awal keguguran.
✅ Pastikan kehamilan berada dalam rahim (bukan kehamilan ektopik) kerana pengambilan hormon boleh mempengaruhi implantasi janin.
Semoga bermanfaat.
#HealthDrZubaidi
#drzubaidimenjawab
#norculot
Anda ada banyak soalan? Dapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi melalui Live Zoom, boleh daftar di link https://needsvenue.onpay.my/order/form/20mindrz