Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » AIR KENCING SAYA TIDAK NORMAL!!

AIR KENCING SAYA TIDAK NORMAL!!

AIR KENCING SAYA TIDAK NORMAL!!

Setiap hari kita ke tandas dan membuang air kecil. Namun kita tidak terfikir bahawa air kencing yang berkumpul di mangkuk tandas memberikan kita tanda terhadap masalah kesihatan yang mungkin kita hadapi.

Perubahan pada air kencing dari segi warna, bau dan kecairannya menggambarkan tahap kesihatan kita. Air kencing juga boleh memberitahu apa yang dimakan atau diminum oleh seseorang. Dan apa yang lebih penting ialah penyakit apa yang dihadapi oleh seseorang.

Melalui analisa air kencing, seorang doctor dapat ‘menoropong pintu kesihatan’ seseorang. Ini kerana banyak bahan yang mengalir dalam darah, termasuk bakteria, kulat, protein yang berlebihan dan gula, akhirnya akan keluar melalui air kencing.

Pembentukan Air Kencing Dan Perubahan Fizikal

Mari kita fahami bagaimana pembentukan air kencing dahulu. Air kencing terhasil dari proses osmosis yang berlaku dalam ginjal, di mana air akan ditapis dari saluran darah yang melalui ginjal dan kemudiannya dikumpulkan ke dalam ruang takungan di dalamnya.

Semasa penapisan ini, banyak bahan-bahan toksik yang dibuang. Jika kandungan toksik dalam air kencing terlalu banyak, ia akan menyebabkan perubahan pada fizikal air kencing, sama ada bau, warna dan kecairannya.

Perubahan warna dalam air kencing sangat bermakna. Air kencing normal biasanya berwarna kuning yang cair. Warna air kencing menjadi kuning pekat  terjadi apabila seseorang itu tidak minum air secukupnya. Ini bermakna semakin pekat air kencingnya, beliau sedang mengalami dehidrasi yang teruk.  

Untuk menghasilkan air kencing, tubuh memerlukan air. Jika seseorang itu tidak cukup minum air, tubuh akan mengambil air yang sepatutnya menghasilkan air kencing. Ini menyebabkan air kencing menjadi sedikit dan pekat. Contohnya apabila seseorang itu berpuasa dan tidak cukup minum air, air kencing menjadi sedikit dan pekat.

Air kencing boleh manjadi cair apabila beliau minum air yang berlebihan. Atau apabila beliau mengambil ubat diuretic iaitu ubat yang memaksa air kencing keluar dengan banyak. Ubat diuretic ini biasanya diberikan pesakit tekanan darah tinggi atau pesakit lemah jantung, bagi mengurangkan isipada cecair dalam tubuh bagi membolehkan jantung mengepam darah dengan lebih baik.

Air kencing juga boleh berubah warna menjadi hijau atau biru, apabila seseorang itu mengambil ubat tertentu. Vitamin akan menyebabkan warna air kencing menjadi kuning pekat, lobak pula menyebabkannya berwarna oren, dan penyakit porphyria menyebabkan air kencing berwarna ungu pekat.

Namun jika seseorang itu mempunyai air kencing berwarna merah, berkemungkinan besar berlaku pendarahan dalam pundi kencing, akibat ketumbuhan, terutama pada saluran darah dalam pundi kencing itu. Ia juga menandakan terdapat jangkitan kuma dalam pundi kencing.

Perubahan bau pada air kencing juga sangat bermakna. Biasanya air kencing berbau hancing sedikit akibat terdapat urea di dalamnya. Ia bergantung berapa banyak protein yang diambil dalam makanan. Jika terdapat jangkitan kuman atau ada batu pada pundi kencing, selalunya air kencing menjadi lebih hancing dari biasa kerana terdapat lebih banyak urea dan amonia. Air kencing pesakit diabetis pula, selalunya berbau mungkin berbau agak manis, dan selalunya banyak semut akan menghurungi tandas jika tidak dijirus dengan sempurna.

Makanan yang dimakan juga mengubah bau pada air kencing. Asparagus, petai, jering dan bawang putih mengubah bau air kencing dan bau menyebabkan seluruh tanda berbau tidak menyenangkan. Ini kerana makanan tersebut mempunyai bahan sulfur yang dikenali sebagai methyl mercaptan. Kebanyakan kita mempunyai enzim yang dapat menghuraikan methyl mercaptan kepada sebatian sulfur yang memberikan bau yang tidak enak itu. Namun ada setengah individu, air kencingnya tidak berbau walaupun makan makanan tersebut kerana mereka tidak mempunyai enzim yang dapat menghuraikan molekul mercaptan ini.

Buih Dalam Air Kencing

Baru-baru ini seorang rakan FB menghantar email kepada saya mengenai perubahan pada air kencingnya.

“Salam doctor, baru-baru ini saya perasan bahawa air kencing saya berbuih di mangkuk tandas. Ia ada sedikit berbau dan warnanya agak pekat. Adakah ia tanda berbahaya? Untuk pengetahuan doctor saya kerap ke gimnasium dan sekarang mengamalkan suplemen minuman berprotein tinggi. Mohon pencerahan”

Kehadiran buih dalam air kencing tidak semestinya menandakan seseorang itu mengalami masalah kesihatan. Ada kalanya, situasi begini adalah normal. Antaranya:

1. Ketika hamil

Semasa hamil, sesetengah wanita mengalami pembesaran saiz saluran darah, termasuk saluran dalam ginjal. Ini menyebabkan lebih banyak protein yang selalunya tidak dapat melepasi penapisan, telah berjaya keluar masuk ke dalam air kencing. Namun begitu kandungan protein dalam air kencing bagi wanita hamil sangat minima. Tetapi jika terdapat banyak protein dalam air kencing, ia mungkin menandakan wanita hamil itu mengalami komplikasi kehamilan. Protein dalam air kencing boleh menyebabkan air kencing berbuih.

2. Ketika dehidrasi yang teruk.

Semasa dehidrasi, air kencing menjadi lebih pekat dan mudah berbuih. Ia bersifat sementara. Apabila individu tersebut minum air secukupnya, air kencing tidak lagi berbuih.

3. Mengambil minuman/makanan berprotein tinggi.

Proteinuria bermakna terdapat protein dalam air kencing. Ia boleh berlaku apabila seorang individu mengambil sejumlah besar protein yang terdapat dalam minuman berprotein tinggi untuk membesarkan otot atau meningkatkan berat badan. Apabila beliau tidak mengambil lagi minuman atau makanan tambahan berprotein tinggi itu, air kencing tidak lagi mengandungi protein.

Jadi sudah terjawab persoalan yang ditanyakan tadi.

Air Kencing Berbuih Yang Tidak Normal

Ada kalanya buih dalam air kencing menunjukkan seseorang individu itu mempunyai banyak kandungan protein dalam air kencing akibat mula mengalami masalah buah pinggang.  Ini kerana proses penapisan tidak dapat dilakukan dengan sempurna, menyebabkan protein dari darah, dapat melepasi penapisan dan masukkan ke dalam untuk air kencing.

Oleh itu buih dalam air kencing adalah sesuatu yang agak agak serius jika individu itu bukan wanita hamil, tidak dalam keadaan dehidrasi, tidak mengambil suplemen minuman/makanan berprotein tinggi seperti daging atau produk tenusu.

Selain dari tanda kerosakan buah pinggang, buih dalam air kencing juga boleh menandakan beberapa penyakit lain. Antaranya adalah jangkitan pada pundi kencing. Ia dikenali sebagai kencing kotor. Ini kerana kuman yang berada ke dalam pundi dan saluran kencing, melepaskan gas, yang menyebabkan buih.

Selain kencing berbuih, seseorang yang mengalami jangkitan kuman pada pundi kencing juga akan mengalami rasa sakit ketika membuang air kencing.

Selain itu, air kencing yang berbuih boleh disebabkan oleh pembentukan vesicocolic fistula.  Fistula adalah sambungan antara dua organ yang tidak normal. Vesicocolic fistula, adalah sambungan laluan yang menghubungkan antara pundi kencing dan usus besar. Ia akan menyebabkan najis dan udara dari usus besar boleh masuk ke dalam pundi kencing, dan apabila ia dikeluar sebagai air kencing, ia akan berbuih.

Jika seorang individu itu melihat buih dalam air kencing dalam masa atau keadaan tertentu, atau ia berlaku hanya sesekali, maka tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Walau bagaimanapun, jika melihat air kencing berbuih setiap kali membuang air kecil, saya mencadangkan agar melakukan pemeriksaan yang lebih lanjut. Ia kerana besar kemungkinan beliau mula mengalami masalah kerosakan buah pinggang (ginjal).

Semoga bermanfaat.  

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: