Advertorial

Pecah Tuban Sebelum Waktunya

Selepas solat Subuh, telefon saya berdering. Malas rasanya mahu menjawab panggilan itu di pagi hari. Saya fikir tentu staff saya di pusat kesihatan yang mahu mengingatkan saya tentang temujanji dengan pesakit pagi ini.

Namun deringan itu bertalu-talu. Akhirnya saya jawab juga.

“Doc, isteri saya sudah pecah tubannya. Kain batiknya sudah basah..!”

“Itu tanda mahu melahirkan…”

“Betul ke? Isteri saya baru masuk 30 minggu. Hairannya dia tak rasa sakit..”

“Kalau begitu, bawa saja ke hospital untuk pemeriksaan..”

Saya menyandarkan diri dan berdoa agar isteri rakan saya tidak melahirkan anaknya pada masa ini kerana masih terlalu awal.

“Abah, air tuban tu apa?” soal anak saya pula. Soalannya ringkas tetapi memerlukan jawaban yang panjang dan agak kompleks.

Semasa seorang wanita sedang hamil, bayi dalam rahem dilindungi oleh selaput yang dikenali sebagaiamniotic membrane dan mengandungi cecair, yang disebut sebagai air tuban, atau ‘amniotic fluid”.

Ia bertujuan untuk melindungi bayi dari  ancaman gegaran dan hentakan dari luar dan menjadi medium untuk perkumuhan. Bayi bebas bergerak di dalamnya, ibarat bayi yang sedang bermain dalam kolam air yang cetek.

Apabila selaput ini bocor, ia akan menyebabkan air tuban keluar dari rahem melalui faraj. Dalam istilah perubatan ia dinamakan SROM (spontaneous rupture of membranes).

Selalunya apabila wanita hamil sedang mengalami proses kelahiran, selaput tuban akan mula bocor dan mengeluarkan air tuban. Dalam hal ini, ia adalah kejadian kebocoran selaput tuban yang normal.

Namun sebahagian kecil wanita yang hamil mengalami kebocoran tuban sebelum berlakunya proses kelahiran dan berlaku pada usia kehamilan kurang dari 37 minggu.

Mereka tidak merasa sakit perut seperti rasa mahu bersalin kerana proses kelahiran belum bermula. Namun begitu proses kelahiran dan sakit perut akan berlaku dalam masa 24 jam dari masa selaput tuban itu bocor.

 

Apa yang perlu dilakukan?

Jangan panik. Letakkan pad, tuala atau kain yang bersih pada kemaluan. Selalunya air tuban yang keluar berwarna jernih atau sedikit kekuningan. Ada juga bercampur dengan sedikit darah.

Jumlah air yang keluar berbeza-beza. Ada yang keluar sedikit, dan ada yang keluar dengan banyak seperti ‘empangan yang pecah’, sehingga membasahi kain yang dipakai.

Oleh itu saya mencadangkan agar segera membuat persiapan untuk ke hospital, walaupun tidak merasa sakit perut untuk melahirkan. Di hospital doktor akan membuat pemeriksaan dan anda mungkin ditahan di wad.

Doktor akan memastikan bahawa air yang keluar itu adalah air tuban, bukan air kencing atau lendiran dari faraj.

Pemeriksaan ultrasound dilakukan bagi memeriksa air tuban yang tinggal dalam rahem, di mana selalunya kuantiti air tuban telah menjadi kurang. Pemeriksaan ultrasound juga dapat melihat pergerakan dan fizikal bayi.

 

 

Jika usia kehamilan sudah mendekati 37 minggu, doktor akan membuat keputusan sama ada harus menunggu selama 12 jam lagi atau terus memberi ubat induksi bagi mempercepatkan proses kelahiran (induction). Ini kerana kebanyakan pesakit akan mula memasuki proses kelahiran dalam masa 24 jam, dari bermulanya masa kebocoran tuban.

Namun apa yang dikhuatirkan ialah jangkitan kuman yang boleh berlaku jika dibiarkan terlalu lama. Kuman dari faraj boleh memasuki rahem dan menyebabkan jangkitan kuman. Ini berbahaya kepada bayi dalam rahem dan si ibu, sehingga boleh menyebabkan kematian kedua-duanya.

Semakin lama doktor membiarkan lama dan tidak membuat apa-apa bagi memberi peluang kepada tubuh mengalami proses kelahiran secara semulajadi, semakin tinggi risiko untuk mendapat jangkitan kuman, atau chorioamnionitis.

Dalam satu kajian yang dijalankan, kebarangkalian untuk mendapat risiko jangkitan kuman boleh berlaku sebanyak 40% selepas 24 jam dari masa kebocoran tuban berlaku.

(rujuk: Seaward PG, Hannah ME, Myhr TL, Farine D, Ohlsson A, Wang EE, et al. ‘International Multicentre Term Prelabor Rupture of Membranes Study: evaluation of predictors of clinical chorioamnionitis and postpartum fever in patients with prelabor rupture of membranes at term’. Am J Obstet Gynecol. Nov 1997;177(5):1024-9)

Oleh itu jika usia kehamilan sudah menghampiri 37 minggu, selalunya doktor akan menunggu selama 12 jam. Jika tiada tanda-tanda proses kelahiran akan bermula, doktor akan memberikan ubat induksi, supaya proses kelahiran boleh berlaku dengan lebih cepat dan bayi dapat dilahirkan dengan selamat.

Jika umur kehamilan kurang dari 37 minggu, dan proses kelahiran belum bermula, doktor akan cuba menghalang proses kelahiran, dan memastikan bayi yang berada dalam rahem berada dalam keadaan selamat.

Jika ibu dan bayi dalam rahem selamat dan sihat, dan belum memasuki proses kelahiran, wanita yang hamil berkemungkinan akan ditahan di wad di mana proses kelahiran boleh berlaku dalam masa seminggu.

Kebanyakan mereka pula akan terus memasuki proses kelahiran dan terus melahirkan bayi sebaik saja selaput tubannya pecah.

Jika air tuban yang keluar amat sedikit dan berhenti, pemeriksaan oleh doktor harus dijalankan bagi menentukan bayi dalam rahem dalam keadaan selamat dan si ibu belum memasuki proses kelahiran.

Jika keadaan anak telah disahkan selamat dan belum memasuki proses kelahiran, berkemungkinan doctor membenarkannya pulang ke rumah dan diminta datang semula untuk membuat susulan.

Mereka akan dinasihatkan agar memastikan tidak ada tanda-tanda jangkiman kuman atau demam. Walaubagaimanapun bagi wanita yang mempunyai tanggungjawab di rumah kerana mempunyai anak yang ramai, keputusan untuk pulang rumah haruslah dibuat setelah berbincang dengan doktor.

Wallahu a’lam.

 

Rujukan dan bacaan lain

Mercer BM. Preterm premature rupture of the membranes: diagnosis and management. Clin Perinatol. Dec 2004;31(4):765-82, vi.

Aagaard-Tillery KM, Nuthalapaty FS, Ramsey PS, Ramin KD. Preterm premature rupture of membranes: perspectives surrounding controversies in management. Am J Perinatol. Aug 2005;22(6):287-97.

8 comments

  1. nurlinaridwan

    Assalamualaikum Dr, pagi tadi saya terasa ada air yang mengalir drpd faraj pada kuantiti yang sedikit. warna jernih. adakah itu air ketuban?. Memandangkan ini kandungan pertama saya2 tidak tahu dekat tepat apa yang dikatakan sebagai pecah air ketuban, saya tidak merasa apa2 sakit dan ia tidak berpanjangan (sekali sahaja mengalir). adakah saya perlu menunggu sehingga ia keluar lagi atau sememangnya tidak ada apa2 yang perlu dirisaukan. Terima kasih.*kandungan saya nak masuk 30 minggu

    • Assalamualaikum Dr, pagi tadi saya terasa ada air yang mengalir drpd faraj pada kuantiti yang sedikit. warna jernih. adakah itu air ketuban?. Memandangkan ini kandungan pertama saya2 tidak tahu dekat tepat apa yang dikatakan sebagai pecah air ketuban, saya tidak merasa apa2 sakit dan ia tidak berpanjangan (sekali sahaja mengalir). adakah saya perlu menunggu sehingga ia keluar lagi atau sememangnya tidak ada apa2 yang perlu dirisaukan. Terima kasih.*kandungan saya nak masuk 30 minggu

      Kadang-kadang wanita agak ragu samada air yang keluar dari faraj betul betul air ketuban atau cuma air kencing atau lendir yang berlebihan. Air ketuban tidak hancing dan keluar secara tiba-tiba dan selalunya meleleh membasahi paha atau kain yang dipakai. Sekiranya anda tidak begitu pasti, merujuklah kepada doktor untuk kepastian. Pemeriksaan termasuklah menggunakan ultrasound untuk mengetahui samada terdapat kekurangan air ketuban atau tidak dan pemeriksaan faraj untuk melihat samada terdapat takungan air atau tidak. Anda mungkin akan disuruh untuk batuk dan sekiranya terdapat air keluar dari lubang pintu rahim, adalah disahkan anda mengalami PROM. Kadang-kadang doktor juga akan mengambil ‘swab’ untuk dihantar ke makmal bagi ujian jangkitan kuman.

      Sekiranya PROM berlaku pada usia kandungan sudah matang, doktor anda mungkin akan menyarankan untuk menunggu selepas 24 jam kerana didapati 80% akan melahirkan tanpa perlu di’induce. Menunggu lebih dari 24 jam akan meninggikan risiko jangkitan kuman dan tidak disarankan. Menunggu lebih dari 24 jam pula selalunya dibuat sekiranya kandungan masih tidak cukup bulan, dalam masa yang sama doktor dapat memberikan ubat yang sepatutnya agar paru-paru bayi dapat peluang untuk matang.

      • nurlinaridwan

        Terima kasih di atas maklum balas Dr, sy telah pergi ke Hospital utk pemeriksaan, Disana mereka menjalankan ultrasound dan “swap’, Dr memberi saya Clotrimazole 200mg Vaginal Tab untuk diambil selama 3 hari, bermula 8hb lepas. Namun sy tidak diberikan penjelasan yang lanjut samaada cecair yang keluar itu air ketuban atau sebaliknya. Dr hanya meminta sy utk hadir sekali lagi pada 14hb ini. Hari ini sy dapati terdapat lelehan jernih yang keluar seperti sebelum ini (sedikit dan jernih), sy betul2 keliru dgn perkara ini, sy juga mengalami sedikit kekejangan di bawah kawasan pusat (sekejab2 tetapi sakit*Dr berkenaan hanya menyatakan sy berkemungkinan mengalami masalah jangkitan fungal.

        • Terima kasih di atas maklum balas Dr, sy telah pergi ke Hospital utk pemeriksaan, Disana mereka menjalankan ultrasound dan “swap’, Dr memberi saya Clotrimazole 200mg Vaginal Tab untuk diambil selama 3 hari, bermula 8hb lepas. Namun sy tidak diberikan penjelasan yang lanjut samaada cecair yang keluar itu air ketuban atau sebaliknya. Dr hanya meminta sy utk hadir sekali lagi pada 14hb ini. Hari ini sy dapati terdapat lelehan jernih yang keluar seperti sebelum ini (sedikit dan jernih), sy betul2 keliru dgn perkara ini, sy juga mengalami sedikit kekejangan di bawah kawasan pusat (sekejab2 tetapi sakit*Dr berkenaan hanya menyatakan sy berkemungkinan mengalami masalah jangkitan fungal.

          Dr Zubaidi: Sukar untuk saya memberikan komen. Saya hanya dapat memberikan panduan. Penjelasan seharusnya diberikan oleh doktor yang merawat.

  2. salam doktor…
    kandungan saya baru berusia 15 minggu.2 minggu lps saya mengalami pendarahan dan peratus utk keguguran doktor anggarkan 50/50.Alhamdullillah skrg sudah tiada pendarahan dan tadi saya scan doktor maklumkan terdapat darah beku lg.saya juga ada ragu2 mengenai air yg keluar melalui faraj saya dan sering membasahi panty liner saya sejak dr awal2 saya mengandung sekarang.kuantitinya sedikit sedikit.doktor membuat pemeriksaan dan confirm air ketumban saya leaking.persoalan saya adakah baby dalam perut saya akan selamat atau peratus untuk keguguran tu tinggi?dan ada x apa2 efek ke atas baby saya?mohon jawapan dan pendapat daripada doktor.

    • “Salam doktor. kandungan saya baru berusia 15 minggu.2 minggu lps saya mengalami pendarahan dan peratus utk keguguran doktor anggarkan 50/50.Alhamdullillah skrg sudah tiada pendarahan dan tadi saya scan doktor maklumkan terdapat darah beku lg.saya juga ada ragu2 mengenai air yg keluar melalui faraj saya dan sering membasahi panty liner saya sejak dr awal2 saya mengandung sekarang.kuantitinya sedikit sedikit.doktor membuat pemeriksaan dan confirm air ketumban saya leaking. Persoalan saya adakah baby dalam perut saya akan selamat atau peratus untuk keguguran tu tinggi?dan ada x apa2 efek ke atas baby saya?mohon jawapan dan pendapat daripada doktor”

      Dr Zubaidi: Saya bersimpati dengan masalah yang dihadapi. Kehamilan puan telah diuji dua kali, pertama dengan pendarahan di awal kehamilan, dan sekarang kebocoran air tuban. Kebocoran air tuban boleh berlaku apabila terdapat koyakan kecil pada selaput ketuban (amniotic membrane), mungkin bersaiz kepala jarum saja. Apabila seorang wanita hamil itu bergerak atau melakukan aktiviti yang lasak, kebocoran air tuban akan menjadi lebih besar. Namun jika kepala bayi dalam rahem telah masuk ke dalam pelvis, berkemungkinan lubang kebocoran itu dapat ditutup dan menyebabkan kebocoran itu berlaku sedikit dan sesekali saja terutama apabila wanita itu melakukan aktiviti lasak saja.

      Kebocoran air tuban adalah salah satu tanda bahawa bayi yang berada dalam rahem akan dikeluarkan. Jika kebocoran ini berlaku pada usia kehamilan 38-40 minggu, ia bukanlah yang harus dirisaukan kerana bayi dalam rahem telah pun matang dan sedia untuk dilahirkan.Jika umur kehamilan kurang dari itu, mungkin ia akan memberikan masalah pada bayi yang akan dilahirkan itu. Ia akan menyebabkan kelahiran pramatang di mana bayi yang dilahirkan mungkin perlu diberikan lebih perhatian di NICU.

      Jadi saya menasihatkan puan untuk mengikut nasihat doktor, banyakkan doa dan sedekah, semoga ALLAH memudahkan kehamilan puan.

  3. Terima kasih atas maklum balas dan nasihat yang doktor berikan.InsyaAllah saya akan cuba yang terbaik.Minggu depan kena lakukan pemeriksaan sekali lagi dan 2 minggu selepas itu doktor akan scan semula untuk lihat saiz gumpalan pendarahan itu samaada makin membesar atau tidak bagi memastikan tumbesaran bayi tidak terganggu.doktor juga ada memaklumkan kepada saya sekiranya kandungan saya sudah mencecah 7 bulan keatas sekarang berkemungkinan saya akan di operate untuk menyelamatkan bayi tetapi kandungan saya sekarang masih terlalu awal dan bayi masih kecil dan xboleh nak buat apa2.keguguran boleh berlaku bila2 masa.kerana risiko untuk gugur itu sgt tinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top