Advertorial

MC (Sijil Perakuan Sakit): Hak Pekerja, Hak Majikan atau Hak Doktor?

”Ya Allah, Aku berlindung pada keagungan-Mu dari keburukan rasa sakit yang aku deritai dan aku risaukan.”

MC dan realitinya

Sijil perakuan sakit atau yang dikenali sebagai MC ibarat menjadi bau bangkai gajah yang busuk dihidu umum yang selama ini ditutup dengan hanya sehelai daun pisang.

Dalam kenyataan akhbar pada Isnin 24 Mei 2010, Cuepacs juga menyuarakan keresahan ini. Menurut Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam itu, seramai tiga peratus dari kira-kira 1.2 juta penjawat awam didapati memalsukan sijil cuti sakit mereka.

Walaupun angka 3% tidak besar namun jika ditukarkan ke angka sebenar ianya berjumlah 36 000, cukup untuk mengganggu kelancaran pentadbiran awam.

Saya tidak perlu menceritakan pengalaman pahit berurusan dengan kakitangan awam, kerana tahap kelancaran pergerakan pentadbiran awam telah diketahui umum. Bayangkan jika ada pekerja yang cuti di jabatan-jabatan yang kritikal.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga mendedahkan ramai golongan pekerja di negara ini yang terbabit menyalahgunakan sijil cuti sakit untuk tujuan menyalahi peraturan dan undang-undang.

Sama ada ianya berlaku di sektor awam atau sektor swasta, ianya tetap melibatkan perbelanjaan yang besar yang harus ditanggung oleh pihak majikan.

Kajian dijalankan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) pula menunjukkan purata pekerja di sektor swasta di negara ini mengambil 4.2 hari cuti sakit setahun, iaitu lebih tinggi berbanding negara lain.

 

Akibat pemberian MC

Cuba kita perhatikan apa yang berlaku di tempat kerja jika seseorang itu diberikan cuti sakit. Harus diingat bahawa cuti sakit adalah cuti yang diberikan serta-merta, tanpa perancangan dan ianya seharusnya diberikan pada keadaan terdesak.

Bagi seseorang yang menerima cuti sakit, selalunya dia dibenarkan untuk berehat dan mendapatkan rawatan  sama ada di rumah atau di hospital di samping dibayar gajinya (paid leave). Pekerja biasanya telah diberikan tempoh tertentu untuk menjalankan rawatan dan rehat itu.

Di sektor awam, biasanya untuk cuti sakit diberikan sebanyak 15 hari. Manakala jika dimasukkan ke hospital, cuti sakit diberikan selama 180 hari. Ini tidak termasuk cuti tahunan yang boleh dimohon.

Tugas-tugas yang ditinggalkan ”pesakit” itu terpaksa dipikul oleh rakan sekerjanya. Ini bermakna rakan sekerjanya terpaksa melakukan kerja yang bertambah.

Pihak majikan pula, disamping mengalami produktiviti yang merosot, mereka juga terpaksa membayar gaji kepada pekerja yang sakit itu pada hari dia tidak datang bekerja. (Ini tidak termasuk kos perubatan dan kos-kos lain).

 

MC Tipu atau MC Menipu

Sekarang cuba kita bayangkan jika MC yang dikeluarkan itu adalah ”MC Tipu” atau ”MC yang menipu”. MC Tipu yang saya maksudkan ialah MC yang didapati dengan jalan tidak sah. Ianya bukan dikeluarkan oleh doktor.

Saya masih ingat di mana sebuah syarikat swasta bertanya kepada saya tentang sehelai MC yang dikeluarkan untuk lima hari. (Amat jarang kami berikan cuti selama lima hari berterusan).

Jadi pihak kami telah mencari pendua MC itu berdasarkan nama dan nombor kad pengenalan (melalui senarai pendaftaran), tarikh dia datang berjumpa doktor serta nombor serial pada MC tersebut. Setelah diselidik rupanya MC itu sebenarnya helai kertas yang telah di’scan’ dan diubah suai.

MC tipu juga boleh bermakna pengubahsuaian mana-mana keterangan dalam helaian MC tersebut. Ini termasuk tarikh, masa kedatangan, nama pesakit, jumlah hari yang dinasihatkan cuti dan nama penyakit/simptom.

Ada sesetengah syarikat yang amat perhatian terhadap kedatangan pesakit ke klinik. Sebagai contoh, jika pesakit bekerja di shif pagi, dia seharusnya datang ke klinik pada waktu pagi, bukannya malam.

Secara logiknya, bagaimana pesakit mahu sembuh dari demam dan batuk, jika dia baru hanya memakan satu dos ubat di waktu malam saja. Sudah semestinya keesokan hari pesakit tentu belum sembuh, mengikut kebiasaannya.

Ada juga yang mengubahsuai nama doktor dan tandatangannya. Saya teringat apabila sebuah kilang (Seagate Electronic) di Singapura bertanyakan pada Hospital Sultanah Aminah tentang kenapa terlalu banyak sijil perakuan sakit yang dikeluarkan oleh hospital yang ditandatangani oleh doktor yang bernama Dr Yusuff Aslam. Ianya lucu tetapi itulah yang terjadi.

Rupanya ejen yang menguruskan pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura telah menjual sijil cuti sakit kepada pekerja yang tidak dapat bekerja.

Mereka mencetak helaian surat perakuan sakit itu bersama cop nama doktor dan jabatan. Sudah tentulah nama Dr Yusuf Aslam di Jabatan Pesakit Luar Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru Johor, adalah nama yang tidak sesuai untuk digunakan untuk menipu.

Perbuatan “pesakit” atau pekerja sebegini adalah suatu kesalahan besar. Ia bukan saja menipu majikan, tetapi menggunakan kredibiti pihak hospital untuk menipu.

Pihak hospital dan majikan boleh melaporkan kejadian itu pada polis. Mereka boleh didakwa di mahkamah.

 

MC Menipu

Adakalanya ”pesakit” ke klinik atau hospital kerana mahu menyambung cuti atas sebab peribadi. Kebetulan pula cuti tahunannya telah habis. Ada juga MC yang digunakan untuk mengelak untuk menghadiri perbicaraan, temuduga, peperiksaan dan malah untuk tidak hadir pernikahan.

”Pesakit” terpaksa berlakon di hadapan doktor dengan niat untuk menipu. Dia berjalanlah terhenjut-henjut kononnya kakinya terseliuh, atau masuk ke bilik doktor sambil memegang perut kononnya sakit.

Pada pandangan peribadi saya, saya sering mengesyaki bahawa ”pesakit” itu menipu. Namun saya tidak ada bukti kukuh yang ”pesakit” itu menipu atau saya tidak boleh menuduh ”pesakit” yang datang berjumpa saya untuk mendapatkan rawatan sebagai menipu.

”Kalau saya tak sakit, saya tak datang ke hospital, doktor!”

Helah seorang pesakit yang saya syaki menipu. Apa tidaknya, kalau matanya merah dan berbau tembakau rokok!

Malah ada pegawai HR yang mengadu ternampak anak buahnya yang diberikan MC sedang ber’shopping’ di mall. Paling berat ada rakan rapat yang menelefon saya untuk mendapatkan MC selama dua hari sedangkan dia berada di Batam Indonesia. Sungguh menyebalkan!

 

Tidak Mengapa Menipu kerana MC Hak pekerja?

Al Syeikh Walid bin Rasyid Al Su’aidan ketika membicarakan isu MC ini di dalam kitabnya ”Isu-isu Fiqh Perubatan Semasa” memberitahu,

”Kebenaran cuti seumpama itu adalah haram. Upah pada hari itu tidak patut diterimanya, bahkan hasil yang dimakannya itu adalah haram. Kadang-kadang ia menjadi punca kepada kemurkaan Allah, penolakan doa dan pengharaman daripada memperolehi keberkatan pada rezeki dan anak-anak. Sekiranya dia memakan sumber yang haram, dia akan merasa akibat buruknya”

”Alah doktor, MC saya banyak lagi. Tahun ini saya belum ambil MC pun. Bagilah saya  MC seminggu kali ini”

Apa yang mengelirukan bila pekerja menyangka bahawa peruntukan cuti sakit adalah haknya walaupun dia sihat. Maksudnya dia berhak menghabiskan cuti sakit pada tahun itu walaupun dia tidak sakit.

Atau mungkin menyangka jika cuti tahunannya sudah habis, dia berhak mendapat cuti sakit pula.

Secara logik yang difikirkan dengan akal yang sihat, cuti sakit seharusnya diberikan kepada pekerja yang sakit. Bukannya pekerja yang sudah kehabisan cuti tahunan dan memerlukan cuti untuk keperluan peribadi.

Jika pekerja fikir dia berhak mendapat cuti sakit walaupun dia dalam keadaan sihat, selepas ini bolehlah dia memohon cuti bersalin walaupun dia lelaki yang sihat!

Bagimana pula dengan gaji yang dibayar oleh majikan pada hari dia kononnya sakit? Seperti kata Al Syeikh Walid bin Rasyid Al Su’aidan, gajinya pada hari itu adalah haram.

Bagaimana kerja yang terpaksa dipikul oleh rakan sekerjanya? Tidakkah dia juga dikira menipu dan menyusahkan rakan sekerjanya? Bukankah dia perlu meminta maaf pada rakan sekerjanya?

Ternyata sekali sijil perakuan sakit bukan hak pekerja, terutama jika cutinya dibayar gaji penuh.

Jika dia bekerja dengan upah hari, maksudnya jika dia tidak hadir kerja, gajinya tidak diterima, maka seeloknya dia memberitahu saja majikannya secara terus, dan tidak perlu menipu doktor untuk mendapatkan sijil cuti sakit.

 

MC bukan hak doktor

Saya faham situasi di mana dalam keadaan kecemasan, pekerja memerlukan cuti yang serta merta, sebagai contoh anaknya sakit dan dimasukkan ke hospital, ibubapanya meninggal dunia dan dia perlu menziarahinya dan sebagainya.

Pada pendapat saya pekerja perlulah mendapat bukti datang ke hospital untuk rawatan anaknya saja, tidak perlu mendapatkan MC. Pihak hospital selalunya memberikan slip kedatangan pada kes sebegini.

Jika ibubapanya meninggal, selalunya pihak majikan memahami dan haruslah mengemukan bukti dengan memberikan salinan sijil mati kepada majikan. Kemudian boleh memohon cuti tahunan. Atau jika cuti tahunan sudah habis, memohon cuti tidak bergaji.

Janganlah memberikan rasa serba salah kepada doktor. Mereka hanya pemegang amanah bagi pihak majikan untuk menilai tahap kesihatan pekerja. Kerana itu helaian MC yang dikeluarkan adalah sebagai nota nasihat kepada majikan mengenai status tahap kesihatan pekerjanya.

Ini bermakna bahawa sijil sakit yang dikeluarkan oleh seseorang doktor itu adalah sebagai satu perakuan/pengesahan bahawa pekerja itu kurang sihat dan disyorkan berehat pada tarikh yang dinyatakan.

Jika majikan bersetuju dengan pendapat doktor itu maka pekerja bolehlah diluluskan cuti sakit. Pada tarikh pekerja disahkan tidak sihat itu mereka sepatutnya berehat di rumah atau di hospital.

Jika dapat dibuktikan pekerja memperolehi sijil sakit secara tipu/palsu, atau mereka didapati tidak sakit seperti yang dilaporkan oleh doktor, maka majikan boleh tidak meluluskan cuti sakit seperti yang dipohon dan mengesyorkan tindakan tatatertib diambil terhadap mereka.

Namun jika pekerja benar-benar sakit dan dinasihatkan rehat, sedang pihak majikan mahukannya bekerja, segala tanggungjawab doktor telah berpindah kepada pihak majikan. Sebagai contoh, tiba-tiba pekerja pengsan di tempat kerja, semestinyalah pihak majikan yang bertanggungjawab.

Sebagai manusia, doktor juga mempunyai belas ihsan ingin membantu. Namun adakalanya penyakit pesakit tidak seberapa dan boleh menjalankan tugas ringan, dan jika doktor berikan juga ubat-ubatan, ia boleh mengganggu tahap kesedaran (ubat yang mengantuk).

Selalunya doktor akan memberikan sijil perakuan sakit dengan tujuan pekerja/pesakit itu makan ubat yang dipresripsi dan rehat di rumah.

Sebagai contoh ubat batuk dan selsema selalunya menyebabkan pesakit mengantuk. Dengan berehat di rumah setelah memakan ubat, diharapkan ianya tidak membahayakan keselamatan pesakit dan dia boleh menyambung tugasnya keesokan hari.

Jadi sebagai hamba Allah yang inginkan keberkahan rezeki, kita harus faham bahawa menipu untuk mendapatkan MC atau memberikan MC palsu adalah seumpama mencuri harta kepunyaan majikan.

Saya tidak mempertikaikan pekerja yang benar-benar sakit. Tetapi saya cuba lontarkan pendapat sebagai seorang doktor yang memegang amanah untuk menilai tahap kesihatan pekerja.

Bagi mereka yang berniat menipu, kesalahan dan dosa haruslah dipikul oleh mereka. Bukan doktor. Saya tidak bersubahat atas dosa itu.

Semoga Allah memberikan hidayah kepada kita untuk kekal di jalanNYA.

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (170810)

http://www.facebook.com/drzubaidi

22 comments

  1. Pertama kali melawat situs ini, kelihatan pengisian yang baik sekali.

    Bagi saya, saya seringkali memberinya tanpa prejudis kecuali jika terlalu jelas pesakit cuba menipu.

    • Salam, seharusnya begitu lah supaya amanah yang diberikan dapat dijaga dan rezeki kita juga barakah.

  2. Harap ramai yg ambil iktibar drpd penulisan dr berkenaan mc. kdg2 saya juga pelik, ada org terlalu mudah dpt mc. Pertama kali saya dpt mc setelah bekerja 3-4 thn, dr sebuah klinik thn lps..keluar dr klinik berkenaan, saya jd blur pulak, x sangka dpt mc. Nak telefon bos untuk bgtau saya dpt mc pun saya tanya kwn dulu. Agak melucukan. Semoga kita dijauhkan dr rezeki yang haram

    • MC hanya nasihat doktor kepada majikan supaya pesakit direhatkan dari bekerja. Jika pesakit merasakan beliau masih boleh bekerja, abaikan nasihat (MC) itu.

  3. bekerja di klinik kesihatan ini membuatkan saya berfikir banyak kali untuk mengeluarkan mc. bukan kedekut, tapi saya risau saya turut akan mendapat dosa jika memberi cuti rehat kepada yang tidak layak..apa pendapat dr zubaidi?
    bagaimana pula jika saya nmengeluarkan mc untuk ahli keluarga. saya dapati tidak salah untuk seorang pegawai perubatan untuk mengeluarkan cuti sakit tersebut. tetapi dari segi etika bagaimana?

    • Tidak kira mereka adalah keluarga atau pesakit, MC hanya untuk mereka yang sakit. Jika saudara kita benar-benar sakit, bolehlah keluarkan MC. Minta datang klinik dan buat pendaftaran. Lakukan pemeriksaan dan berikan ubat jika perlu. Itu cara saya.

  4. Salam Dr. Mohon izin untuk berkongsi article ini dengan staff saya. Semoga mereka yang selalu MC mendapat hidayah setelah membaca article ini. Apa pendapat Dr sekiranya majikan menghubungi klinik yang memberi pekerjanya MC untuk mengesahkan adakah pekerjanya benar-benar mendapatkan rawatan di sana dan rawatan untuk apa. Adakah di bolehkan untuk Dr itu memberitahu pihak majikan tentang rawatan yang diberikan?

  5. saya pernah mendapatkan rawatan akar gigi diklinik kerajaan.app kul 10,rawatan mengambil masa dlm 2 jam & dibius .saya meminta mc,x dilayan dan diarah boleh berkerja semula….patut ke ngan muka yg dibius disuruh bekerja????jawapan yg diberikan mc hanya diberi jika CABUT GIGI!!!!!!

    • Dalam hal ini, saya berpendapat pesakit yang menerima rawatan (pembedahan kecil) harus diberikan MC pada hari itu. Kalau setakat datang klinik untuk konsultasi, tentu tidak perlu MC. Tapi ini semua adalah budi bicara doktor menilai pesakit. Jangan terlalu ringan dan jangan terlalu membeban. Lainlah kalau pesakit benar-benar datang untuk MC, maka MC tidak patut dikeluarkan.

  6. Akum..aku adalah bekerja sebagai penolong pegawai perubatan (MA)yang dulu dikenali sebagai Hospital Asistanc (HA).Kami dibenarkan memberi MC jika klinik tiada doktor.tetapi kebanyakkan daripada kami suka memberi MC kepada pesakit tanpa sebab munasabah..Aku rasa kerajaan kena gubal pekeliling bahawa MC hendaklah diberi oleh Doktor sahaja.Sebab Doktor adalah golongan profesional(ikutkan Gred la) bukan MA.Aku dah 6 tahun keje.Kebanyakan dari orang jawatan mcam aku ni..aku rasa ada 4 orang sahaja yang aku kenali yang amat berhati hati jika mengeluarkan MC.(ikut SOP katakan).Yang lain aku jumpa..senang nak kuarkan.Atas alasan malas nak bertekak dengan pesakit.Aku rasa mereka tu x betul.Mereka menolong pekerja menipu majikan.Lepas tu klnik akan ramai orang,ramai orang bukan nak dapatkan rawatan..tapi MC.Dulu aku keje kat Klinik Kesihatan Gemencheh.Sebelum ini MC boleh dikeluarkan oleh Penolong Pegawai Perubatan.Pastu aku masuk ke sana,pekeliling telah dikeluarkan oleh JKN Negeri Sembilan mengatakan MC hanya dikeluarkan oleh Doktor.Tahu ape perubahannya..dulu pesakit ramai gila datang..datang nak MC…datang sakit x seberapa tapi nak MC.pastu kat luar pintu pagar Klinik berlambak ubat yang diberi..maknanya bila dapat MC..ubat dibuang.selepas pekeliling dikeluarkan..baru kurang sikit kedatangan pesakit.Aku harap..pihak kerajaan atau JPA fikirkan la status MC yang dikeluarkan oleh MA ini.Mereka ini bukan golongan profesional.Walaupun aku ni MA,aku tahu status aku.

    • Saya bersetuju dengan pendapat saudara. MA boleh membantu dengan mengeluarkan “surat pengesahan datang klinik”, sbg bukti mereka ada hadir ke klinik.

  7. Aku harap suatu hari nanti,pihak Kerajaan pertimbangkan bahawa MC hanya Doktor yang boleh keluarkan.

    • MC yang dikeluarkan oleh doktor diiktiraf kerana mereka akan bertanggungjawab atas MC yang dikeluarkan. Pihak majikan berhak mendapat kerjasama dari pihak doktor untuk mendapat pnejelasan dengan syarat mendapat kebenaran dari pesakit.

  8. akum doktor artikel ni kenapa x leh nak copy ..saya nak print..nak letak kat klinik…

  9. this has been my argument since day 1 i became a medical officer,having read the same “isu-isu fiqh perubatan semasa” by the said author…

    alhamdulillah…ada jugak org lain yg baca sama and have the same ideas re: MC issues…tq dr..:)

  10. Salam Doktor,
    Saya ingin mendapat kepastian tentang apa yang ditakrifkan sebagai cuti sakit, maksud saya jika pekerja mendapat cuti sakit pada pemahaman saya mereka tidak boleh pergi bersiar-siar atau buat pekerjaan lain pada waktu tersebut tetapi berlaku pada kakitangan saya di mana beliau dalam mc tapi membuat kerja partime dalam tempoh tersebut. Bagaimanakah atau apakah yang mesti saya lakukan atau apakah hak majikan dalam situasi ini?

    • Wsalam. Dalam hal ini saya berpendapat, puan boleh dapatkan bukti kakitangan puan membuat kerja part-time (gambar, tarikh, masa) dan boleh memberikan surat tunjuk sebab. Akhirnya disusuli dengan tindakan.

  11. akusaya kamudia

    Saya rasa borang MC hospital/kelinik kerajaan dan swata perlu di buat penambah baikan dgn mencatit peringatan supaya pihak majikan menghubungi contact person hospital/klinik/ untuk pengesahan sijil MC yang di keluarkan.

  12. akusaya kamudia

    Saya rasakan sijil MC dari hospital/klinik kerajaan /swasta perlu di buat penambahbaikan supaya ada satu sistem counter check untuk pengesahan sah sijil dan sebagainya.

  13. masalah mc ni tak semudah tu je. bukan setekat doktor yang bagi mc je,tapi dari akar umbi seganap lapisan masyarakat terlibat.pada saya isunya adalah segelintir daripada masyarakat malaysia ada krisis moral yang teruk,hidup tak berperaturan, main langgar je semua tak kira dosa pahala.masing2 ingat dia tak akan mati, padahal Allah tahu setiap perkara walau yang tersembunyi walau hal sebesar zarah pun Dia maha mengetahui.so sindiri mau pikirla semua tu..

  14. saya cikgu. dan sy tahu hukum mc tipu adalah haram. tetapi bila sy suarakan kepada rakan-rakan yg suka menipu dengan MC mereka marah saya. tanya siapa saya untuk menentukan halal haram. sedih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top