jangkitan GBS semasa hamil

JANGKITAN GBS SEMASA HAMIL

 

 

Assalamua’laikum Dr Zubaidi. Saya ada pertanyaan mengenai GBS untuk ibu hamil. Sebelum ini saya pernah hamil anak pertama, selepas bersalin anak saya telah meninggal beberapa hari dan doktor telah mengesahkan kematiannya disebabkan jangkitan kuman GBS. Cuma saya keliru sedikit degan jawaban yang diberikan oleh doctor.

 Semasa hamil 8 bulan, doctor telah menjalankan pemeriksaan saringan GBS secara kaedah swab selepas saya beritahu saya mengalami keputihan yang banyak. Keputusannya tiada kuman yang berbahaya. Apabila saya telah melahirkan anak, beberapa hari kemudian anak saya meninggal dunia. Doktor beritahu yang anak saya meninggal dunia akibat jangkitan GBS. Bila pemeriksaan darah dan pemeriksaan swab pada anak saya sebanyak dua kali, kedua-dua keputusan menunjukkan anak saya tiada jangkitan atau tiada kuman GBS.

 Tetapi doctor menegaskan ada kematian anak saya disebabkan jangkitan kuman GBS. Untuk kehamilan yang akan datang, doctor mensarankan agar ubat antibiotic diberikan semasa proses melahirkan anak.  Jadi agak keliru jika saya dan anak saya tiada kuman GBS, mengapa perlu diberikan antibiotic kelak?  oktor, ade tak cara untuk hilangkan kuman GBS semasa hamil selain dari mengguna antibiotic? Terima kasih.

 

WALAIKUMUSALAM

 

Saya ucapkan takziah pada puan dan keluarga atas kehilangan anak puan yang baru dilahirkan. Semoga Allah berikan ganti yang lebih baik pada puan sekeluarga.  Sebelum saya menjawab soalan puan, elok saya terangkan beberapa isu mengenai GBS supaya orang yang membaca ini pun mendapat manfaat dengan perkongsian info ini.

 

APA SEBENARNYA KUMAN GBS?

GBS adalah kuman Group B streptococcus. Jika seorang wanita mendapat jangkitan GBS bukan bermakna mereka itu berada dalam keadaan tidak bersih. Mana-mana manusia, lelaki dan perempuan boleh mendapat jangkitan GBS. Jika jangkitan ini terkawal, ia tidak memberikan sebarang tanda dan kemudaratan. Tetapi jika jangkitan GBS ini tidak terkawal, ia boleh menunjukkan tanda dan mendatangkan kemudaratan sehingga menyebabkan kematian pada manusia dewasa.

 

Tetapi bagi wanita hamil, kita lebih bimbangkan kuman GBS ini akan merebak dan menjangkiti bayi ketika dilahirkan walaupun sebarang tiada tanda jangkitan pada mereka. Sekali lagi jika jangkitan itu teruk, ia akan menyebabkan kemudaratan pada bayi itu beberapa jam selepas dilahirkan. Sementara jika tidak berada teruk, mungkin bayi itu akan mengalami kemudaratan beberapa minggu atau bulan setelah dilahirkan. Ini kerana tubuh bayi masih mempunyai sistem daya  tahan yang lemah. Kuman GBS yang berada dalam tubuh bayi ini akan membiak dan memberikan kemudaratan kepadanya.

 

Oleh itu, terdapat kes-kes di mana bayi yang dijangkiti kuman GBS ini mengalami keguguran di akhir usia kehamilan, atau meninggal dunia dalam rahem (stillbirth) atau meninggal dunia selepas beberapa jam dilahirkan. Ada pula yang dilahirkan hidup tetapi jatuh sakit yang teruk beberapa jam selepas dilahirkan seperti mengalami jangkitan kuman pada darah (septicaemia), jangkitan kuman pada selaput otak (meningitis), jangkitan pada paru-paru (pneumonia). Ada pula bayi yang selamat setelah menjalani rawatan di hospital tetapi mengalami komplikasi seperti kebutaan, ketulian, masalah kecacatan mental dan juga cerebral palsy.

 

Alhamdulillah dengan teknologi moden, masalah ini dapat dielakkan apabila wanita yang disahkan mengalami jangkitan GBS (disebut nanti sebagai GBS positif) dan menerima rawatan antibiotic secara intravenous (IV) setiap 4 jam ketika proses kelihatan bermula sehingga bayi dilahirkan.

 

BAGAIMANA JANGKITAN KUMAN INI BOLEH BERLAKU PADA WANITA YANG HAMIL?

Kuman GBS ini banyak terdapat dalam usus besar. Jangkitan kuman bakteria ini biasa menjangkiti wanita yang hamil tanpa memberikan sebarang tanda. Kebanyakan kuman ini masuk ke dalam rongga faraj melalui lubang dubur yang sangat rapat dengan rongga faraj. Kuman ini bukan kuman yang luar biasa dan bukan kuman yang menyebabkan jangkitan penyakit kelamin (sexually transmitted disease ).

 

Terdapat kajian yang menyebut GBS ini adalah kuman yang jahat yang hidup dalam usus besar dan ia akan membiak dan menjadi banyak jika kuman-kuman yang baik tidak dapat mengimbangi kehadiran kuman-kuman jahat ini. Jadi ia terdapat banyak dalam usus besar, keluar melalui lubang dubur dan merebak ke rongga faraj yang berada berdekatan.

 

Tidak semua wanita yang sihat akan menunjukkan tanda-tanda jangkitan. Begitu juga dengan wanita hamil yang dijangkiti GBS. Kebanyakan mereka tidak menunjukkan sebarang tanda jangkitan. Cuma dibimbangi pada wanita hamil dan positif ujian saringan kuman GBS, jangkitan GBS ini akan menjangkiti bayi yang dilahirkan secara normal (melalui faraj).

 

BAGAIMANA WANITA HAMIL MENGETAHUI SAMA ADA MEREKA DIJANGKITI KUMAN BGS?

Pemeriksaan saringan kuman GBS adalah cara terbaik bagi menentukan sama ada wanita hamil ini yang telah dijangkiti kuman GBS atau tidak. Wanita yang telah dijangkiti kuman GBS akan menunjukkan keputusan positif pada ujian saringan itu. Mereka dikatakan sebagai GBS positif. Mereka perlu diberikan rawatan jika jangkitan itu terlalu teruk.

 

Terdapat juga wanita yang berstatus GBS positif (telah dijangkiti kuman GBS) tetapi tidak menunjukkan sebarang tanda. Mereka ini boleh dinamakan sebagai GBS positif atau pembawa GBS. Mereka mungkin tidak menyedari yang mereka telah dijangkiti oleh kuman GBS. Jadi mereka tidak mendapat rawatan.

 

Mereka mungkin menyangka hanya mengalami jangkitan kuman atau kulat pada rongga faraj. Mereka rasa gatal gatal, rasa pedih, atau keluar lendiran yang luar biasa dari rongga faraj dan diberikan ubat antifungal. Sudah tentu ia tidak berkesan. Oleh itu sebarang jangkitan pada rongga faraj haruslah diberikan perhatian dan perlu mendapat pemeriksaan doctor, terutama ketika hamil. Pemeriksaan saringan kuman GBS mungkin dilakukan jika perlu.

 

Jangkitan kuman GBS juga boleh merebak ke pundi kencing kerana rongga saluran air kencing sangat berdekatan dengan lubang dubur. Kuman akan masuk ke dalam rongga saluran air kencing dan akhirnya sampai ke pundi air kencing menyebabkan jangkitan kuman pada pundi kencing. Jangkitan kuman di sini mungkin memberikan tanda seperti rasa pedih ketika buang air kecil, rasa tidak selesa pada abdomen dan rasa mahu buang air kecil secara kerap. Ada kalanya ia tidak memberikan sebarang tanda.

 

Oleh itu wanita yang hamil perlu melakukan ujian saringan kuman GBS dan bukan sekadar ujian celup “dipstick” yang biasa dilakukan ketika pemeriksaan sepanjang kehamilan. Di Amerika Syarikat, amalan melakukan saringan seperti ini biasa dilakukan bagi wanita hamil yang mengalami masalah jangkitan pundi kencing. Air kencing akan dihantar untuk pemeriksaan “culture” bagi menentukan wanita hamil ini telah dijangkiti kuman GBS pada saluran kencing dan pundi air kencing mereka. Jika pemeriksaan ini positif, bermakna kuman GBS telah terlalu banyak dan mungkin telah menjangkiti juga rongga faraj tanpa disedari, tanpa memberikan sebarang tanda jangkitan.

 

Di Amerika Syarikat bagi wanita hamil dan tidak menunjukkan sebarang tanda, biasanya akan menjalani ujian saringan untuk kuman GBS dengan melakukan ujian “swab” pada rongga vagina dan lubang dubur pada usia kehamilan antara 35 hingga 37 minggu pada setiap kehamilan. Kecuali bagi wanita hamil yang sebelum ini (pada kehamilan yang lepas), telah menjalani ujian saringan GBS dan mereka didapati didapati GBS positif.

 

Bagi mereka yang positif GBS, ujian ini tidak dilakukan lagi dan mereka akan terus diberikan ubat antibiotic apabila proses kehamilan bermula atau selaput ketuban telah pecah.

 

ADAKAH JIKA SAYA GBS POSITIF, SAYA AKAN DISURUH MEMBUAT PEMERIKSAAN SARINGAN SEMULA?

Apabila seorang wanita itu pernah menjalani pemeriksaan ujian saringan GBS pada kehamilan lepas dan didapati positif, mereka tidak perlu menjalani pemeriksaan ujian GBS itu semula. Mereka hanya perlu diberikan antibiotic semasa proses melahirkan anak.

 

BOLEHKAH UJIAN INI MENUNJUKKAN KEPUTUSAN YANG NEGATIF DAN PADA MASA YANG LAIN MENUNJUKKAN KEPUTUSAN YANG POSITIF?

Keadaan ini boleh berlaku jika:

  1. Ketika ujian saringan itu dilakukan, wanita hamil itu menggunakan antibiotic untuk masalah jangkitan kuman pada tekak, pundi kencing atau masalah jangkitan pada organ lain. Oleh itu beritahu doctor ketika pemeriksaan itu dijalankan sama ada mengambil sebarang antibiotic.
  1. Pada masa itu sistem daya tahan kita semakin kuat, dan jangkitan kuman GBS dapat dikawal tanpa sebarang antibiotic.
  1. Teknik pengambilan sampel yang tidak tepat menyebabkan keputusan yang didapati tidak sama.

Oleh itu pemeriksaan ulangan tidak dilakukan jika seseorang wanita hamil disahkan GBS positif.

 

ADAKAH JANGKITAN GBS PADA BAYI ADALAH SESUATU MASALAH YANG SERIUS?

Jangkitan kuman GBS dari ibu kepada anak berlaku ketika anak dikeluarkan (dilahirkan) kerana melalui rongga faraj yang ada kuman GBS.  Tetapi tidak semua bayi yang dilahirkan oleh ibu yang GBS positif akan dijangkiti kuman GBS. Dianggarkan kira-kira 1 dari 200 ratus bayi yang dilahirkan oleh ibu yang GBS positif akan mendapat jangkitan ini.

 

Walau bagaimana pun doctor dapat mengagak wanita mana yang telah disahkan GBS positif tinggi menjangkiti anak mereka. Wanita-wanita ini dikatakan sebagai wanita berisiko tinggi. Antara faktor yang diperhatikan ialah:

 

  1. Pernah melahirkan anak sebelum 37 minggu atau selaput ketuban (amniotic membrane) telah pecah sebelum 37 minggu kehamilan.
  2. Selaput ketuban pecah 18 jam atau lebih sebelum bayi dikeluarkan walaupun pada hari itu adalah hari yang dijangka melahirkan anak (Expected Delivery Date)
  3. Mengalami demam sepanjang proses melahirkan anak.
  4. Pernah mengalami jangkitan saluran kencing ketika hamil dan disahkan akibat jangkitan GBS
  5. Pernah melahirkan anak yang dijangkiti GBS pada kehamilan lepas.

 

Kebarangkalian untuk wanita berisiko ini lebih tinggi untuk menjangkiti anak mereka. Oleh itu mereka diberikan perhatian yag lebih teliti.

 

Saya ingin membawakan beberapa fakta yang menunjukkan bagaimana jangkitan ini boleh berlaku.

  1. Jangkitan GBS boleh berlaku ketika bayi masih berada dalam rahem. Kuman GBS dapat menyeberangi selaput ketuban ini. Keadaan ini dinamakan “prenatal-onset.” Ini menyebabkan bayi dalam rahem keguguran atau meninggal dunia ketika dalam rahem. Ia juga boleh menyebabkan kelahiran pramatang.
  1. Jangkitan GBS pada “prenatal-onset” juga boleh berlaku apabila selaput ketuban telah pecah secara pramatang walaupun ia tidak menyebabkan kelahiran pramatang. Ini kerana kuman GBS boleh menjangkiti bayi apabila selaput ketuban bocor.
  1. Jangkitan kuman GBS selalu berlaku apabila bayi dilahirkan itu melalui atau melepasi rongga faraj yang mengandungi banyak kuman GBS. Lendiran dari faraj yang ada kuman ini mungkin memasuki saluran pernafasan dan akhirnya ke saluran darah menyebabkan jangkitan kuman yang teruk. Jika jangkitan berlaku pada masa ini, dinamakan “early-onset.” Tanda-tadanya dapat dilihat pada bayi selepas beberapa jam sehingga beberapa hari.
  1. Jika jangkitan ini berlaku selepas seminggu kelahiran, kemungkin sumber jangkitan bukan berasal dari ibu. Ia mungkin dari sumber lain seperti dari orang yang yang menyentuh atau mencium bayi yang baru dilahirkan ini. Atau mungkin semasa dilahirkan kuman dari rongga faraj ibunya tidak terlalu banyak dan memasuki tubuh bayi. Apabila bilangan kuman GBS semakin akibat bayi mempunyai daya tahan yang rendah, maka tanda-tanda jangkitan akan muncul selepas seminggu dilahirkan. Keadaan ini dinamakan “late-onset.”
  1. Tanda-tanda jangkitan sama ada “early-onset” atau “late-onset” adalah jangkitan kuman ke seluruh tubuh (sepsis), jangkitan pada selaput otak (meningitis) dan jangkitan kuman pada paru-paru (pneumonia). Tanda-tanda ini boleh menyebabkan kematian beberapa jam bayi dilahirkan. Tanda-tanda lain masalah jantung dan tekanan darah yang tidak stabil, masalah usus dan masalah ginjal. Jika tidak teruk, jangkitan ini menunjukkan tanda-tanda selepas seminggu.
  1. Jangkitan GBS boleh menyebabkan luka pada rongga faraj atau luka pada abdomen pembedahan Cesarean menjadi lambat sembuh.
  1. Wanita hamil yang GBS positif tidak boleh dipecahkan selaput ketuban yang selalunya dilakukan untuk memulakan proses kelahiran. Prosedur ini dinamakan “artificial ruptured of membrane” (AROM). Prosedur ini akan membocorkan selaput ketuban dan menggalakkan otot rahem mengecut bagi memulakan proses kelahiran. Kebocoran pada selaput ketuban boleh mengundang kemasukkan kuman GBS ke dalam rahem dan menjangkiti bayi.

BAGAIMANA SAYA MENGELAKKAN ANAK SAYA YANG BAKAL DILAHIRKAN DARI DIJANGKITI GBS?

Jika seorang wanita hamil disahkan positif GBS, doctor akan memberikan ubat antibiotic melalui intravenous (IV) bagi mengelakkan bayi yang bakal dilahirkan mendapat jangkitan GBS dan jatuh sakit. Ia diberikan setiap 4 jam dan diteruskan sehingga bayi selamat dilahirkan.

 

Pemberian antibiotic beberapa hari sebelum proses kelahiran bermula adalah tidak berkesan. Ini kerana kuman GBS yang berasal dari  lubang dubur, boleh menjangkiti rongga faraj semula sebelum proses kelahiran bermula. Oleh itu ia harus diberikan apabila proses kelahiran bermula.

 

SELAMATKAH WANITA YANG DISAHKAN POSITIF MENGAMBIL UBAT ANTIBIOTIK SEBELUM PROSES MELAHIRKAN ANAK BERMULA?

Memberikan pil antibiotik kepada ibu yang telah disahkan GBS positif semasa kehamilan hanya akan mengurangkan bilangan kuman GBS untuk jangka masa yang singkat. Bilangan kuman mungkin akan berkurangan tetapi mustahil bagi menghapuskan keseluruhan kuman ini. Jangkitan ini akan berulang kerana punca jangkitan ini ialah lubang dubur yang berdekatan dengan rongga faraj.

 

Memberikan ubat pil antibiotic selepas melahirkan anak juga dianggap alangkah yang agak lewat untuk mengelakkan bayi dijangkiti kuman GBS terutama pada ibu yang berisiko untuk menjangkiti anak mereka.

 

JIKA SEORANG WANITA ITU GBS POSITIF DAN MELAHIRKAN ANAK SECARA CESAREAN SECTION, PERLUKAH SAYA DIBERIKAN ANTIBIOTIK? 

Jika seorang wanita itu disahkan GBS positif, tetapi proses kelahiran belum bermula, atau selaput bayi belum pecah (tiada air ketuban yang keluar), wanita yang akan menjalani pembedahan caesarean selalunya tidak diberikan ubat antibiotic untuk membunuh kuman GBS. Ini kerana bayi tidak akan melepasi rongga faraj, sebaliknya akan dikeluarkan melalui luka pembedahan pada kulit daan rahem. Jadi bayi tidak bersentuhan dengan kuman GBS yang banyak berada di rongga faraj. Jadi risiko untuk mendapat jangkitan kuman GBS sangat rendah.

 

Doktor mungkin hanya akan memberikan ubat antibiotic sebagai pencegahan jangkitan kuman pada kulit yang dipotong. Bukan ubat untuk membunuh kuman GBS.

 

Jika seorang wanita itu disahkan GBS positif, dan proses kelahiran telah bermula atau selaput ketuban telah pecah (ada air ketuban yang keluar), kebanyakan doctor akan memulakan pemberian antibiotic walaupun wanita itu menjalani pembedahan Cesarean. Ini dibimbangi kuman yang berada dalam rongga faraj dan akan masuk ke dalam rahem dan menjangkiti bayi ketika selaput ketuban telah pecah sebelum bayi dikeluarkan.

 

Bagaimana jika saya belum pernah mendapat ujian saringan GBS sebelum ini, jadi saya tidak tahu sama ada saya GBS positif atau tidak. Adakah saya berisiko untuk menjangkiti anak saya?

Jika seorang wanita itu tidak pernah menjalani ujian GBS kerana tidak berpeluang melakukannya atau pihak hospital/klinik tidak ada perkhidmatan tersebut, selalunya doctor akan memberikan ubat suntikan IV antibiotic bagi mencegah jangkitan kuman GBS kepada bayi jika wanita itu menunjukkan tanda-tanda:

 

  1. Wanita itu melahirkan anak secara pramatang (sebelum usia kehamilan 37 minggu).
  1. Selaput ketuban telah pecah lebih awal 18 jam atau lebih tanpa sebarang mahu melahirkan anak atau proses kelahiran belum bermula.
  1. Demam 100.4 °F atau lebih tinggi semasa proses kelahiran.

 

Ia bergantung kepada penilaian doctor sama ada wanita itu berisiko (untuk berstatus GBS positif tanpa diketahui) dan boleh menjangkiti bayi dalam rahem.

 

ADAKAH ANTIBIOTIK SELAMAT UNTUK BAYI DALAM RAHEM?

Selalunya doctor akan memberikan ubat-ubat yang selamat diberikan kepada bayi yang masih dalam rahem. Antaranya ubat penicillin (berada dalam kategori B) yang biasa pada ibu yang tiada alahan pada ubat antibiotic tersebut. Bagi ibu alah pada penicillin, doctor akan memberikan ubat yang sesuai.

 

Berbincanglah dengan doctor yang merawat tentang manfaat dan kemudarata setiap ubat yang bakal diberikan. Ini akan memberikan kefahaman dan ketenangan pada puan sepanjang kehamilan.

 

PERLUKAH ANTIBIOTIK DIBERIKAN OLEH SEORANG IBU YANG DISAHKAN MENGALAMI JANGKITAN GBS? APAKAH YANG  BAKAL BERLAKU JIKA SEORANG IBU TIDAK MAHU MENGAMBIL ANTIBIOTIK?

Menurut Centre of Disease Control USA, jika seorang ibu disahkan GBS positif dan bukan berada dalam kategori berisiko tinggi, kebarangkalian untuk melahirkan anak yang dijangkiti GBS adalah:

1 dalam 200 jika antibiotic tidak diberikan

1 dalam 4000 jika antibiotic diberikan

 

Bagi mereka yang berada dalam kategori berisiko tinggi, kebarangkalian untuk menjangkiti anak adalah lebih tinggi jika antibiotic tidak diberikaan.

 

Oleh kerana risiko kematian dan komplikasi akibat jangkitan GBS sangat tinggi dan sangat teruk, saya mencadangkan agar wanita yang hamil dan berstatus GBS positif wajib mengambil antibiotic ketika melahirkan anak seperti mana yang dicadangkan oleh doctor.

 

RUJUKAN:

 

  1. Maniatis AN, Palermos J, Kantzanou M, Maniatis NA, Christodoulou C, Legakis NJ. Streptococcus agalactiae: a vaginal pathogen? Department of Microbiology, Medical School, University of Athens, Greece. J Med Microbiol.;44(3):199-202, March 1996.
  2. Morbidity and Mortality Weekly Report, Prevention of Perinatal Group B Streptococcal Disease, Revised Guidelines from CDC, 2010, Vol. 59, No. RR-10, pages 7, 23. November 19, 2010.
  3. Ostroff RM, Steaffans JW. Effect of specimen storage, antibiotics, and feminine hygiene products on the detection of group B Streptococcus by culture and the STREP B OIA test. Diagn Microbiol Infect Dis. 1995 Jul;22(3):253-9.
  4. US. Preventive Services Task Force, Screening for Asymptomatic Bacteriuria in Adults, Reaffirmation Recommendation Statement, July 2008.
  5. Manning SD, Tallman P, Baker CJ, Gillespie B, Marrs CF, Foxman B. Determinants of co-colonization with group B streptococcus among heterosexual college couples. Epidemiology.2002 Sep;13(5):533-9.
  6. Akin W., Fatheree D., Klausing C., “Vaginal Exams in Late Pregnancy.” www.childbirth.org.
  7. SOGC Clinical Practice Guidelines. The Prevention of Early-onset Neonatal Group B Streptococcal Disease. No. 149, September 2004.
  8. Rosenstein N, Schuchat A. Neonatal GBS Disease Study Group. “Opportunities for prevention of perinatal group B streptococcal disease: A multistate surveillance analysis.” Obstet Gynecol 90:901-6. 1997.
  9. Kotiw M, Zhang GW, Daggard G, Reiss-Levy E, Tapsall JW, Numa A, Center for Biomedical Research, Department of Biological and Physical Sciences, Faculty of Sciences, University of Southern Queensland, Toowoomba, Queensland, Australia 4350. kotiw@usq.edu.au. “Late-onset and recurrent neonatal Group B streptococcal disease associated with breast-milk transmission.” Pediatr Dev Pathol. 2003 May-Jun;6(3):251-6. Epub 2003 Apr 14.

 

Leave a Reply

error: Content is protected !!