Saya kerap meneliti topik yang diminati oleh pembaca blog saya. Ini membantu saya menyiapkan penulisan yang diharapkan dapat membantu menghuraikan isu besar di kalangan rakan FB saya.
Penulisan saya bertajuk ”Pengambilan Paracetamol (Panadol) Ketika Hamil” adalah antara topik yang selalu dibaca oleh rakan FB. Ia adalah topik yang berada di tangga ke tiga teratas dalam senarai penulisan popular di blog.
Pembaca boleh melihatnya di https://drzubaidi.com/blog/?p=509
Penulisan saya ketika itu cuba menepis dakwaan segelintir orang yang mengatakan bahawa pengambilan ubat Panadol atau Paracematol di akhir kehamilan (trimester ketiga) akan menyebabkan anak mendapat penyakit asthma atau alahan paru-paru.
Walau bagaimanapun, penulisan saya bukanlah muktamad mengatakan ubat paracetamol dan panadol boleh diambil oleh semua wanita yang hamil. Semua wanita yang hamil perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil apa saja jenis ubat termasuk paracetamol dan panadol.
“Jadi Paracetamol boleh digunakan atau tidak?” soal rakan FB yang mahukan ’fatwa’ perubatan saya.
Saya percaya banyak kekeliruan terhadap ubat Paracematol atau Panadol ini. Saya sendiri amat berhati-hati ketika memberikan preskripsi Paracetamol kepada wanita yang hamil.
Oleh itu saya selalu meningatkan ibu yang hamil agar membawa buku Antenatal Care yang berwarna merah diberikan oleh Pusat Kesihatan Ibu dan Anak agar memudahkan doktor meneliti masalah kesihatan ibu yang hamil.
Saya pernah didatangi oleh seorang wanita hamil, yang merupakan eksekutif akaun di sebuah kilang. Beliau tidak dapat hadir ke tempat kerja dan sedang hamil 20 minggu. Beliau mendakwa sakit kepala sejak awal pagi, dan mahukan MC. Beliau juga meminta diberikan Cafergot dan ubat Ponstan untuk penyakit migrainnya.
Bila saya tanyakan ’buku merah’ itu, beliau mengatakan beliau lupa membawanya. Sebagai doktor, saya perlukan bukti untuk diagnosa sebelum saya merawatnya. Beliau mendakwa kesihatannya normal. Ini membuatkan saya serba salah.
Saya menasihatkan agar beliau membawa ’buku merah’ itu bagi memudahkan kerja saya. Petangnya apabila beliau bawa kad merah itu, saya mendapati beliau bukannya menghadapi migraine, tetapi anaemia yang teruk. Tahap haemoglobinnya 7.5 g/dL.
Saya tidak berniat untuk menyusahkan pesakit saya dengan menyuruhnya balik dan ambil ’buku merah’ itu. Ia sebenarnya sangat penting dan membantu saya membuatkan diagnosis yang betul.
Dalam kes ini beliau tidak perlu memakan ubat migraine atau penahan sakit kerana masalah sakit kepala beliau disebabkan oleh masalah anemia. Bayangkan jika saya mempercayai wanita itu dan memberikannya ubat migraine dan ponstan.
”Doktor tak menjawab soalan saya…”
Ya, betul saya belum lagi menjawab soalan itu. Saya ingin menegaskan keperluan agar pesakit bekerjasama dengan doktor dalam penjagaan kesihatan mereka.
Secara amnya, paracetamol adalah selamat untuk kehamilan dan boleh digunakan untuk merawat demam atau sebagai ubat penahan sakit untuk melegakan kesakitan.
Setiap dos paracetamol – satu atau dua biji tablet 500 milligram (mg) – boleh diambil untuk setiap empat jam, dan maksima 4g (lapan biji tablets 500mg) untuk digunakan dalam masa 24 jam.
Semestinyalah, pengambilannya perlu mendapat nasihat doktor dan hanya diambil jika ianya amat diperlukan.
“Kalau tak ambil Paracetamol, macam mana nak kurangkan demam?”
Demam yang dialami oleh seorang pesakit selalunya disebabkan oleh virus. Jika demam pesakit tidak terlalu tinggi, pesakit haruslah minum air mineral secukupnya.
Orang Melayu kita menamakan demam yang tidak tinggi ini sebagai dedar. Elak memakai pakaian tebal atau berselimut dengan alasan untuk mengeluarkan peluh. Ini akan membahayakan kesihatan ibu dan anak yang dikandung.
Jika masih tidak selesa, suhu badan itu boleh dikurangkan dengan mengambil sebiji paracetamol 500mg dengan nasihat doktor.
Pada masa yang sama, jangan biarkan demam terlalu teruk melebihi 39 darjah Celcius. Demam yang tinggi ini dapat dikesan dengan menggunakan menggunakan alat thermometer. Adakalanya pesakit mengadu rasa terlalu sejuk dan menggigil.
Bayi dalam kandungan tidak mampu menerima suhu terlalu panas ketika ibunya menghidapi demam setinggi itu. Suhu setinggi 39 darjah celcius dianggap tinggi dan perlu diberikan ubat. Oleh itu gunakanlah panadol kerana panadol berfungsi sebagai antipyretic yang akan menurunkan suhu badan dengan cepat.
Jika suhu badan tidak turun setelah makan ubat paracetamol, boleh gunakan tuala basah untuk dituam pada dahi, dada dan leher bagi mengeluarkan haba dari badan. Teknik ini dinamakan tepid sponge.
Jika demam tidak juga berkurangan, doktor selalunya akan melakukan beberapa ujian darah dan air kencing. Ini akan membantu doktor mendiagnosa penyakit yang lebih serius.
”Saya masih lagi risau tentang keselamatan anak yang saya kandung jika makan ubat yang diberikan..”
Saya menghormati setiap pandangan yang diberikan. Memanglah tiada jaminan ubat yang dimakan tidak mengganggu kesihatan anak. Namun bukan saja ubat, apa saja yang kita makan dan masuk ke dalam perut kita juga boleh mengganggu kesihatan bayi, terutama makanan segera dan mengandungi bahan pengawet.
Satu kajian di UK terhadap 12,000 wanita hamil yang mengambil paracetamol dalam kadar dos yang dibenarkan, didapati ubat paracetamol adalah selamat untuk ibu dan anak sebagai ubat yang menyembuhkan demam dan sebagai penahan sakit.
Satu kajian yang dilakukan oleh Avon Longitudinal Study of Pregnancy and Childhood (ALSPAC), yang melibatkan 12,104 wanita hamil menunjukkan penggunaan paracetamol semasa hamil tidak menunjukkan sebarang kesan buruk pada kehamilannya atau mengganggu perkembangan bayi daam kandungan.
Menurut Professor Golding, Pengarah kajian ALSPAC dan Professor di Paediatric and Perinatal Epidemiology di Institute of Child Health, University Bristol, sakit kepala disebabkan migraine adalah sebab utama untuk wanita hamil mengambil ubat penahan sakit. Paracetamol didapati sebagai penahan sakit yang selamat bagi wanita hamil.
Paracetamol juga tidak memberikan kesan sampingan yang kuat seperti mana ubat penahan sakit yang lain. Paracetamol juga boleh diambil oleh kanak-kanak bawah 12 tahun.
Allahu a’lam.
KONSULTASI BERSAMA DR ZUBAIDI
Jika berminat mendapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi, boleh klik di link :
https://needsvenue.onpay.my/order/form/20mindrz
assalammualaikum doktor,
saya baru hamil 16minggu dan sering mengambil pracetamol kerana megalami sakit kepala yang sangat teruk. boleh dikatakan setiap minggu saya akan mengambil paracetamol untuk menghilangkan sakit kepala saya. kadangkala saya amat risau akan kandungan saya kerana saya kerap mengambil paracetamol. tambahpula saya masih diawal kehamilan. kadangkala saya sanggup menahan diri dari mengambil paracetamol walaupun saya terpaksa menahan sakit kepala yang sakitnya makan masa 2hari baru akan pulih. saya juga telah banyak kali pergi ke klinik meminta pandangan doktor dengan masalah sakit kepala saya, tetapi kesemua doktor yang merawat saya megatakan saya mungkin stress. sedangkan kerja saya bukanlah stress. adakah kesan mengambil paracetamol ini memberi kesan pada perkembangan sifat dan otak bayi saya?
harap doktor dapat memberi penjelasan kepada saya. terima kasih.
dr, saya juga berminat untuk mengetahui beraitan ubat galatis untuk vitamin pada kanak2…..tqvm dr
as salam doktor…sy nk tny,sy bru disahkan hamil 4bln…sebelum sy menyedari saya hamil,sy telah mengambil pelbagai jenis ubat..termasuklah ponstan,ubat untuk period,majun dan lain-lain..adakah ubat-ubat tersebut boleh memberi kesan sampingan kepada kandungan saya?
dr,sy skrg ni hamil 3 bln,mengalami sakit gigi yg teramat sgt,nak mkn panadol tp x berani,adalah guna ubat jenis sapu tp x berkesan,nak cabut gigi tp dgr kata pun x bleh..risau ubat bius bw effect kat baby..so nak dptkn pdpt dari dr. thank u.