PERLUKAH IA DIGUGURKAN?

PERKUKAH IA DIGUGURKAN?

 

“Assalamualaikum Dr Zubaidi. Saya baru sahaja bersalin 3 bulan lepas. Kali terakhir saya datang haid ialah pada 30 Mac (hari ini 4 April). Sepatutnya saya haid semula pada 28 April, tetapi ia tidak berlaku. Semalam saya buat ujian kehamilan dan keputusannya positif (double line). Kemungkinan besar usia kandungan masih kurang daripada sebulan. Bolehkah kandungan ini digugurkan?”.


Waalaikumussalam.


Tahniah atas kelahiran anak puan.


Dalam situasi ini, amat penting untuk memahami beberapa aspek daripada sudut perubatan, agama, dan emosi sebelum membuat sebarang keputusan berkenaan pengguguran kandungan.



Dari sudut perubatan, jika tarikh haid terakhir ialah pada 30 Mac, besar kemungkinan usia kehamilan kini sekitar 4 hingga 5 minggu.


Pada peringkat ini, janin baru sahaja melalui proses implantasi dan sedang membentuk kantung kehamilan (gestational sac).


Walaupun masih di peringkat awal, proses pembentukan awal struktur tubuh janin telah bermula.

 

Mungkin puan boleh puan pemeriksaan ultrasound transvaginal di klinik pakar obstetrik bagi mengesahkan kehamilan.


Pemeriksaan UPT hanya ujian saringan, bukan ujian pengesahan kehamilan puan.


Saya bukan pakar agama. Dari sudut agama (Islam) kehamilan sebelum usia kandungan mencapai 120 hari (4 bulan), pengguguran hanya dibenarkan jika terdapat keperluan darurat atau alasan syarie yang kukuh, seperti kehamilan yang membahayakan nyawa ibu.


Selepas 120 hari, janin dianggap telah ditiupkan roh, dan pengguguran adalah diharamkan, kecuali dalam kes-kes luar biasa yang mengancam nyawa.

 

Namun ada juga ulamak yang berpendapat bahawa janin ditiupkan roh pada usia kehamilan 40 hari. Jadi rujuk ustaz yang membimbing puan.


Kehamilan yang tidak dirancang, keletihan mahupun tekanan emosi bukanlah alasan syarie yang sah untuk menggugurkan kandungan.

 

Dari sudut emosi dan kesihatan ibu pula, selepas bersalin, tubuh ibu biasanya masih dalam fasa pemulihan.


Perubahan hormon, keletihan dan tekanan emosi boleh menimbulkan rasa tidak bersedia untuk kehamilan baru.


Namun, keputusan untuk menggugurkan kandungan boleh memberi kesan psikologi jangka panjang, termasuk rasa bersalah, penyesalan atau kemurungan.


Ramai wanita yang mengalami kehamilan yang rapat berjaya melaluinya dengan sokongan emosi, pasangan dan sistem sokongan keluarga yang baik.


Jadi nasihat saya :

1. Rujuk doktor pakar sakit puan untuk membuat pemeriksaan awal, termasuk imbasan ultrasound (scan), bagi memastikan kehamilan benar-benar berlaku dalam rahim dan bukan kehamilan ektopik.


2. Ambil masa untuk bertenang, solat dan berdoa. Keputusan besar seperti ini sebaiknya dibuat dalam keadaan tenang dan tidak tergesa-gesa.


3. Berbincanglah dengan pasangan dan keluarga terdekat. Sokongan moral dan emosi amat penting dalam situasi seperti ini.


4. Jika masih ragu-ragu, rujuklah kepada ustaz atau pakar agama yang diyakini bagi mendapatkan pandangan syarie yang tepat.


Semoga menjawab soalan yang ditanya.

 

#HealthDrZubaidi
#drzubaidimenjawab

 

Anda ada banyak soalan? Dapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi melalui Live Zoom, boleh daftar di link https://needsvenue.onpay.my/order/form/20mindrz

Leave a Reply

error: Content is protected !!