Menghisap ‘rokok elektrik’ adalah amalan sia-sia

 


Walaupun setelah sekian lama Kementerian Kesihatan Malaysia cuba mendidik rakyat Malaysia tentang bahaya merokok, namun kempen ini tidak memberikan kesan yang besar. Ramai perokok berusaha menghentikan tabiat merokok kerana harganya semakin mahal, bukan kerana bimbangkan kesihatan mereka terjejas akibat merokok.

Tidak hairanlah ramai di antara perokok tegar yang cuba menukarkan tabiat menghisap rokok menggunakan ‘rokok tanpa asap’. Jadi ketika menghisap rokok ini, perokok mempunyai dua niat. Sama ada mahu mengurangkan tabiat merokok atau hanya mahu mengurangkan kos merokok, tetapi masih mahu meneruskan amalan merokok.

Idea untuk mencipta ‘rokok elektrik’ (e-rokok) bermula pada tahun 1963 oleh Herbert A. Gilbert. Namun kerana kekangan teknologi ketika itu, ideanya tidak dapat dijadikan kenyataan. Pada tahun 2003 seorang ahli farmasi di China, Hon Lik telah memperkenalkan idea ini semula dan berjaya menjualnya di pasaran pada tahun 2005.

(rujuk:  “A high-tech approach to getting a nicotine fix”. 25 April 2009, Los Angeles Times)

Rokok ini mempunyai bateri kecil bertujuan untuk memanaskan cairan di dalamnya dan mengeluapkan wap (bukan asap). Cecair yang digunakan untuk mengeluarkan wap ialah ‘propylene glycol’ dan ‘glycerin’ yang biasa digunakan dalam nebulizer atau inhaler bagi pesakit asthma.

Propylene glycol dan glycerine inilah yang akan menyebabkan nicotine dalam rokok elektrik itu akan meruap ke udara dan disedut semula oleh perokok.

U.S. Food and Drug Administration (USFDA), satu badan yang memantau keselamatan ubat-ubatan di Amerika Syarikat mengesahkan ‘propylene glycol’ dan glycerine adalah selamat. Namun bahaya e-rokok sebenarnya terletak pada bahan nikotin yang ada dalam rokok  itu.

Jumlah nicotine yang dalam e-rokok ini berbeza bergantung kenyataan tertulis dalam labelnya. Ia boleh mengandungi antara 6–8 mg dalam setiap 1 ml cecair (mg/ml), yang dilabelkan berkepekatan rendah. Ada juga yang mengandungi 16–18 mg/ml (berkepekatan tinggi) atau 24-36mg/ml (berkepekatan ekstra tinggi).

Namun harus diketahui bahawa jika semua 60 mg nikotin diserap dalam darah, ia berpotensi untuk membunuh seorang dewasa yang tidak merokok. Jumlah ini bersamaan dengan 30-40 batang rokok konvensional.

Bagi perokok tegar, oleh kerana tubuh mereka telah biasa dengan nikotin, keracunan nikotin boleh berlaku apabila kepekatan nicotine dalam darah mencapai 120 mg.

(rujuk: Lockhart LP (1933). “Nicotine poisoning“. Br Med J 1 (3762): 246–7).

Untuk mengetahui sama ada e-rokok ini berbahaya pada kesihatan, saintis dari Bahagian Penilaian Farmaseutikal USFDA  telah menguji 19 jenis e-rokok yang telah dikeluarkan oleh dua pengeluar (NJoy dan Smoking Everywhere).

Mereka mendapati terdapat bahan ‘tobacco-specific nitrosamines’ (TSNAs), yang boleh menyebabkan kanser dalam kedua-dua jenama e-rokok itu. Malah kepekatan nikotin yang terdapat dalam e-rokok tidak sama dengan nilai yang ditulis pada label. Terdapat sedikit nicotine dalam e-rokok yang dikatakan “nicotine-free”.

(rujuk: Zezima, Katie (23 July 2009). “Analysis Finds Toxic Substances in Electronic Cigarettes”. The New York Times.)

Ini bermakna, kebanyakan pengeluar e-rokok tidak jujur ketika mengeluarkan produk mereka. Apatah lagi belum ada undang-undang dan akta untuk memaksa pengeluar mematuhi panduan yang ditetapkan oleh WHO dan US FDA.  Maka pada July 2009, US FDA telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka ‘tidak menggalakkan penggunaan e-rokok’.

(rujuk: FDA (22 July 2009). “FDA and Public Health Experts Warn About Electronic Cigarettes“)

Pada March 2009, Jabatan Kesihatan Kanada juga mengeluarkan kenyataan tidak menggalakkan penggunaan e-rokok. Dalam kenyataannya “Walaupun e-rokok ini dijual sebagai alternative yang selamat berbanding dengan rokok biasa, malah disebut sebagai membantu menghentikan tabiat merokok, namun e-rokok ini boleh menyebabkan keracunan nikotine dan ketagihan”

(rujuk; Health Canada (27 March 2009). “Health Canada Advises Canadians Not to Use Electronic Cigarettes“. Health Canada advisory)

Pada September 2008, World Health Organization (WHO) pula memberikan kenyataan bahawa “ tiada kajian yang sahih menunjukkan e-rokok ini selamat dan berkesan sebagai rawatan penggantian nicotine. Oleh itu, pihak pengeluar haruslah melakukan kajian yang mendalam untuk menyokong dakwaan mereka bahawa e-rokok boleh digunakan untuk mengurangkan tabiat merokok”

Kenyataan ini boleh dilihat di laman web WHO sendiri di:

http://www.who.int/mediacentre/news/releases/2008/pr34/en/index.html

Oleh itu, saya sebagai doktor muslim amat meragui keberkesanan e-rokok ini untuk dijadikan rawatan bagi mengurangkan ketagihan merokok. Malah banyak kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa e-rokok mempunyai nicotine, suatu bahan yang bahaya jika diambil berlebihan.

Jadi apakah tujuan penjualan e-rokok ini di pasaran? Di Singapura, penjualan dan pembelian e-rokok walaupun untuk kegunaan persendirian adalah diharamkan (illegal). Kementerian Kesihatan Singapura bimbang, e-rokok bukannya membantu perokok tegar mengurangkan tabiatnya, tetapi menarik perokok baru di kalangan remaja dan wanita.

(rujuk: Janice Heng (20 July 2010). “Ban on new tobacco products”. The Straits Times).

Berhati-hatilah dengan e-rokok ini. Baru-baru ini dilaporkan seorang lelaki di Florida USA cedera parah apabila bateri yang ada dalam e-rokok meletup ketika beliau menghisapnya. Letupan itu telah menyebabkan gigi beliau di bahagian hadapan tercabut, luka teruk di hujung lidah dan mukanya cedera teruk.

(rujuk: Conley, Mikaela (15 February 2012). “Man Suffers Severe Injuries After E-Cigarette Explodes in His Mouth“. ABC News. Retrieved 16 February 2012.)

Dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan hukum merokok dari pandangan Islam dan telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan dan ia adalah amalan yang membazir,   berdasarkan firman Allah swt dalam yang bermaksud: “Dan ia (Allah) menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”. (Surah al-A’raf: 157)

Walaupun fatwa ini membincangkan isu ‘rokok konvensional’ yang mengeluarkan asap, namun sifat e-rokok yang mengandungi nikotine, dan membazir (kerana membeli cairan dalam e-rokok) adalah boleh digunakan sebagai asas kepada pengharaman e-rokok ini.

Malah kajian saintifik yang dilakukan oleh WHO, jelas menolak alasan ‘menggunakan e-rokok boleh digunakan sebagai rawatan untuk menghentikan amalan merokok’. Ia tidak berkesan dan merupakan usaha yang sia-sia.

Jika seseorang menggunakan e-rokok untuk meneruskan amalan merokok, ia boleh merosakkan tubuh dan satu perbuatan membazir yang dijelaskan dalam fatwa itu.

Wallahu a’lam.

PENJELASAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA BERKENAAN E-CIGARETTE DAN CECAIR NIKOTIN E-CIGARETTE

by KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (Nota) on pada 25hb Januari 2013 pukul 7.03 ptg

1. Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan berkaitan e-cigarette, adalah didapati ramai yang masih dan terus menggunakan e-cigarette, apakah tindakan susulan pihak Kementerian?

Jawapan :  Kementerian Kesihatan akan mengawal pengedaran dan penjualan e-cigarette khasnya cecair nikotin e-cigarette dengan menggunakan peruntukan-peruntukan di bawah Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984.

 

Nikotin adalah merupakan bahan racun yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan hanya dikecualikan untuk rokok atau produk tembakau. Penjualan produk nikotin hanya boleh dibuat melalui ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar. Mana-mana orang selain daripada mereka yang disebut di atas yang menjual cecair nikotin e-cigarette adalah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta yang sama.

 

Pada masa yang sama, pengedaran dan pembekalan cecair nikotin e-cigarette memerlukan pendaftaran dan kelulusan daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Mana-mana orang yang mengedar atau membekalkan cecair nikotin e-cigarette tanpa kelulusan adalah melakukan satu kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM 25,000.00 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Peraturan yang sama.

 

 

 

2. Sehingga kini, adakah sebarang penguatkuasaan diadakan pihak Kementerian terhadap pengedar cecair nikotin dan e-cigarette?

 

Jawapan :  Setakat ini Kementerian Kesihatan BELUM ADA menjalankan tindakan penguatkuasaan secara besar-besaran terhadap pengedar dan penjual cecair nikotin dan e-cigarette. Walaubagaimana pun, selaras dengan kenyataan akhbar Menteri Kesihatan mengenai bahaya penggunaan e-cigarette dan cecair nikotin e-cigarette serta keperluan di bawah Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984, orang ramai adalah dinasihatkan agar tidak menjual e-cigarette khasnya cecair nikotin e-cigarette serta mendapatkan kelulusan daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penjualan e-cigarette.

 

3. Sehingga kini, adakah sebarang penyakit kronik disebabkan penggunaan e-cigarette dilaporkan di Malaysia?

 

Jawapan :  Setakat ini, Kementerian Kesihatan belum ada menerima laporan penyakit yang disebabkan oleh penggunaan e-cigarette di Malaysia. Walau bagaimana pun, oleh kerana keselamatan penggunaan e-cigarette belum lagi disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan cecair e-cigarette yang didapati mengandungi nikotin, adalah dijangkakan pengguna e-cigarette juga mengalami risiko-risiko kesihatan sama seperti perokok kerana nikotin boleh menyebabkan penyakit jantung dan penyakit  saluran darah selain daripada keracunan akut sekiranya melebihi dos nikotin. Kajian juga menunjukkan nikotin boleh menggalakkan pertumbuhan sel-sel kanser dan wanita mengandung yang menggunakan nikotin mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk melahirkan bayi yang mengalami kecacatan kelahiran berbanding dengan wanita yang bukan perokok.

 

 

4. Dari manakah pengedar cecair nikotin ini mendapatkan bekalan walaupun bahan itu merupakan bahan kawalan?

 

Jawapan :  Pengimport dan pengedar e-cigarette tidak mengisytiharkan cecair nikotin e-cigarette sebagai produk nikotin atau mengisytiharkannya sebagai barangan elektronik atau bercampur aduk dengan barangan lain dan tidak mengisytiharkannya semasa membawa masuk e-cigarette dan cecair e-cigarette ke Malaysia.

 

5. e-Cigarette dilihat sebagai alternatif terbaik di kalangan pengguna untuk membuang tabiat merokok berbanding niko patch dan gula-gula nikotin yang disyorkan Kerajaan, apakah komen dari pihak Kementerian?

 

Jawapan :  Kementerian Kesihatan Malaysia merujuk kepada nasihat teknikal daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai produk e-cigarette (WHO Technical Report Series, no. 955  dihttp://www.who.int/tobacco/publications/prod_regulation/trs_955/en/) yang menunjukkan bahawa kegunaan dan keberkesanan e-cigarette sebagai alat bantuan berhenti merokok masih belum disahkan, manakala keselamatan cecair nikotin e-cigarette adalah meragukan. Selain daripada tahap kepekatan cecair nikotin yang tidak mengikut tahap yang dilabelkan, ada juga cecair e-cigarette yang dilabelkan sebagai kosong (0 mg) nikotin telah didapati mengandungi nikotin, kajian US Food And Drug Administration (USFDA)pada tahun 2009 telah menunjukkan cecair e-cigarette turut dikesan mengandungi bahan-bahan kimia merbahaya seperti diethylene glycol yang beracun dan nitrosamine yang boleh menyebabkan kanser. Pengambilan nikotin yang berlebihan boleh menyebabkan keracunan akut manakala WHO juga memberi amaran bahawa kemasukkan nikotin terus ke dalam paru-paru berkemungkinan boleh menyebabkan kesan keracunan dan ketagihan yang lebih memudaratkan.

 

Berpandukan nasihat teknikal daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan penemuan hasil kajian yang menunjukkan bahaya cecair nikotin e-cigarette, setakat ini, Kementerian Kesihatan tidak memperakui e-cigarette sebagai alat bantuan berhenti rokok dan tidak menggalakkan orang ramai menggunakan e-cigarette.

 

6. Apakah yang patut dibuat oleh pengedar e-cigeratte untuk produk mereka berdaftar di Malaysia. Berapakah produk yang telah didaftarkan?

 

Jawapan :  Pengedar e-cigarette perlu memohon kepada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia untuk pendaftaran dan kelulusan produk e-cigarette mereka dan memenuhi semua prosedur untuk pengesahan keselamatan produk tersebut sama seperti pendaftaran untuk bahan racun dan ubatan.

 

Setakat ini TIADA e-cigarette yang telah mendapat pendaftaran dan

kelulusan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan kerana keselamatan produk tersebut tidak dapat dijamin.

 

 

7. Untuk cecair nikotin, berapakah tindakan yang telah diambil?

 

Jawapan :  Setakat ini Kementerian Kesihatan BELUM mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap e-cigarette dan cecair nikotin e-cigarette. Kementerian Kesihatan sedang memantau keselamatan produk e-cigarette dan penggunaannya serta mengkaji undang-undang yang berkaitan dan tindakan yang bakal diambil oleh Kementerian Kesihatan terhadap e-cigarette. Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan produk e-cigarette dijual oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar sekiranya produk e-cigarette tersebut telah memenuhi semua keperluan pengesahan keselamatan penggunaannya serta didaftarkan dengan Biro Pengawalan Farmasi Kebangsaan.

 

8.  Apakah nasihat Kementerian Kesihatan kepada orang ramai mengenai e-cigarette?

Jawapan :  Kementerian Kesihatan mengambil berat terhadap kesihatan semua Warganegara termasuk para perokok. Kementerian kesihatan ingin memastikan produk e-cigarette yang dijual di pasaran adalah selamat untuk digunakan. Sehubungan itu, mana-mana orang yang ingin membekal, mengedar atau menjual e-cigarette perlu memohon kepada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendapatkan pendaftaran dan kelulusan produk e-cigarette mereka sebelum terlibat dengan aktiviti pengedaran atau penjualan e-cigarette. Kementerian Kesihatan Malaysia juga menasihati orang ramai agar tidak menggunakan produk e-cigarette kerana keselamatan e-cigarette belum disahkan.

 

 

 

 

Unit Kawalan Tembakau & Urusetia FCTC Malaysia

Bahagian Kawalan Penyakit

Kementerian Kesihatan Malaysia


8 comments

  1. Saya mtk izin mohon share

  2. sy sokong apayg doktor kata,bg sy niat sj nk berhenti ataupun cuba tanam perasaaan benci kepada rokok,kan mudah….x payah la pakai roko karen nih..buang duit beli cecair mcm beli roko jugak..bahaya atau tidak sy x pasti tentang e rokok nih,tp mengapa kita perlu sedup wap?bukankah wap itu akan bertukar menjadi air melalui peparu kita?adkah risiko paru2 berair bakal berlaku????

  3. Salam doktor. Dahulunya saya seorang perokok tegar. Antara kesannya ialah mulut saya dijangkiti ulser lebih kurang 4 tahun lamanya. Di samping itu juga tangan kanan saya mudah terasa kebas terutama ketika waktu pagi dan ketika saya memegang sesuatu. Tetapi setelah seminggu saya beralih kepada e-rokok, ulser di mulut saya telah sembuh sepenuhnya dan tangan kanan saya tiada rasa kebas yang teruk seperti dahulu. Boleh doktor terangkan kenapa kesan penyembuhan ini boleh terjadi setelah saya menghisap e-rokok?

  4. setahu saya rokok konvesional ada lebih 40,000 bhn kimia,e rokok cuma guna 5 bahan untuk menjadikan liquid yg dihisap. dan 2 bahan utama iaitu PG [(Propylene Glycol)Chemical FormulaC3H8O2] dan VG [(Vegetable Glycerine)Chemical Formula C3H8O3] adalah mengikut Gred United States Pharmacopeia (USP)satu badan untuk menentukan standard bahan makanan,dan bahan lain adalah food flavouring, air, dan Organic Nicotine Solution(Chemical formula C10H14N2)12mg/ml(1.2% Nicotine by volume).so kat mana bahayanya liquid untuk e rokok nie.Rokok Konvesional 1.5mg nicotine/batang, jadi satu kotak = 1.5mg x 20btg = 30mg.satu kotak hisap 1 hari. e liquid 1.2mg/ml. so 1 botol = 1.2mg x 10ml = 12mg. satu botol boleh tahan 6 ke 10 hari, so maha satu pengambilan nicotone yg lebih tinggi. nie belum kire bahan kimia lain yg terdapat dlm rokok konvesional.

    so mana satu lagi bahaya……………………….

    sekarang GOV dah kuatkuasa tax 30% keatas peranti e rokok, syarikat rokok dah mula deal nak beli syarukat yg buat e liquid

    YG SEBETULNYA BAHAYA PADA GOV N SYARIKAT ROKOK SEBAB TAK DAPAT TAX N JUALAN ROKOK KONVESIONAL JATUH MERUDUM.

    SO ADMIN TELL ME WHICH ONE IS MORE DANGEROUS, E ROKOK ATAU ROKOK KONVESIONAL

Leave a Reply to mohd helmiCancel reply

error: Content is protected !!