Hidup bersederhana tapi ada banyak wang

 

money1

 

Dengan kenaikan harga petrol dan barang makanan yang melonjak, ramai pekerja dalam golongan pertengahan merasa sangat tertekan. Ini kerana peningkatan harga menyebabkan nilai wang yang mereka ada semakin mengecil.

 

 

Kalau dulu jika pergi pasaraya Giant, wang sebanyak RM100 boleh penuh troli yang ditolak dengan barang-barang keperluan yang dibeli. Sekarang tidak lagi. Dengan RM100 setengah troli pun tidak dapat dipenuhkan.

 

 

Peningkatan harga barang yang mendadak, serta gaji yang tidak pernah dinaikkan setara dengan peningkatan harga barang dan komitmen kepada keluarga semakin bertambah, menyebabkan perbelanjaan kebanyakan kita melebihi pendapatan yang sedia ada.

 

 

Di akhir bulan tidak tidak mempunyai lebihan untuk disimpan, malah itu sudah dikira bernasib baik kerana ramai di antara kita yang semakin banyak berhutang di hujung bulan.

 

 

Jadi tidak hairanlah ramai pekerja yang sanggup melakukan kerja lebih masa setiap hari atau melakukan dua pekerjaan dalam satu masa. Siang bekerja sebagai kerani sementara malam pula menjadi penjual di pasar malam.

 

 

Apa pilihan kita?

 

 

Saya mencadangkan agar kita hidup dengan lebih sederhana. Kita kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu.

 

 

 

Sebagai contoh, dengan menghentikan amalan menghisap rokok, kita mampu mengurangkan perbelanjaan sehingga RM300 sebulan.

 

 

Dengan membawa bekal dari rumah untuk bersarapan, mungkin kita dapat menjimatkan wang kita antara RM100-150.

 

 

Bentuk pemikiran yang betul

 

Sifu saya kaunseling saya, Profesor Syed Mohd Syafiq di UTM selalu berkata bahawa punca manusia stress ialah apabila mereka mempunyai pemikiran yang salah. Pemikiran yang salah inilah yang mahu kita betulkan agar stress yang kita hadapi boleh dihindarkan.

 

 

Sebagai contoh, kita selalu mempunyai pemikiran bahawa jika seorang itu menggunakan kereta yang mewah, dia akan merasa bahagia, pada hal dia terpaksa memperuntukkan sebanyak satu perlima dari gaji yang ada untuk membayar bulanan kereta.

 

 

Saya tidak berkata tidak perlu menggunakan kereta yang besar, baik dan berkualiti. Pakailah jika mampu. Tetapi golongan yang terpaksa membelanjakan 50% dari gaji mereka untuk kereta, ia bukanlah langkah yang bijak mempunyai kereta yang begitu. Apatah lagi jika terpaksa melakukan kerja lebih masa untuk menampung semua perbelanjaan itu.

 

 

Jadi bagaimana?

 

 

Menukar gaya hidup yang lebih bersederhana bukanlah suatu perkara yang mudah kerana kita sudah biasa dengan gaya yang biasa kita lakukan. Ada kalanya dengan menukar gaya hidup yang lebih sederhana seolah-olah menunjukkan kepada masyarakat bahawa kita semakin gagal.

 

 

Sebenarnya orang lain tidak mengatakan kita gagal, tetapi kita yang menganggap kita gagal. Perkataan gagal itu yang bermain dalam pemikiran kita menyebabkan kita tidak berani untuk berubah. Kita yang menganggap dengan menukar gaya hidup yang sederhana, kita telah gagal, pada hal ia kegagalan tidak ada kaitan dengan gaya hidup yang sederhana.

 

Tentu kita pernah dengar peribahasa “ular menyusur akar tidak hilang biasanya” bermakna orang yang hebat walaupun berada di bawah, tidak akan mengurangkan kehebatannya.

 

 

Jadi percayalah dengan menukar gaya hidup yang lebih bersederhana tidak akan mengurangkan kehebatan kita. Kita tetap hebat, bukan kerana penampilan kita tetapi sebab ilmu dan kemahiran yang kita ada dan akhlak yang baik ketika bergaul dengan orang ramai.

 

 

Kita perlu ubah pemikiran kita agar focus kepada apa yang kita ada, dari focus kepada apa yang kita tidak ada. Cuba gunakan sepenuhnya barang yang kita ada, dari cuba mendapatkan barang yang kita tidak ada. Akhir sekali, kita menghubungkan diri dengan orang di sekeliling kita dengan akhlak yang baik, daripada kita cuba ‘menunjuk-nunjuk’ harta dan kepunyaan yang dipinjamkan sementara kepada kita.

 

 

Kereta besar dan rumah bangle kita semuanya kepunyaan bank. Jadi apa yang perlu dibanggakan. Jika tak mampu membayar sewanya stiap bulan, pihak bank akan menarik semula harta itu.

 

Selalu kita ingatkan diri kita bahawa dengan menjalani gaya hidup yang sederhana, kita akan menjadi lebih tenang dan tidak dilanda stress.

 

 

Walaupun di luar kita kelihatan miskin, tetapi kita sebenarnya kaya kerana mempunyai lebihan wang pada setiap bulan.

 

 

Saya ada pengalaman tentang hal ini. Dulu saya selalu menggunakan kereta Hyundai Santa Fe 2.4 cc, pergi ke tempat kerja dan berjumpa kawan-kawan bagi menunjukkan bahawa saya doctor yang berjaya.

 

 

Dulu sebelum kenaikan minyak saya memperuntukkan RM500 untuk petrol, tetapi sekarang peruntukan untuk petrol telah menjadi dua kali ganda, RM1000. Nasib baik bayaran bulanan sewa beli telah dilangsaikan, dan saya perlu menghidupkan cukai jalan dan insuran saja.

 

 

Saya mempunyai sebuah kereta lagi, Perodua VIVA kepunyai isteri saya. Jadi saya mengambil keputusan untuk menggunakannya, kerana saya hanya membelanjakan RM200 sebulan untuk petrol.

 

 

Ketika saya mula memakai kereta ini ke tempat kerja, ramai rakan-rakan seperti tidak percaya dengan apa yang mereka lihat dan saya sendiri rasa ‘rendah diri’ apabila berjumpa dengan mereka.

 

 

Mulanya saya mempakir kereta jauh, agar rakan-rakan tidak melihat kereta apa yang saya gunakan. Namun sekarang saya tidak lagi melayan ‘rasa rendah diri’ saya. Apa yang sama mahu ialah penjimatan petrol.

 

 

Yang lebih penting, di akhir bulan saya mempunyai aliran tunai di tangan yang lebih banyak dan dapat membayar hutang-hutang lain yang lebih mendesak seperti bayaran sewa rumah, bil rawatan anak dan ibubapa. Saya juga mempunyai tunai di tangan yang lebih banyak untuk digunakan ketika kecemasan.

 

 

Saya rasa saya ‘lebih kaya’ dan ‘lebih banyak duit’.

Ah.. pedulilah kata kawan-kawan dan saudara mara asalkan saya tidak meminta wang dari mereka.

 

money

 

Banyak memberi

 

Percaya atau tidak apabila jika kita tidak memberi, kita akan merasa   selalu dalam kekurangan. Sementara orang yang selalu memberi pula akan berasa bahawa dia merasa bernasib baik dan beruntung.

 

 

 

Oleh itu kesyukuran hanya dapat dijana dengan amalan memberi.  Kesyukuran pula menjana kemurahan rezeki.

 

 

Ramai di antara kita yang gemar menyimpan barang-barang yang tidak digunakan di stor, dengan alas an ia akan digunakan kelak, pada hal kita telah mula menyimpan barang itu 10 tahun yang lepas,  sehinggakan barang itu sudah kelihatan buruk dan lusuh.

 

 

Dengan memberikan barang-barang yang terpakai tetapi masih baik kepada orang yang lebih memerlukan, kita akan rasa lebih seronok dan merasa lebih lapang.

 

 

Berjimat dengan menggunakan barang yang sedia ada

 

Banyak cara untuk kita mendapatkan sesuatu tanpa membelanjakan banyak barang, malah mungkin percuma.

 

 

Kita tidak pernah tahu bahawa banyak kemudahan yang ada telah disediakan di sekeliling kita.

 

 

Sebagai contoh perlu apa kita keluar duit ribuan ringgit apabila perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan sudah semakin bertambah baik.

 

 

Baru-baru ini ada seorang wanita berjumpa saya kerana telah lama mengalami sakit perut. Saya mencadangkan pemeriksaan ultrasound.

 

 

Oleh kerana pemeriksaan ultrasound agak sukar diperolehi di hospital kerajaan dalam waktu yang terdekat, saya mencadangkan agar melakukan pemeriksaan di hospital swasta dengan bayaran RM200.

 

 

Setelah melakukan pemeriksaan, saya merujukkan ke hospital kerajaan kerana pemeriksaan ultrasound menunjukkan beliau mengalami batu di hempedu.

 

Hospital swasta memerlukan RM15K untuk pembedahan, sementara dengan menggunakan cara yang saya tunjukkan tadi, wanita itu hanya membayar tidak sampai RM2K termasuk perbelanjaan ultrasound tadi.

 

 

Jadi kita perlu mencari jalan menggunakan sumber yang ada bagi tujuan menjimatkan wang dan menggunakan kemudahan yang ada.

 

 

Wallahu a’lam.

 

 

Leave a Reply

error: Content is protected !!