BATU GINJAL BOLEH KELUAR SENDIRI?

BATU GINJAL BOLEH KELUAR SENDIRI?

Batu ginjal selalunya terbentuk di dalam ginjal apabila mineral yang dihasilkan tidak dikeluarkan bersama air kencing. Mineral ini mendap dan akhirnya membentuk batu.

Ia selalunya terjadi disebabkan seorang individu itu tidak minum air secukupnya. Jadi langkah utama mencegahnya adalah minum air secukupnya.

Ramai yang bertanya, bolehkah batu ginjal keluar dengan sendiri?

Selalunya saya akan minta laporan pemeriksaan yang telah dilakukan. Ini kerana batu ginjal akan keluar atas beberapa faktor.

i. SAIZ

Saiz batu adalah faktor penting bagi menentukan sama ada ia boleh keluar sendiri atau tidak. Secara cara amnya:

Batu yang bersaiz kurang 4 mm, akan keluar dalam masa 30 hari. Saiz 4-6 mm pula, selalunya ambil masa lebih lama selama 6 minggu. Sebahagiannya  tidak berjaya dikeluarkan.

Jika saiz lebih dari 6 mm biasanya memerlukan rawatan di hospital. Hanya sebahagian kecil (kira-kira 20 peratus) yang dianggarkan boleh keluar dengan sendiri mungkin selepas setahun.

Jika dibiarkan lama, pesakit menanggung penderitaan rasa sakit di pinggang, sehingga ke pangkal peha. Juga bimbang ada jangkitan kuman atau kegagalan fungsi ginjal jika tidak mendapat rawatan segera.

ii. LOKASI

Batu ginjal boleh berada di dalam ginjal, dalam saluran ureter atau dalam pundi kencing.

Secara amnya batu yang berada di pundi kencing lebih mudah dikeluarkan, berbanding yang berada dalam saluran ureter atau dalam ginjal.

Berapa lama mahu menunggu batu ginjal untuk keluar sendiri? Secara amnya lebih cepat dikeluarkan adalah lebih bagus. Persatuan Urologi Amerika, mencadangkan jika batu ginjal tidak keluar dengan sendiri dalam masa 2 bulan, atau ada komplikasi seperti jangkitan kuman, batu ginjal ini harus dikeluarkan segera.

Pengeluaran batu ginjal dapat dibantu dengan pengambilan air kosong yang mencukupi kira-kira 2.5L untuk ‘mengepam’ keluar batu bersama air kencing.

Sesetengah batu boleh ‘dipecahkan’ dengan mencampurkan sedikit cuka teen atau cuka epal ke dalam air yang diminum. Jangan berlebihan.

Berbincanglah dengan doktor yang merawat jika rasa mahu menangguhkan dulu rawatan hospital.

Semoga bermanfaat.

#HealthDrZubaidi

Ikuti perkongsian  pengalaman dan pengetahuan sepanjang lebih 25 tahun menjadi doktor Pengamal Perubatan Am di Telegram berkaitan kesihatan, pemakanan dan ubat-ubatan.

https://t.me/PerkongsianDrZubaidiHjAhmad

Leave a Reply

error: Content is protected !!