APAKAH PUNCA-PUNCA YANG MENYEBABKAN SAKIT TEKAK?

Sakit tekak merupakan simptom yang biasa dalam kalangan populasi kita. Ia mempunyai pelbagai penyebab yang boleh menyebabkan sakit tekak. Sakit tekak boleh merangkumi perasaan kesakitan, kekeringan ataupun kegatalan pada tekak anda.

Sakit tekak adalah simptom yang membabitkan kawasan sekitar tonsil dan farinks. Ia dikenali sebagai pharyngitis, melibatkan bahagian farinks dan menjejaskan kawasan di belakang mulut. Sakit tekak berlaku apabila radang terjadi membabitkan membran mukus yang melapisi farinks atau tonsil. Ia mengakibatkan rasa tidak selesa, sakit atau gatal pada tekak dan kadangkala, terasa sakit sewaktu menelan.

PUNCA-PUNCA

1. Jangkitan virus

Jangkitan virus merupakan jangkitan biasa dalam populasi kita. Contoh virus yang boleh menyebabkan sakit tekak termasuk virus selsema, croup dan mononucleosis. Ia sering menjadi punca sakit tekak ketika menelan.

2. Jangkitan bakteria

Jangkitan bakteria menyebabkan simptom yang lebih serius dan sakit. Strep throat ataupun sakit tekak akibat jangkitan Streptococcus boleh menyebabkan sakit tekak yang serius dan kesusahan menelan. Jika bakteria ialah penyebab sakit tekak, anda memerlukan antibiotik. Jangkitan bakteria tekak boleh menyebabkan komplikasi kepada jantung ataupun masalah buah pinggang jika tidak dirawat.

3. Alahan

Alahan merupakan respon tubuh badan yang sensitif terhadap alergen. Alergen boleh termasuk debu, debunga ataupun titisan hingus yang mengalir ke arah tekak daripada hidung anda.

4. Refluks asid

Sakit tekak akibat refluks asid kebanyakkanya berlaku pada waktu pagi. Asid perut boleh mengalir ke tekak anda pada waktu malam semasa anda sedang tidur.

5. Kerengsaan daripada udara yang kering, bahan kimia ataupun asap rokok

Kerengsaan akan bertambah apabila anda bernafas melalui mulut anda.

6. Laryngitis akibat penggunaan suara yang berlebihan

Sesetengah pekerjaan menggunakan suara yang berlebihan terutamanya penyanyi professional ataupun cikgu yang mengajar. Selain sakit tekak, anda juga boleh mempunyai bunyi serak dan sakit semasa bercakap.

7. Post-intubation

Selepas surgeri, pesakit yang diintubasi akan mempunyai sakit tekak kerana tiub yang dimasukkan ke dalam tekak anda.

8. Kanser

Pertumbuhan ataupun tumor boleh menyebabkan sakit tekak. Ia boleh menjadi satu punca sakit tekak yang berlarutan.

GEJALA SAKIT TEKAK


Sakit tekak merupakan satu simptom. Sakit tekak boleh merangkumi kesakitan, kegatalan, kekeringan dan kerengsaan tekak anda. Kebanyakkan sakit tekak boleh mempunyai simptom-simptom yang lain.

Contoh-contoh gejala yang boleh berlaku bersama sakit tekak termasuk :

  • Hidung tersumbat
  • Hidung berair
  • Bersin
  • Batuk
  • Demam
  • Menggigil
  • Noda limfa yang bengkak
  • Suara yang serak
  • Sakit kepala
  • Sakit tekak ketika menelan
  • Kekurangan selera makan

KOMPLIKASI SAKIT TEKAK


Beberapa komplikasi boleh disebabkan oleh sakit tekak sendiri, ataupun komplikasi daripada penyebab sakit tekak. Kebanyakkan komplikasi disebabkan oleh penyebab sakit tekak, contohnya alahan ataupun jangkitan tertentu seperti haemophilus influenza dan streptococcus pneumoniae.

1. Komplikasi strep throat (jangkitan streptococcus pneumoniae) :

a) Dehidrasi sekiranya tidak minum air yang mencukupi
b) Kekurangan nutrisi akibat sakit semasa menelan makanan
c) Demam reumatik
d) Masalah buah pinggang
e) Kesesakan bernafas

2. Alahan

a) Risiko yang lebih tinggi mendapat asma

b) Masalah ENT seperti sinusitis, jangkitan telinga ataupun jangkitan paru-paru

3. Jangkitan haemophilus influenza (epiglottitis) :

a) Kesesakan bernafas akan sekatan saluran pernafasan

RAWATAN


Sekiranya anda mempunyai sakit tekak yang tidak diketahui asal-usulnya, maka anda perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan yang selanjutnya. Doktor akan bertanya soalan tentang jangka masa sakit tekak, simptom-simptom yang berkenaan dan rawatan yang pernah diambil. Selepas itu, doktor membuat pemeriksaan pada tekak anda dengan visualisasi tekak anda. Kebanyakan masa doktor akan nampak tekak yang kemerah-merahan kerana radang tekak. Sesetengah masa doktor akan mendapat sampel dari tekak anda untuk membuat kultur bagi menentukan jenis kuman jangkitan. Hal sedemikian penting untuk menentukan keperluan antibiotik dalam rawatan anda.

Secara amnya, antibiotik akan diberikan sekiranya anda mempunyai jangkitan bakteria pada tekak anda. Jikalau anda memerlukan ujian yang selanjutnya, bantuan dari doktor pakar ENT (ear, nose and throat) adalah diperlukan. Jangkitan virus pada tekak anda akan sembuh sendiri dalam masa 2-7 hari. Doktor akan memberikan nasihat supaya berehat di rumah sepenuhnya supaya sistem imun dapat melawan jangkitan.

Petua-petua rawatan sakit tekak di rumah

  1. Kumur air garam. Air Garam boleh digunakan untuk mengurangkan kerengsaan dibahagian tekak seterusnya mengurangkan rasa sakit tekak. Anda boleh menggunakan satu sudu garam dimasukkan ke dalam satu gelas air kosong. Kemudian kumur air tersebut dibahagian tekak
  2. Penyediaan minuman suam seperti teh dengan madu ataupun air lemon. Ia membantu melegakan sakit tekak anda.
  3. Menghisap lozenges yang membantu mengurangkan kesakitan.
  4. Rehatkan tekak anda dengan mengurangkan percakapan.
  5. Jikalau anda mempunyai pelembap udara, ia dapat membantu mengurangkan sakit tekak dengan pembekalan udara yang lembap.
  6. Makanan untuk sakit tekak adalah makanan yang lembut dan senang ditelan. Contohnya bubur, oat ataupun sup.
  7. Mengelakkan dari makanan yang menyebabkan batuk termasuk makanan pedas, kering dan keras. Contohnya kari ataupun biskut kering.

PENCEGAHAN

Pencegahan sakit tekak melibatkan gaya hidup dan pengurangan pendedahan kepada jangkitan. Asingkan diri anda daripada orang yang sakit, terutamanya selsema. Jika masih perlu untuk berurusan dengan orang tersebut, sila lindungi diri anda dengan menggunakan topeng muka. Amalkan pemakanan yang sihat dan selalu cuci tangan anda. Kurangkan juga penyentuhan tangan ke mata ataupun muka anda. Selain itu juga, dapatkan rehat dan minum air yang mencukupi.

#HealthDrZubaidi

Leave a Reply

error: Content is protected !!