“Salam doktor. Adakah wanita lebih kuat berpeluh dari lelaki?”Mohon pencerahan, terima kasih”.
WA ALAIKUM MUS SALAM
Manusia mempunyai dua jenis kelenjar peluh iaitu kelenjar peluh eccrine dan kelenjar peluh apocrine.
Kelenjar peluh eccrine berada pada seluruh kulit kita terutamanya pada telapak tangan dan telapak kaki. Peluh dari kelenjar ini mengandungi air (sebahagian besar) , mineral sodium dan mineral kalium, dan biasanya bertujuan untuk menyejukkan tubuh.
Sementara kelenjar peluh apocrine pula berada bahagian tertentu yang mempunyai banyak folikel rambut seperti pada ketiak, ari-ari dan kulit kepala. Peluh ini dihasilkan apabila kita rasa tertekan secara emosi. Peluh yang keluar mengandungi asid lemak dan protein. Jadi ia lebih pekat dari peluh biasa dan lebih mudah memerngkap kuman bakteria.
Secara keseluruhannya, kulit tubuh manusia mempunyai kira-kira 2.6 juta kelenjar peluh. Mereka berfungsi mengawal suhu pada tubuh badan kita dan bertindak dibawah pengaruh saraf yang tidak dikawal oleh otak.
Tubuh akan mengeluarkan peluh dan cuba mengekalkan suhu tubuh pada 98.6 darjah F (37 darjah C) apabila suhu persekitaran dan suhu mula meningkat kepada 86 darjah F (30 darjah C). Proses mengawal suhu badan yang secara semula jadi, ini dipanggil termoregulasi.
Antara lelaki dan wanita siapakah yang mengeluarkan banyak peluh?
Kajian yang dijalankan oleh satu badan sukan di Amerika Syarikat, National Strength and Conditioning Association, yang diterbitkan dalam Journal of Strength & Conditioning Research mengatakan bahawa kadar peluh yang dikeluarkan oleh lelaki melebihi kadar peluh yang dikeluarkan oleh wanita semasa mereka mengambil bahagian dalam latihan sukan.
Dalam kajian itu mereka mendapati walaupun kedua-dua lelaki dan wanita minum sejumlah air dalam kuantiti yang sama, namun kadar peluh wanita hanya 0.57 liter sejam dibandingkan dengan kadar peluh lelaki iaitu 1.12 liter sejam.
Jadi tidak benar wanita mengeluarkan peluh lebih banyak dari lelaki.
Rujuk: ‘Gender differences in the sweat response during spinning exercise’. Hazelhurst, Lyntont, Claassen, Nicolaas, Journal of Strength & Conditioning Research: August 2006, Volume 20 – Issue 3
Pakar saintis cuba memahami mengapa wanita tidak menghasilkan peluh yang banyak seperti lelaki. Mereka mendapati walaupun pada kulit seorang wanita mempunyai lebih banyak kelenjar peluh berbanding dengan lelaki, tetapi kuantiti peluh yang dikeluar oleh kelenjar pada kulit seorang lelaki lebih banyak dari yang dikeluarkan oleh kelenjar pada kulit seorang wanita.
Rujuk: Effect of physical training on peripheral sweat production. Buono MJ, Sjoholm NT. Journal Applied Physiology 1988 Aug;65(2):811-4.
Kajian terbaru juga menunjukkan bahawa apabila kita berada di dalam suhu yang tinggi atau senaman kuat , tidak kira apa bentuk tubuh, sama ada banyak lemak pada tubuh atau tidak, wanita tetap berpeluh kurang dari lelaki .
Para saintis di Polish Academy of Sciences in Warsaw, Poland mendapati walaupun wanita berpeluh kurang dari lelaki tetapi masih dapat mengekalkan suhu badan yang normal. Ini adalah kerana wanita adalah kelenjar peluh yang lebih cekap daripada kelenjar peluh lelaki. Mereka dapat menyejuk badan tanpa banyak peluh.
Wallahu a’lam.
KONSULTASI BERSAMA DR ZUBAIDI
Jika berminat mendapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi, boleh klik di link :
https://needsvenue.onpay.my/order/form/20mindrz