ADA APA DENGAN SENDAWA?
Sendawa adalah tindak balas semula jadi tubuh untuk mengeluarkan gas dari perut bagi mengurangkan rasa tidak selesa dan mengelakkan kekembungan.
Kajian menunjukkan individu normal boleh mengalami sendawa sehingga 30 kali dalam sehari.
Punca berlaku sendawa boleh dikategorikan kepada dua iaitu masalah kesihatan dan bukan masalah kesihatan.
Masalah kesihatan ini dikaitkan dengan gejala pedih hulu hati atau ‘gastro-esophageal reflux disease’ (GERD).
GERD ialah gangguan penyakit pencernaan kronik yang berlaku apabila asid dalam perut mengalir semula ke dalam saluran esofagus.
Sekiranya ia berlaku dalam jangka masa yang lama, dinding esofagus akan terdedah kepada keadaan yang dinamakan ‘barrett’s oesophagus’.
Barrett’s eosophagus ialah perubahan sel dinding esofagus yang akan menyebabkan penyakit barah pada masa akan datang.
Malah keadaan ini boleh menjadi lebih teruk jika tidak dirawat dengan segera.
Masalah kesihatan lain yang dikaitkan dengan sendawa ketika perut kosong ialah keradangan perut (gastritis), ulser perut, jangkitan bakteria helikobakter pylori pada perut.
Selain itu, ia juga disebabkan oleh masalah batu karang dalam hempedu dan intoleransi laktosa (tidak berupaya menghadam laktosa).
Sendawa yang biasa tidak memerlukan apa-apa rawatan spesifik. Sebaliknya, jika gejala ini berterusan dengan kerap dalam tempoh seminggu, rawatan lanjut perlu dilakukan.
Proses rawatan perlu dimulakan dengan beberapa ujian seperti ujian darah, ujian ultrabunyi dan ujian ‘oesophago gastro duodenoscopy’ (OGDS) iaitu prosedur pemeriksaan pada bahagian atas salur pemakanan pesakit.
Jika semua ujian klinikal mendapati pesakit mempunyai satu daripada masalah kesihatan berkenaan, rawatan diberikan adalah lebih kepada ubat-ubatan seperti ‘proton pump inhibitor’.
Selain ubat-ubatan, pesakit turut dinasihati supaya mengubah cara pemakanan termasuk mengelak makanan yang menggalakkan penghasilan banyak gas atau angin dalam perut.
Ada tiga cara untuk mengelakkan masalah kerap sendawa. Antaranya :
- Makan secara tenang dan kurangkan bercakap semasa makan,
- Jangan makan dalam kuantiti yang banyak atau membiarkan perut terlalu lapar.
- Elakkan makanan dan minuman yang menghasilkan banyak angin atau gas termasuk makanan yang terlalu masam atau pedas.
Punca sendawa disebabkan BUKAN MASALAH KESIHATAN adalah:
1. Udara yang ditelan semasa makan (aerofagia). Ia boleh berlaku ketika:
i. Makan sambil bercakap
ii. Memakan gula getah
iii. Merokok
iv. Mengalami masalah serangan kebimbangan
v. Menggunakan gigi palsu yang longgar
2. Makanan dan minuman yang menyebabkan sendawa:
i. Kekacang
ii. Kacang
iii. Brokoli
iv. Bunga kobis
v. Pisang
vi. Kobis
vii. Bawang
viii. Roti gandum
ix. Minuman berkarbonat
x. Minuman beralkohol
xi. Minuman tinggi kafein
3. Ubat-ubatan:
i. Ubat tahan sakit daripada kategori ubat anti keradangan bukan steroid (NSAIDs) seperti naproxen, ibuprofen, aspirin, asid mefenamik.
ii. Ubat sembelit seperti laktulosa atau sorbitol.
Semoga bermanfaat.