Advertorial

Sakit Kepala ketika Hamil


“Doktor, bolehkah isteri saya yang hamil makan Panadol yang dijual di farmasi?”

Saya berkerut dahi. Soalan ini seperti soalan perangkap.

“Boleh, asalkan ikut dos yang ditetapkan.”

“Bukan apa doc, isteri saya sudah telan 8 biji panadol pagi ini sebab sakit kepala yang kuat…”

Ya Allah… Sahlah, soalan tadi adalah soalan perangkap. Kalau saya tidak jawab dengan sempurna, berkemungkinan isteri beliau akan terus menelan pil-pil itu sepanjang hari kerana saya yang ‘membenarkannya’.

Bagi orang yang jarang-jarang menghadapi sakit kepala tentu memandang remeh terhadap pesakit yang mengadu sakit kepala. Sakit kepala kadang kala dianggap sebagai satu alasan untuk rehat dan mendapat MC.

Sakit kepala ketika hamil adalah antara ujian terbesar dihadapi oleh mereka. Kebanyakan sakit kepala disebabkan oleh tekanan emosi. Ia biasanya berlaku di awal kehamilan. Ramai yang mengadu mengalami sakit kepala seperti ‘diperah’ (squeezing pain) atau rasa bengal (steady dull ache) di kedua-dua belah kepala atau di belakang tengkuk.

Cuba bayangkan wanita yang menghadapi tekanan di tempat kerja kerja. Apabila balik pula terpaksa mengendalikan rumah tangga, di samping melayan anak-anak yang masih kecil. Secara fisiologi, wanita yang hamil tidak mempunyai kekuatan seperti wanita yang tidak hamil. Oleh itu, tekanan perasaan dan kesedihan menyebabkan mereka sering mendapat sakit kepala.

Bagi wanita yang sering mengalami sakit kepala sebelum hamil, kehamilannya boleh menyebabkan sakit kepala bertambah. Namun bagi setengah wanita yang lain, beliau tidak mengalami sakit kepala di sepanjang kehamilan walaupun sebelum hamil, beliau sering mengalami sakit kepala.

Inilah ujian yang Allah berikan kepada mereka. Mungkin juga cara Allah memberikan kesedaran pada kita menghargai perjuangan ibu ketika hamil. Semua ujian Allah harus dihadapi dengan hati yang tenang (redha) dan tawakal.

Banyak punca-punca sakit kepala. Selain tekanan emosi (stress), punca-punca lain seperti ketagihan kafeine, kurang tidur, terlalu penat, masalah sinus dan alahan, rasa lapar dan kekurangan gula dalam badan, kurang minum air dan dehidrasi, malah masalah mata seperti rabun juga boleh menyebabkan sakit kepala.

“Doktor, adakah jika sering sakit kepala ketika hamil itu merbahaya?” Saya teringat soalan yang ditanyakan di FB saya.

Sakit kepala yang tidak merbahaya selalunya bermula di awal kehamilan, iaitu apabila usia kehamilan masih lagi kurang dari 13 minggu. Selalunya sakit kepala akan beransur-ansur hilang apabila memasuki usia kehamilan trimester kedua setelah beliau telah mencapai keseimbangan hormon dengan syarat sakit kepala tidak berkaitan dengan tekanan darah yang tinggi.

Oleh itu jika seorang wanita hamil sering mengalami sakit kepala dan mempunyai tekanan darah yang tinggi, ia bukanlah suatu sakit kepala yang biasa. Pemeriksaan yang teliti harus dilakukan kerana risiko yang boleh meragut nyawa ibu dan anak.

Ramai wanita yang menghidap penyakit hypertension (tekanan darah tinggi) dan hamil, mengalami sakit kepala yang berterusan. Nasihat saya bagi wanita yang mempunyai penyakit hypertension, perlulah berjumpa doktor untuk memastikan tekanan darahnya terkawal.

Namun begitu ada wanita yang mula menghidap penyakit darah tinggi apabila usia kehamilan memasuki minggu ke 20. Keadaan ini disebut pregnancy-induced hypertension, atau dalam bahasa mudahnya ialah penyakit tekanan darah tinggi akibat kehamilannya. Mereka juga harus mendapatkan rawatan dari doktor dan tidak boleh bergantung pada ubat yang dibeli dari farmasi saja.

“Bagaimana pula dengan migrain?”

Migrain juga merupakan punca sering sakit kepala. Namun begitu, migraine haruslah diberikan diagnosanya oleh doktor, kerana bukan semua sakit kepala disebabkan migrain. Pengalaman saya dengan pesakit yang mengalami sakit kepala, kebanyakan mereka ‘didiagnosa’ migrain oleh rakan-rakan mereka.

“Oh, migrain kot.. kau belilah ubat migrain di farmasi” …

Ramai rakan Fb saya yang mengadu sakit kepala yang berpanjangan, tetapi tidak menjalani pemeriksaan doktor. Jika tidak diketahui punca sakit kepala, bagaimana ubat yang dibeli dapat mengurangkan sakit kepala?

 

Sakit kepala atau migrain?

Migrain ketika hamil adalah suatu keadaan yang agak rumit. Ini kerana migrain bukanlah sakit kepala yang ringan. Sakit kepala akibat migrain tidak dapat dikurangkan dengan pil panadol.

Sakit kepala akibat migrain boleh berlangsung hingga beberapa jam. Jika tidak diberikan rawatan, ia boleh berlangsung hingga beberapa hari. Sakit kepala bertambah kuat apabila menjalankan aktiviti fizikal. Ia boleh menyebabkan loya, muntah, sensitif pada cahaya dan suara bising.

Satu hal yang membezakan migrain dengan sakit kepala yang biasa ialah migraine mempunyai aura. Maksud aura ialah sebelum seseorang merasakan sakit kepala akibat migraine, pesakit sudah merasakan bahawa ‘tidak lama lagi migrain akan menyerang’.

Ini kerana sebelum migrain memyerang, banyak perubahan neurochemical yang berlaku dalam salur darah di kepalanya, mengundang pelbagai perasaan. Antaranya pesakit mungkin akan melihat silauan cahaya atau mungkin kawasan gelap (blind spot) dalam pandangannya. Pesakit juga boleh merasa kebas pada anggota tubuh dan adakalanya berasa sakit seperti jarum menyucuk.

Dalam keadaan yang teruk, pesakit mungkin berasa lemah badan dan sukar untuk bertutur. Tanda-tanda ini boleh muncul beberapa jam sebelum merasa sakit kepala yang kuat.

Ramai yang bertanya saya punca migrain. Saya sendiri sukar menyatakan punca-punca migraine kerana punca-punca migrain tidak sama untuk semua orang. Professor yang mengajar saya dulu mengatakan, bahawa apa-apa sahaja boleh menjadi punca migrain. Ia disebabkan oleh pelbagai punca.

“Anything under the sun” itu kata professor saya.

Kebiasaannya punca sakit kepala akibat migrain ialah memakan atau minum minuman berperisa coklat, kopi yang mengandungi kafeine, makanan yang mengandungi MSG (monosodium glutamate) dan nitrates, pemanis tiruan Aspartame, yang biasa digunakan oleh pesakit diabetic (nama lain : NutraSweet dan Equal).

Namun begitu cara terbaik untuk mencari punca sakit kepala akibat migraine ialah dengan cara merekod dalam diari dan kemudian bincanglah dengan doktor yang merawat.

Setiap kali sakit kepala haruslah menulis:

  1. Secara spesifik tentang kesakitan: di mana rasa sakit, bagaimana rasanya,  adakah ia bertambah apabila terdapat silauan cahaya dan suara yang bising dan
    adakah sakit kepala disertai dengan muntah?
  2. Bila masa kesakitan itu bermula dan berakhir?
  3. Nyatakan jenis makanan dan minuman yang diambil dalam masa 24 jam yang lepas. Banyak makanan dan minuman boleh menyebabkan migrain.
  4. Adakah sakit kepala berkaitan dengan hijrah tempat yang baru, perubahan cuaca atau mahu mencuba makanan yang baru. Sebagai contoh ada beberapa teman yang diserang migraine apabila mencuba shushi yang kaya dengan seafood.
  5. Mungkin sebelum ini pernah berjumpa dengan mana-mana doktor. Nyatakan nama ubat-ubatan yang pernah dicuba, sama ada ia berkesan atau tidak.


Terlalu sukar untuk saya membantu pesakit migrain yang hamil kerana kebanyakan ubat untuk migrain memberikan kesan tertentu pada bayi dalam rahem. Oleh itu ubat-ubatan untuk migraine, haruslah diambil setelah berbincang dengan doktor. Doktor akan memberikannya jika manfaat bagi melegakan sakit kepala melebihi daripada kemudharatan. Doktor juga akan mengawasi kesan ubat pada bayi.

Walau bagaimana pun, ubat panadol atau acetaminophen adalah ubat yang paling selamat. Sungguh pun begitu, ia harus diambil mengikut dos yang ditetapkan. Mengambil panadol secara berlebihan juga boleh memberikan kesan buruk pada ibu dan bayi dalam rahem.

Saya ada menulis mengenai penggunaan paracetamol dan acetaminophen ketika hamil di http://drzubaidi.com/blog/?p=1308.

Ubat-ubat penahan sakit yang lain seperti aspirin dan ibuprofen, tidak digalakkan digunakan oleh wanita yang hamil. Jika sakit kepala berterusan dan tidak boleh menahan kesakitan, pesakit haruslah membuat pemeriksaan.

Bagi pesakit yang mengalami sakit kepala yang sederhana, ada beberapa tips boleh digunakan untuk mengurangkan sakit kepala. Antaranya ialah :

Tips mengurangkan sakit kepala:

  1. Elakkan punca sakit kepala berdasarkan catatan diari yang telah dibuat
  2. Boleh gunakan air panas (dengan suhu yang sederhana) untuk menuam pada tengkuk atau bahagian kepala yang sakit.
  3. Mandi air panas boleh membantu mengurangkan sakit kepala untuk seketika
  4. Jangan berlapar. Apabila tahap gula menjadi rendah, boleh menyebabkan sakit kepala. Makan dengan kuantiti yang sedikit tetapi kerap.
  5. Banyakkan minum air bagi mengelakkan dehidrasi. Minum perlahan-lahan dengan kuantiti sedikit tetapi kerap bagi mengelakkan muntah.
  6. Berehat apabila penat.
  7. Pastikan cukup tidur. Tidur waktu tengah hari boleh mengurangkan sakit kepala. Jika sedang mengalami sakit kepala, tidur di bilik yang sunyi dan gelap.
  8. Bagi sesetengah wanita, pergerakan fizikal yang sederhana membantu mengurang sakit kepala. Namun jika riadah menyebabkan sakit kepala bertambah kuat,  elok banyakkan rehat.
  9. Boleh cuba berurut perlahan-lahan di bahagian tengkuk, bahu dan belakang. Elakkan berurut di bahagian abdomen.
  10. Amalkan zikir dan membaca al quran terutama ayat-ayat ruqyah.

Banyak kajian psychology yang mendapati pesakit yang redha dengan sakitnya dan banyak berdoa dapat mengurangkan kesakitan yang dialami. Ini kerana kesan kepercayaan dan pergantungan kita kepada kuasa yang lebih besar mampu merangsangkan pengeluaran endorphine dalam otak.

Endorphins adalah biokimia neurotransmitter yang berada dalam otak, mampu mengurangkan kesakitan seperti mana tindakan morphine mengurangkan kesakitan. Oleh itu banyaklah berdoa dan mengadu kepada Allah agar dapat dikurangkan kesakitan kerana Allah jugalah Tuhan yang menyembuhkan.

Wa allahu a’lam.

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (251011)

2 comments

  1. terima kasih…. info yg bnyak membantu… pastu 1 lg yg buat saya teruskan membaca adalah krn doktor selalu ingatkan pmbaca tentang allah…alhamdulillah…thanks again…

  2. assalammualaikum dr, saya ingin bertanya dr masalah yang saya alami, saya mengalami sakit kepala yang berpanjangan dan tiada kurangnya walau memakan ubat yang di saran oleh dr, di klinik kesihatan sepanjang saya membuat pemeriksaan kesihatan kehamilan,namun setelah menjalankan ujian darah dr mengesahkan saya mengalami kekurangan darah,namun begitu saya mencuba ubat-ubatan yang di sarankan oleh dr, namun hasilnya tetap menghampakan.sekarang apa patut saya buat untuk menyelamatkan kandungan saya?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top