Perlukah Suntikan Anti Tetanus Ketika Hamil?

Klinik FB saya sekali lagi memilih soalan yang berkaitan dengan kehamilan. Suntikan vaksin Tetanus selalu diberikan kepada ibu yang hamil. Memandangkan jangkitan tetanus semakin berkurangan, adakah suntikan itu masih relevan?

”Salam doctor, saya ingin bertanya. Saya sekarang ini hamil 7 bulan. Saya menjalani pemeriksaan antenatal di klinik kerajaan dan ada kalanya di hospital swasta.

Minggu ini, jururawat di klinik kerajaan telah memberiksan saya suntikan anti-tetanus. Satu lagi suntikan akan diberikan pada bulan depan. Saya menjadi keliru bila doktor di hospital swasta berkata saya tidak memerlukan suntikan itu. Perlukah saya menerima suntikan kedua pada bulan depan?”

Suntikan tetanus adalah vaksin yang disuntik untuk mengurangkan kebarangkalian mendapat jangkitan tetanus. Tetanus adalah jangkitan kuman yang boleh membawa maut disebabkan oleh toxin (racun) dari kuman yang dikenali sebagai Clostridium tetani

Kuman tetanus boleh memasuki tubuh melalui luka yang terbuka. Ia akan merosakan sistem saraf dan seterusnya membunuh pesakit. Namun ianya boleh dicegah melalui suntikan vaksin.

”Saya bukannya mengalami luka kemalangan. Cuma melahirkan bayi saja. Lagi pun bukankah doktor menggunakan peralatan yang bersih..”

Memang betul, bukan luka kemalangan. Namun begitu selepas melahirkan bayi secara normal, masih terdapat luka pada faraj (luka episiotomy).

Beberapa puluh tahun dulu,  tidak banyak hospital dibuka di Malaysia. Ramai rakyat kita yang masih tinggal di kawasan pedalaman yang jauh dari hospital.

Ramai bayi dilahirkan dengan bantuan bidan di kampung-kampung di pedalaman. Mereka menggunakan gunting dan pisau yang dikhuatiri tidak bersih dan mempunyai kuman. Ketika itu banyak kes jangkitan tetanus di kalangan bayi yang baru dilahirkan dan ibu yang masih dalam pantang.

Jadi WHO telah merangka satu polisi yang mewajibkan suntikan vaksin tetanus pada ibu yang hamil. Polisi yang diamalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengurangkan kadar kematian ibu dan bayi yang dilahirkan.

Berapakah suntikan yang diberikan?

Vaksin Tetanus Toxoid (TT) diberikan untuk melindungi ibu hamil dan anak yang bakal dilahirkan. Antibodi yang dibentuk di dalam badan akan dihantarkan ke bayi untuk melindunginya sehingga beberapa bulan selepas dilahirkan. Ia juga menghalang kelahiran pramatang.

Jika ini adalah kehamilan pertama, sekurang-kurang dua kali suntikan yang diberikan. Suntikan pertama diberikan pada awal kehamilan dan dos yang kedua diberikan pada selepas sebulan atau dua bulan selepas dos pertama.

WHO mencadangkan agar suntikan ketiga diberikan selepas enam bulan suntikan kedua diambil agar dapat memberikan perlindungan sekurang-kurangnya lima tahun. Walaubagaimanapun ia tidak diamalkan di Malaysia.

Jika ini adalah kehamilan kedua, dan jarak kehamilan ini kurang dua tahun dari kehamilan pertama, satu suntikan booster dos akan diberikan.

”Tapi saya bercadang untuk lahir di hospital..”

Suntikan vaksin tetanus ini semakin tidak relevan pada masa sekarang kerana banyak hospital telah dibina. Peralatan yang digunakan juga bersih dan ‘basmikuman’. Jadi risiko untuk mendapat jangkitan kuman tetanus telah berkurangan, dan hampir ‘zero’.

Apatah lagi kesan sampingan bagi suntikan ini menyakitkan. Saya pernah merasa suntikan ketika di universiti, akibat terjatuh dari motorsikal yang saya naiki. Ianya sungguh menyakitkan.

Suntikan itu juga boleh menyebabkan demam, dan ada kalanya tindakbalas alergi. Jadi ramai gynaecologist di hospital swasta yang tidak memberikan lagi suntikan itu.

Tetapi amalan ini masih lagi diamalkan di klinik kerajaan. Ia mungkin bertujuan mengurangkan risiko jika ibu yang hamil itu tinggal di kawasan pedalaman.

Saya sendiri tidak menegah jika ibu yang hamil itu menolak suntikan ini jika yakin akan melahirkan bayi di hospital dan sanggup menanggung risiko.

Tetapi manalah tahu tanpa dirancang, seorang ibu boleh melahirkan anak di dalam kereta, di lif bangunan dan sebagainya. Jangkitan kuman boleh berlaku. Jadi lebih elok saja menerima suntikan itu lagi pula ia diberikan secara percuma di klinik kerajaan.

Allahu a’lam.

 

Susunan Dr Zubaidi Hj Ahmad (080211)

  5 comments for “Perlukah Suntikan Anti Tetanus Ketika Hamil?

  1. jamilah binti abdul hamid
    03/03/2011 at 11:50 am

    doc:sy nak tnya..kalau 2 kehamilan terdahulu sy tdk mengambil apa2 suntikan tetanus,bagaimna kalau kehamilan ke3 nnti..berapa dos sy perlu ambil dan di klinil biasa ada suntikan ini kah?

  2. Andy
    19/09/2011 at 6:31 pm

    Isteri saya mengandung untuk kali pertama. Pada minggu lalu saya membawa isteri saya ke klinik dan telah diberikan suntikan tetanus sebanyak 1.0cc oleh salah seorang Jururawat bertugas. Persoalannya di sini, apakah kesan terhadap ibu dan kandungan jika terlebih pemberian cc tetanus tersebut? Terima kasih.

  3. wan suhaidasliza
    21/04/2012 at 11:19 am

    assalamualaikum, doktor saya ingin bertanya bilakah usia kandungan yang sesuai untuk memberi suntikan tetanus kepada ibu hamil…

  4. 23/06/2012 at 4:41 pm

    Sekiranya suntikan dos kedua dlm tempoh 3mgu sahaja..apakah kesannya kpd bayi.?

  5. jessie wee
    28/06/2012 at 1:00 pm

    selamat pagi doktor,saya ingin tahu,saya sekarang mengandung 9bln,anak ke-2.jarak 7th dgn anak pertama.saya belum mendapatkan suntikan vaksin tetanus ini kerana saya menbuat chekup kat klinik swasta selama ini.Adakah sempat lagi saya inginkan dapatkan suntikan vaksin tetanus ini.Harap doktor dapat reply….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *