Baru-baru ini seorang sahabat membawa anaknya yang baru berumur 2 tahun berjumpa saya. Dia meminta saya memeriksa lidah anaknya. Apabila saya meminta membuka mulut dan menggerakkan lidah, didapati lidah anak itu tidak dapat digerakkan sebebasnya.
Saya dapat melihat selaput pendek di bawah lidah yang melekat pada lantai mulutnya. Ini menyebabkan hujung lidah tidak boleh diangkat ke lelangit dan tidak boleh digerak ke kanan dan ke kiri dengan mudah. Apabila saya memintanya menjelir, lidahnya tidak dapat dikeluarkan dengan sepenuhnya dan terdapat lekukan pada hujung lidah.
Keadaan ini dinamakan “tongue-tie”, atau dinamakan “ankyloglossia” di mana lidah tidak dapat digerakkan sebebasnya kerana terdapat selaput yang pendek melekat antara lidah dan lantai mulut. Selaput ini dinamakan frenulum. Akibat pergerakan lidah yang terbatas, masyarakat Melayu kita menamakan sebagai ‘pendek lidah’.
“Tongue-tie” boleh dikesan selepas kelahiran apabila secara rutin doktor meletakkan jarinya di bawah lidah bayi. Namun begitu ada kalanya ia sukar dikesan sehingga bayi itu membesar dan mengalami kesukaran menyusu.
Rakan saya amat risau dengan masa depan anaknya, bimbang anaknya akan menjadi pelat dan mengalami rasa rendah diri di sekolah akibat diejek oleh rakan-rakan.
Dalam kes yang sederhana, keadaan ini tidak mengganggu perkembangan fizikal bayi. Namun dalam kes yang agak teruk, lidah bayi melekat pada lantai mulut dan hampir tidak dapat digerakkan langsung.
Dalam keadaan ini, bayi akan mengalami berat badan yang tidak mencukupi kerana menghadapi kesukaran ketika menghisap susu badan atau botol. Lidah yang mempunyai peranan penting dalam proses menelan, tidak dapat menolak susu ke dalam kerongkong. Kesukaran ini menyebabkan bayi itu tidak mempunyai minat untuk menyusu dan makan.
Oleh kerana tidak dapat meletakkan lidah pada posisi yang betul, puting susu tidak dapat diletakkan di rongga mulut dan sering kali terlepas dari mulutnya. Untuk mengatasi ini, tanpa disengajakan bayi menggigit puting susu ibunya menyebabkan kesakitan pada puting dan emosi ibu akan merasa tertekan setiap kali menyusukan anaknya.
Soalan yang selalu ditanyakan kepada saya, adakah bayi mereka akan mengalami masalah pertuturan. Kebanyakan kita yang mungkin mudah membuat tanggapan bahawa ‘tongue-tie’ menyebabkan masalah pertuturan.
Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Messner and Lalakea, mereka mendapati hanya anak yang mengalami masalah ‘tongue-tie’ yang teruk akan mengalami pertuturan pelat terutama ketika menyebut huruf ‘R’ dan ‘L’ kerana hujung lidah tidak dapat diletakkan pada hujung gigi. Jadi apabila menyebut ‘L’ akan menjadi ‘W’ seperti menyebut “lupa” menjadi “wupa”.
Mereka berpendapat bahawa kanak-kanak yang mempunyai masalah bertutur yang berkait rapat dengan ‘tongue tie’, akan dapat diperbaiki dengan menjalankan pembedahan.
Walaubagaimanapun kajian ini mendapati kanak-kanak ini tidak mengalami masalah lambat untuk bercakap atau masalah gagap.
Persoalan seterusnya ialah perlukan mereka diberikan rawatan pembedahan? Saya sendiri tidak mengesyorkan sebarang pembedahan kecuali jika bayi itu mengalami kesukaran untuk menyusu, sukar menelan cecair atau bertutur dengan baik (pelat). Ada doktor hanya menasihatkan agar ‘tunggu dan lihat’ terutama jika bayi itu tidak mengalami masalah-masalah itu.
Pembedahan kecil yang dinamakan frenotomy, boleh dilakukan sama ada menggunakan bius atau tidak. Selalunya pendarahan selepas pembedahan agak minimal dan akan berhenti selepas beberapa minit. Jarang sekali berlaku komplikasi seperti jangkitan kuman atau luka yang lambat sembuh. Jika kanak-kanak itu sudah besar, pembedahan mungkin lebih kompleks dan memerlukan bius kerana saluran darah telah terbentuk di dalam selaput frenulum itu.
Jadi sama ada bayi atau kanak-kanak itu memerlukan pembedahan kecil atau tidak, bukanlah satu keputusan yang mudah. Dalam segala hal, sentiasalah mengutamakan kebaikan daripada mudharat. Jika ia menggangu penyusuan dan pertuturan, maka lakukanlah pembedahan itu.
Wallahu a’lam.
Susunan: Dr Zubaidi Bin Ahmad (211011)
Rujukan:
- Messner AH, Lalakea ML (2002). “The effect of ankyloglossia on speech in children”. Otolaryngology–head and neck surgery : official journal of American Academy of Otolaryngology-Head and Neck Surgery 127 (6): 539–45.
- Horton CE, Crawford HH, Adamson JE, Ashbell TS (1969). “Tongue-tie”. The Cleft palate journal 6: 8–23.
salam dr,sy juga mempunyai masalah pelat huruf “r” dan kini saya sudah berumur 21 tahun.. tetapi lidah sya bukan lidah pendek,lidah saya normal seperti orang tetapi lidah saya amat sukar bila nak sbut “R”,conthnya bila sya nk sebut “lori” jadi loli..jadi adakah terdapat rawtan untk org yg pelatr “r” mcm sya ni..di antara masalah yg sya hadapi akibt pelat “r” ini antranya:mslh komunikasi dngn orang,tidak dapat membaca al-quran dgn btul..
sekiranya ada rawatan untuk masalah pelat “r” ini harap doktor boleh beritahu saya tempat untuk menjalani rawatan itu.saya rasa tertekan dengan masalah pelat yang dihadapi oleh saya sekarang lebih-lebih lagi ketika hendak bercakap di khalayak ramai.HARAP DR BOLEH BANTU SAYA DALAM MASALAH INI.
salm doktor .. sy menpunyai masalah yg sama yg doktor cakap tulis d atas,, sy tgk lidah sy ade urat bawah lindah perlu dbedah rasanya. tp doktor kena check dlu la….doktor leh pm ke email sy concant doktor utk sy nk mintak nasihat doktor.. plezz doktor yer.
salam doktor…anak saya berumur 3 tahun,dan masih belum pandai bercakap walaupun sepatah..semasa umurnya 1 tahun 8 bulan,dia diserang demam panas dan mulutnya penuh dengan ulse….doktor kata dia diserang kises diseas…so saya nak tau adakah anak saya mengidap tongue tie?