Advertorial
Lelaki dan Kesuburan

Lelaki dan Kesuburan

Kerana ego, ramai lelaki yang agak takut untuk melakukan pemeriksaan bagi menyelesaikan masalah ketidaksuburan. Sesetengah lelaki menganggapnya sebagai langkah mempersoalkan ’kejantanan’ mereka. Belum lagi disahkan sebagai lelaki mandul yang tidak mampu mendapatkan zuriat.

Tidak ada seorang lelaki pun yang mahu mengaku dirinya dalam keadaan begitu. Perkataan ’mandul’, sesolah-olah dekat dengan perkataan ’pondan’. Ia sangat pahit untuk ditelan bersama keegoan lelaki.

Maka lebih mudah menuduh isterinya yang mengalami masalah ketidaksuburan. Masyarakat pula lebih mudah menerima jika wanita yang menjadi puncanya.

Jika lelaki penyebabnya, istilah ’lelaki mandul’ sendiri seolah-olah telah merabakkan institusi kelelakian. Lelaki lain tentu tidak dapat menerima kehadiran lelaki sebegini di dalam pergaulan mereka.

Beliau akan dipinggirkan dan dipandang hina. Malah diperli dan ditertawakan. Apatah lagi jika dia menjawat jawatan yang tinggi dalam masyarakat, nescaya ianya sesuatu yang terlalu pahit untuk ditelan.

Oleh itu lebih baik menyuruh si isteri sahaja yang menjalani rawatan dan pemeriksaan, atau menjadikan alasan ”takdir” sebagai escapism yang terbaik.

Takdir atau bebal?

Baru-baru ini saya diminta memberikan penerangan kepada sepasang suami isteri yang belum dikurniakan zuriat. Mereka telah berkahwin selama lima tahun. Saya menerangkan bahawa kemandulan itu bukan disebabkan boleh pihak wanita sahaja, tetapi mungkin juga di pihak lelaki.

Suaminya yang menjadi guru pengajar seni mempertahankan diri mula memandang saya dengan pandangan tajam. Dia melentikkan misai dan mengurut-urut janggutnya, seolah-olah tidak dapat menerima penerangan saya.

”Aku ni guru persilatan Melayu, misai melentik dan janggut panjang masakan mempunyai sifat ’pondan’ tidak mampu mendapatkan zuriat. Doktor jangan menuduh saya mandul !” itulah agaknya bisik hatinya.

Saya hanya menjeling-jeling tangannya yang mula dikepul-kepulkan. Bimbang tak semena-mena ‘buku lima’ hinggap di muka saya. Hadiah dari sebuah ’keegoaan’.

Saya menerangkan lagi bahawa ketidaksuburan boleh berpunca dari lelaki, atau wanita sahaja atau kedua-duanya sekali. Jadi suami dan isteri perlulah datang untuk pemeriksaan bagi memudahkan rawatan.

”Doktor tahu tak, kami sebenarnya telah ditakdirkan untuk tidak mempunyai zuriat !” tiba-tiba suara garau bernada tinggi dari si suami mencelah.

Tak guna semua ini, kalau itu sudah nasib kami!”

Saya terkebil-kebil mendengarkan hujah penolakan dari si suami. Ini escapism atau bebal?

Saya masih mengingati kata-kata As Syeikh Walid bin Rasyid al Su’aidan, dalam kitab ”Isu-isu Perubatan Fiqh semasa” memberitahu berubat dengan berjumpa doktor ketika sakit sebagai mengambil sebab untuk sembuh, adalah termasuk dalam tawakal.

Namun dalam mendapat kesempurnaan tawakal hendaklah berkeyakinan bahawa Allah yang menyembuhkan penyakit. Doktor dan ubatnya tidak lebih dari sebab-sebab yang dimudahkan Allah kepada makhluknya. Mereka adalah jalan sunatullah yang berada di bawah kekuasaan Allah.

Kita akan menjadi syirik apabila meyakini bahawa ubat dan doktor sajalah yang menjadi punca segala kesembuhan, tanpa menyandarkannya kepada Allah.

Oleh itu mendapatkan rawatan adalah suatu perbuatan yang tidak bertentangan dengan qadar. Allah SWT menentukan qadar segala sesuatu (dalam kes ini, masalah ketidaksuburan) dan dalam masa yang sama memerintahkan kita mengambil sebab-sebabnya untuk menyelesaikannya (dengan mencari rawatan).

Setiap sesuatu masalah, musibah dan ujian Allah, telah dimudahkan untuk menyelesaikannya. Jika kita dalam qadar lapar, diselesaikan dengan qadar makan. Qadar sakit pula diselesaikan dengan mencari rawatan.

Umar r.a pada ketika berlakunya wabak taun dalam sebuah pekan mencari penyelesaiannya dengan tidak melalui pekan itu dan berkata ”Kita lari dari qadar Allah kepada qadar Allah”. Beliau tidak berserah saja kepada ’nasib’ dengan singgah ke pekan itu.

Maka kata-kata “Kalau sudah ditakdirkan hendak kena penyakit, maka kita akan kena juga” adalah salah kecuali kita telah berusaha untuk mengelakkan penyakit itu.

Maka mencari rawatan bagi ketidaksuburan bukanlah sesuatu yang melanggar hukum. Malah digalakkan bagi kita menyelesaikan masalah ini dengan membuat pemeriksan dan mendapatkan rawatan supaya tidak timbul nanti tuduh-menuduh antara kedua pihak.

Jika dahulu kemudahan perubatan amat terhad, banyak kes ketidaksuburan yang tidak dapat dirawati. Namun kini kita mempunyai teknologi moden yang canggih. Dengan izin Allah, masalah ini akan dirawati.

Ramai juga pesakit yang kurang yakin berubat dengan rawatan moden. Mereka bimbang ianya akan menyalahi kaedah fiqh perubatan Islam.

Menurut “Kitaab Majmoo’ Fataawa wa Maqaalaat Mutanawwi’ah li Samaahat”, (vol. 8, muka surat 423),  al-Shaykh al-‘Allaamah ‘Abd al-‘Azeez ibn Baaz memberitahu ketika menjawab soalan yang sama, “Sepanjang pengetahuan saya, tidak salah untuk seseorang berdoaYa Rabbi (wahai Tuhanku)! Berikan daku daripada sisi-Mu (Allah) keturunan yang baik, sesungguhnya Engkau (Allah) adalah al-Sami’ (Maha Mendengar) akan doa’.”

Beliau juga menasihatkan agar pesakit pergi berjumpa dengan doktor pakar kerana mungkin kemandulannya bukanlah sesuatu yang semulajadi tetapi disebabkan oleh masalah (penyakit) yang boleh diubati. (rujukan http://islamqa.com/en/ref/10097/infertile)

Shaykh ‘Abd-Allaah ibn Jibreen pula menjelaskan bahawa Islam membenarkan bagi lelaki atau wanita untuk mendapatkan rawatan dengan syarat ubat yang digunakan dibenarkan oleh syarak dan ia memberikan kesan baik terhadap penyakit yang dideritainya (mandul). (rujukan  http://islamqa.com/en/ref/13345/infertile)

 

Kemandulan lelaki mudah dikesan

Jadi mendapatkan rawatan moden bukanlah menjadi isunya lagi. Tetapi keegoan lelaki yang menjadi penghalang bagi si lelaki itu memberi sokongan kepada isteri (jika isterinya yang bermasalah) atau lelaki itu sendiri yang tampil mendapatkan rawatan.

Ramai lelaki yang cuba mengelak dari berbincang isu ini. Ianya seolah-olah ianya mahu ditanam di dalam sejarah hidupnya dan tidak mahu dibuka sampai bila-bila.

Paling malang si isteri dipaksa menjalani rawatan dan pemeriksaan yang kompleks. Si isteri terpaksa menjalani pemeriksaan darah, pemeriksaan ultrasound dan pembedahan lap and dye bagi menentukan ketidaksuburan mereka. Kos rawatan juga mahal.

Berbanding dengan lelaki yang hanya perlu memeriksa air mani (semen)nya. Kosnya murah dan keputusannya tidak sampai sehari.

Apa gunanya jika si isteri menjalani pemeriksaan dan rawatan yang kompleks dan mahal, jika si suami mempunyai benih lelaki (sperma) yang kurang. Maka saya mencadangkan bagi pemeriksaan dan rawatan kesuburan, sebaiknya pihak lelaki dahulu yang menjalani pemeriksaan.

Masalah kesuburan yang biasa berlaku pada lelaki ialah kekurangan sperma yang baik (oligosperma), atau langsung tiada sperma (azoosperma). Ianya amat merunsingkan kerana jika wanita yang menghadapi masalah ketidaksuburan yang teruk, seorang lelaki Islam dibenarkan untuk berkahwin lagi.

Namun jika lelaki yang mengalami kesuburan yang teruk seperti azoosperma, bagaimana pula? Tidak guna dia berkahwin lagi jika dia tidak mampu memberikan sperma untuk disenyawakan.

Pertanyaan yang harus dijawab ialah adakah pesakit azoosperma tidak berpeluang mempunyai zuriatnya sendiri? Adakah ini takdir atau suatu qadar yang harus diubah dengan usaha dan doa?

Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan azoosperma. Bagi seorang lelaki yang bermisai lentik dan berjanggut panjang seperti pengajar seni persilatan tadi, saya percaya sperma telah dihasilkan namun ianya tidak dapat disalurkan keluar ketika pancutan. Ini disebabkan oleh sumbatan pada saluran sperma (vas deferens) atau epididymis.

Antara punca sumbatan ialah jangkitan kuman yang menyebabkan parut pada saluran itu. Parut ini yang menyebabkan saluran menjadi sempit dan adanya menghalang penghantaran sperma dari kantung air mani (testis) ke luar ketika pancutan.

Faktor kecederaan ketika bersukan juga menyebabkan saluran vas deferens boleh tersumbat. Ketika seorang pesilat sedang bertarung, mungkin dia mengalami kecederaan di kemaluan akibat disepak oleh lawan. Pendarahan di testis akhirnya menyebabkan parut dan seterusnya menyebabkan kesumbatan.

Dengan teknologi terkini, sperma diambil terus dari testis. Saya tidak mahu menceritakan secara detail bagaimana cara sperma diambil tetapi saya suka memberikan harapan kepada lelaki seperti ini, bahawa mereka mampu mendapatkan zuriat sendiri dengan izin Allah.

Kaedah pengambilan sperma ini adalah mudah jika ketidaksuburan lelaki disebabkan saluran vas deferen yang tersumbat (obstructive azoosperma) kerana testis yang berfungsi sebagai kilang yang menghasilkan sperma adalah normal.

Bagi ketidaksuburan lelaki yang disebabkan oleh kegagalan testis (testicular failure) menghasilkan sperma, ianya agak sukar. Ini kerana sperma yang berada di kilang biasanya amat sedikit. Ianya sukar dicari dan diambil.

Berbanding dengan obstructive azoosperma, selalunya terdapat banyak sperma  di testis. Ianya mudah diambil untuk disenyawakan. Pengambilan ini dilakukan dengan cara microbiopsies yang dinamakan TESE (testicular sperm extraction). Ianya dinamakan demikian kerana sperma diambil terus dari kilang testis.

Sperma yang diambil akan terus disenyawakan menggunakan teknik ICSI. Dengan teknik ini satu sperma disuntukkan ke dalam telur wanita ovum untuk menghasilkan persenyawaan. Kebaikan teknik ini ialah ia dapat memastikan sperma itu dapat disenyawakan.

Setelah itu benih yang telah disenyawakan akan disimpan seketika dalam makmal untuk memastikan ianya berkembang dengan baik. Teknik ini dinamakan In vitro fertilization (IVF). Benih yang berkembang dengan baik kemudiannya akan dipindahkan ke dalam rahem ibu.

Gabungan antara TESE, ICSI dan IVF boleh membantu kehamilan, bagi lelaki yang sebelum ini dianggap ’mandul’. Sesuatu yang dulu dianggap mustahil, dengan bantuan sains dan teknologi yang menepati sunatullah, qadar (tidak mempunyai zuriat) dapat diubah.

Lebih baik lagi jika usaha ini disertakan dengan doa dan amalan baik seperti bersedekah dan memperbaiki amalan. Semoga selepas ini lebih ramai lelaki yang mengalami masalah kesuburan tampil untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (131110)

 

Klik sini untuk membaiki kitaran haid yang tidak normal

Klik sini untuk menambahkan kualiti sperma di dalam air mani

11 comments

  1. tq, info yang lengkap padat dan subur .hehe

  2. assalam..
    terima ksh atas info tuan.. tp memandangkan ivf agak mahal adaka cara lain untuk mengatasi bagi phk lelaki menyuburkan atau memperbanyakan spermanya. suami sy memang mempunyai masalah tersebut dan alhamdulillah dia dapat menerimanya dengan baik walaupun saya tahu amat pahit untuk ditelan..sebelum ini doktor memberinya makan pil surbex-zinc.. selepas memakannya dia mendapati semen nya mjadi terlalu cair dan mengakibatkan dia merasa tidak selesa.adaka itu normal? dan boleh ka ketidsuburan lelaki ini dpt diubati hanya dengan memakan ubat atau hanya ivf cara yang terakhir.. sy harap tuan dpt memberi penerangan dgn lebih lanjut..

    • isteri senasib

      as salam..
      sy pun senasib dgn anda..suami sy mempunyai mslah yg same..kalo ada pape perubatan yg bole dikongsi bgtau la ye..mmg setakat ni dr pun cadangkan ivf untuk kami..

  3. salam Dr..saya ingin bertanya. apakah ciri-ciri testis yang subur. saya khuatir kerana saya mempunyai testis yang besar sebelah iaitu testis sebelah kanan. Kadang-kadang, ketika keadaan badan & persekitaran terlalu sejuk, bahagian testis kanan tersebut akan mengalami kesakitan @ kekejangan. Mohon penjelasan Dr..T.Kasih.

    • salam…
      Dr sy dh kwin hampir 4 thun,tpi smpi skrg belum dpt zuriat lgi..bru2 ini sy checkup dh mndapati air mani sy tiada sperma.dulu sy pernah dijangkiti kuman dan telah pulih sediakala,tpi kesan dr jangkitan itu testis sy sbelah kanan agak besar sedikit dr kiri sperti ada sesuatu yg meliputi testis itu…ape yg perlu sy lakukn?..sy telah pergi ke klinik pakar & disyorkn melakukan pembedahan,kosnye juga x kurg hebatnye…tolang sy Dr,..TQ

  4. salam dr,saya ingin bertanya ,bagaimana jika seseorang itu mempunyai sebelah sahaja buah zakar contohnya sebelah kiri sahaja,adalah ia mandul serta tidak boleh mendapat zuriat kelak,bagaimana untuk mengatasinya.sekian

  5. salam ..apakah ada rawatan lain utk kemandulan lelaki selain tese,icsi n ivf?apakah makna sperm x bergerak?tlg bagi respon segera.tq

  6. saya baru lepas membuat pemeriksaan kesuburan. melalui laporan doktor…jumlah air mani saya terlalu sedikit kurang dari 10 dan kebanyakan sperma yang ada tidak aktif@mati…dan melalui perbincangan dengan doktor org spt saya chances utk mendapatkan anak amatlah sedikit walaupun melalui iiu atau ivf kerana sperma tidak ada kekuatan untuk bernyawa lama… apa pndangan doktor terhadap permasalahan saya ini?

  7. salam doktor saya baru membuat checkup kesuburan dan mengesahkan air mani suami saya tiada sperma dan hanya ada biji2 kristal..kenapa boleh ada biji2 kristal tu ya doktor..adakah disebabkan bengok di leher boleh mengakibatkan kerosakan sperma.

    • salam doktor saya baru membuat checkup kesuburan dan mengesahkan air mani suami saya tiada sperma dan hanya ada biji2 kristal..kenapa boleh ada biji2 kristal tu ya doktor..adakah disebabkan bengok di leher boleh mengakibatkan kerosakan sperma

      Dr Zubaidi: Wa alaikum mus salam. Saya tidak dapat memberik komen terhadap “biji kristal” yang saudara maksudkan. Saudara boleh mengahnatar laporan unian air mani kepada saya untuk nasihat lanjut kepada drzubaidiahmad@gmail.com. Saya mengenakan bayaran RM25.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top