Hukum Mengambil Ubat Penahan Haid

Saya serba salah ketika memberikan ubat penahan haid kepada wanita yang mahu mengerjakan umrah di hujung Ramadhan. Beliau mahu terus kekal berpuasa di bulan Ramadhan dan menghidupkan malamnya.

“Doktor, bolehkah saya dapatkan pil kerana saya mahu mengerjakan umrah tidak lama lagi. Kebetulan pula ia bertepatan dengan sepuluh hari terakhir Ramadhan”

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa Islam adalah agama yang sederhana. Islam tidak pernah memaksa kita melakukan di luar keupayaan kita. Apatah lagi jika amalan-amalan itu berupa amalan yang tidak diwajibkan.

Allah berfirman :

“Allah tidak membebani seseorang di luar kemampuannya..” (Surah Al-Baqarah: 286)

Semoga kita tetap memperolehi pahala sepertimana mereka yang beribadat mengerjakan umrah dan berpuasa di Mekah dan menghidupkan malamnya di sana, walaupun di sebalik keterbatasan syari’e yang kita hadapi.

 

Pandangan ulama

Sebelum saya memberikan pandangan dari sisi perubatan, elok juga jika kita mengambil tahu pendapat ulama dalam hal ini.

Terdapat beberapa pandangan ulama silam dan kontemporari dalam membahaskan permasalahan ini. Antaranya ialah pandangan Imam Ahmad sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu Qudamah rahimahullah :

رُوِيَ عَنْ أَحْمَدَ رَحِمَهُ اللَّهُ ، أَنَّهُ قَالَ : لَا بَأْسَ أَنْ تَشْرَبَ الْمَرْأَةُ دَوَاءً يَقْطَعُ عَنْهَا الْحَيْضَ ، إذَا كَانَ دَوَاءً مَعْرُوفًا

Maksudnya : Diriwayatkan dari Imam Ahmad rahimahullah, beliau berkata, “Tidak mengapa seorang wanita mengkonsumsi ubat-ubatan untuk menghalangi haid, asalkan ubat tersebut baik (tidak membawa kesan negatif).” [ Al Mughni, 1/450, terbitan Dar ‘Alam Kutub.]

Dr Yusof al-Qardhawi pula memfatwakan keharusan pengambilan ubat untuk menangguhkan kedatangan haid ini dengan alasan, tiada dalil yang melarangnya. Dan, ia dibenarkan selama mana ubat tersebut tidak mendatangkan kesan sampingan yang memudaratkan. (Ruj: Syeikh al-Qardhawi, Feqhu Shiyam, hal. 40)

Beliau menambah, para ulamak mutaakhirin turut membenarkan pengambilan ubat pencegah haid ini. Syeikh Mar’ie di dalam kitabnya Dalil al-Thalib yang bermazhab Hanbali menyatakan, kaum wanita dibenarkan memakan ubat sama ada bertujuan untuk mendatangkan haid atau menghalang pengeluaran biasanya. Beliau menjelaskan di dalam kitab syarahannya, bahawa asal setiap sesuatu itu adalah harus sehingga ada dalil yang mengharamkannya. Dan, di dalam masalah ini ( mengambil ubat untuk haid ) tiada dalil yang mengharamkannya. [Fiqhu Shiyam, halaman 40]

Walaubagaimanapun, Syeikh Muhammad bin Salih Al ‘Utsaimin rahimahullah berpandangan sebaliknya apabila beliau menyatakan :

“Di dalam masalah ini saya berpandangan bahawa hendaklah wanita tersebut tidak melakukan sedemikian. Sebaliknya, hendaklah dia menjalankan ketetapan Allah yang telah digariskan ke atas setiap wanita. Kebiasaan datang haid setiap bulan di sisi ALLAH memiliki hikmah yang amat banyak jika kita mengetahuinya. Hikmah yang dimaksudkan adalah bahawa kebiasaan datang haid ini termasuk rutin yang normal, di mana haid ini terjadi bertujuan mencegah wanita dari pelbagai bahaya yang dapat memudaratkan dirinya. Para pakar kesihatan telah menjelaskan kesan negatif dari penggunaan ubat seumpama itu, bahkan Nabi SAW juga telah bersabda:

Laa dharara wa laa dhiraar (tidak ada bahaya dalam syari’at ini dan tidak boleh mendatangkan bahaya tanpa alasan yang benar.)” [Sumber: Fatwa Al Islam Soal wa Jawab no. 7416, http://islamqa.com/ar/ref/7416/]

 

Redhalah dengan ketentuanNYA

Saya berpendapat adalah lebih baik jika para Muslimah menerima dengan redha ketentuanNYA, kerana inilah sebenarnya nilai dan ciri wanita yang beriman dan solehah yang dicari ketika kita beribadat.

Ia adalah satu ibadah kerana kepatuhan dengan hati yang tidak berbelah bahagi dalam menerima ketentuan ILAHI. Semestinyalah ketaatan yang dilakukan akan disediakan ganjaran yang setanding dengan mereka yang dapat melaksanakan ibadah umrah dan puasa di bulan Ramadhan di tanah suci.

Banyak amalan lain yang boleh dikerjakan bagi menggantikan solat, tawaf dan membaca Quran. Antaranya :

  1. memperbanyakkan berzikir dengan bacaan tasbih (subhanallah), tahlil (laa ilaha illallah), tahmid (alhamdulillah) dan istighfar.
  2. memperbanyakkan doa dan sedekah
  3. menyediakan juadah untuk orang berbuka

Para muslimat di zaman salafus soleh pasrah terhadap fitrah yang dikurniakan ALLAH ke atas mereka dan mereka redha dengan kedatangan haids di waktu umat Islam lain sedang berlumba-lumba merebut kebaikan akhirat. Mereka tidak pernah menyusahkan diri mereka supaya dapat berpuasa sebulan penuh. Inilah sifat yang perlu dicontohi.

Setiap ketentuan ALLAH pasti ada hikmah yang kita tidak mengetahuinya.

 

Cara menggunakan pil

Oleh kerana hukumnya harus, maka elok juga saya beritahu tentang pil yang boleh menahan haids. Saya bimbang jika saya tidak memberitahu, ramai wanita yang akan berdiskusi sesama mereka dan mengambil pil itu tanpa panduan.

Sebelum itu saya harus nyatakan bahawa pil penahan haids yang dimaksudkan ialah pil yang dikenali sebagai ‘pil perancang kehamilan’. Memang pada asalnya para saintis perubatan mencipta pil ini bagi membantu wanita yang mengalami masalah kitaran haids yang tidak teratur.

Kemudian mereka mendapati bahawa pil itu mempunyai kesan sampingan yang nyata iaitu menghalang kehamilan. Maka ia juga diberikan kepada wanita yang ingin merancang kehamilan mereka. Lalu ia kemudian lebih dikenali sebagai ‘pil perancang kehamilan’.

Dan memang langsung tidak salah apabila dikatakan pil ini boleh digunakan untuk merancang kedatangan darah haids.

Terdapat dua jenis pil perancang yang boleh diambil bagi mencegah kedatangan darah haids. Pertama, pil yang mempunyai hormon progestogen.

Ia haruslah diambil sebanyak tiga kali sehari sehingga tamat tempoh yang dikehendaki. Kemudian ubat itu harus dihentikan dan darah haids akan datang selepas 2-3 hari meninggalkan ubat itu.

Namun cara ini tidak menjamin keberkesanannya 100 peratus. Kadangkala terdapat sedikit darah yang keluar (dikira sebagai darah isthihadah) ketika mengamalkan pil ini. Juga terdapat kesan sampingan seperti kebengkakan payudara, berat badan bertambah akibat air berkumpul dalam badan (fluid retention) dan ada kalanya emosi menjadi bercelaru dan tidak stabil.

Cara kedua ialah dengan mengambil pil perancang yang mengandungi dua jenis hormone estrogen dan progesterone. Pil ini dinamakan sebagai combined oral contraceptive pill, kerana kedua-dua hormone itu berada dalam satu biji pil.

Pil ini harus diambil 2-3 hari sebelum kedatangan darah haids. Pengambilan pil ini diteruskan tanpa berhenti sehingga sampai tempoh yang dikehendaki. Ini bermakna jika pil ini ditinggalkan darah haids akan keluar dengan serta merta.

Namun saya harus mengingatkan para wanita yang mahu mengambilnya, berjumpa dan berbincanglah dengan doktor dahulu. Puan harus diperiksa kerana ada golongan wanita yang tidak dibenarkan mengambilnya (atas masalah kesihatan) dan puan harus diberitahu tentang kesan sampingannya.

Jadi saya tidak bertanggungjawab atas nasihat di dalam blog ini. Ia hanya panduan yang perlu diterangkan dengan lebih lanjut oleh doktor yang memeriksa dan memberikan pil perancang itu ke atas puan.

 

Tauladan dari A’isyah

Pada satu ketika A’isyah r.a didatangi haid sebelum memasuki kota Makkah untuk mengerjakan haji. Beliau sedang menemani Rasulullah SAW mengerjakan haji wada’. Ketika itu, beliau amat sedih dan menitiskan air mata. Lalu Rasulullah SAW bertanya:

“Kenapa kamu menangis?”

“Demi Allah, aku tidak boleh melaksanakan haji pada tahun ini,” jawab A’isyah.

“Apakah kamu sedang dalam haid?” baginda bertanya lagi.

“Benar,” kata A’isyah.

Lalu, Rasulullah SAW bersabda :

فَإِنَّ ذَلِكَ شَىْءٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ ، فَافْعَلِى مَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِى بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِى

Maksudnya : “Yang demikian itu adalah perkara yang sudah Allah tetapkan buat anak-anak perempuan dari keturunan Adam. Maka lakukanlah apa yang dilakukan orang yang berhaji kecuali tawaf di Ka’bah hingga kamu suci.” ( Hadis riwayat Bukhari no. 305 dan Muslim no. 1211 )

Sedarlah, setiap peraturan yang ALLAH SWT tetapkan adalah ujian bagi keimanan kita. Jadi janganlah kita berlebih-lebihan dalam melakukan perkara yang tidak diwajibkan. Andai kata pil yang diambil tidak memberi kesan, anggaplah bahawa itulah ketetapan Allah untuk kita. Tidak perlu berasa rugi dengan apa yang Allah telah tetapkan untuk kita.

Semua usaha berupa niat dan keazaman kita akan dipandang oleh Allah.

 

Wallahu a’lam.

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (260511)

  4 comments for “Hukum Mengambil Ubat Penahan Haid

  1. Ummu Hakim
    07/02/2013 at 10:58 am

    Alhamdulillah. Terima kasih banyak2 atas penerangan ini. Saya telahpun memahami hukumnya tetapi kerana rakus nafsu yang kononnya ingin beribadat sebanyak mungkin di 2 masjid yang diberkati, hampir sahaja saya menelan pil2 tersebut. Saya sekarang lebih yakin, redha dan pasrah dengan apa yang bakal Allah tetapkan ke atas diri saya sepanjang kembara umrah pada 13hb Februari nanti.

    • 08/02/2013 at 9:32 am

      Alhamdulillah. Terima kasih banyak2 atas penerangan ini. Saya telahpun memahami hukumnya tetapi kerana rakus nafsu yang kononnya ingin beribadat sebanyak mungkin di 2 masjid yang diberkati, hampir sahaja saya menelan pil2 tersebut. Saya sekarang lebih yakin, redha dan pasrah dengan apa yang bakal Allah tetapkan ke atas diri saya sepanjang kembara umrah pada 13hb Februari nanti.

      Dr Zubaidi: terima kasih kerana berkongsi pendapat dan pengalaman.

  2. lyiana
    08/02/2013 at 11:59 am

    Terima kasih kasih pd Allah dan doc atas perkongsian ilmu ini di FB kerana sy terlepas pandang artikel ni. Saya juga berkira-kira utk mengambil pil tersebut bagi memaksimumkan ibadah di sana nnt.
    Terima kasih.

    • 08/02/2013 at 4:32 pm

      Terima kasih kasih pd Allah dan doc atas perkongsian ilmu ini di FB kerana sy terlepas pandang artikel ni. Saya juga berkira-kira utk mengambil pil tersebut bagi memaksimumkan ibadah di sana nnt.Terima kasih.

      Dr Zubaidi: terima kasih kerana berkongsi pendapat dan pengalaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *