Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bina Keluarga » Hamil Walaupun Menggunakan IUCD
Hamil Walaupun Menggunakan IUCD

Hamil Walaupun Menggunakan IUCD

“Tahniah, melalui ujian air kencing, kami mendapati puan hamil. Boleh saya tahu bila tarikh haid puan?”

“Haa.. Saya hamil? Tak mungkin sebab saya guna alat perancang. Macam mana saya boleh hamil. Saya tak mahu bayi ini!!”

Terkedu saya mendengar jawapan wanita ini. Apakah ujian air kencing yang dibuat telah memberikan keputusan yang silap?

“Kalau macam itu, apa kata kita lakukan pemeriksaan ultrasound untuk kepastian..” saya sudah hilang kekuatan untuk berfikir.

Nasib baik alat IUCD bukan dimasukkan oleh saya. Saya memang tidak berminat untuk memasukkannya walaupun memasukkan alat IUCD adalah mudah dan dapat dilakukan oleh mana-mana doktor.

“Bagaimana doktor, betulkah saya hamil?” Tanya wanita sebaik saja saya meletakkan probe ke atas abdomennya.

Saya menarik nafas panjang. Di dalam abdomen tidak nampak pun sarung janin, hanya imej IUCD masih berada di dalam rahem. Sementara di skrin ultrasound, saya melihat imej fallopian tiub sebelah kanan bersama sarung dan janin di dalamnya. Degupan jantung juga kelihatan jelas.

“Ya, puan hamil tapi malangnya janin berada di luar rahem. Alat IUCD itu masih berada dalam rahem

Itulah nasib malang yang menimpa wanita itu. Beliau berusaha untuk mencegah kehamilannya namun takdir Allah dia hamil juga.

Saya tidak dapat melakukan apa-apa rawatan terhadap kes seperti ini. Saya merujukkan semula kepada hospital swasta yang memasukkan alat ini agar tindakan susulan dapat diambil.

Intrauterine device atau disebut dengan ringkas IUCD adalah alat pencegah kehamilan yang digunakan oleh wanita untuk jangka masa yang agak lama sekitar 3 hingga 5 tahun. Ia mungkin hanya alat yang diperbuat dari plastik, atau yang dilingkari oleh dawai tembaga.

Walaupun ia dianggap sebagai alat pencegah kehamilan yang agak berkesan, namun kebarangkalian untuk hamil ialah 1 dalam 200 wanita setiap tahun.

Apa yang merisaukan jika berlaku kehamilan, kemungkinan besar kehamilan berlaku di luar rahem (ectopic pregnancy) dan terpaksa digugurkan secara pembedahan. Kehamilan dalam rahem juga boleh berlaku bersama alat IUCD di dalamnya.

Risiko untuk hamil adalah tinggi dalam tahun pertama menggunakan IUCD. Namun begitu kebanyakan mereka yang hamil akan mengalami keguguran dengan sendirinya (spontaneous abortion). Jika ia tidak mengalami keguguran, kehamilan ini boleh diteruskan, tetapi risiko bagi ibu dan bayi amat tinggi ketika memasuki fasa trimester ketiga kehamilan.

Oleh itu jika seseorang wanita itu hamil, IUCD tersebut harus dikeluarkan dengan kadar segera dan doktor akan melakukan pemeriksaan ultrasound bagi memastikan tiada kehamilan luar rahem. IUCD akan dikeluarkan dari rahem dengan menarik benang yang diikat pada IUCD.

Ada juga doktor yang tidak bercadang mengeluarkan IUCD ini jika mendapati alat ini telah ‘terbenam’ pada uri (placenta). Jika ini berlaku kehamilan terpaksa diteruskan tetapi risiko kelahiran pramatang mungkin berlaku.

Jadi bagi wanita yang hamil bersama IUCD di dalam rahem, saya nasihatkan agar mengikuti nasihat doktor sebaiknya. Pemeriksaan berkala harus dijalani.

Bagi wanita yang memakai IUCD pula, walaupun kebarangkalian untuk hamil adalah rendah, namun haruslah segera berjumpa doktor jika terdapat tanda-tanda kehamilan seperti tidak kedatangan darah haid 6 minggu setelah tarikh hari pertama kedatangan haids bulan sebelumnya. Jangan menunggu lebih lama kerana mungkin puan hamil walaupun menggunakan IUCD.

Wallahu a’lam.

 

Susunan Dr Zubaidi Hj Ahmad (260811)

7 comments

  1. yong shahriah

    as salam..
    Dr, sekiranya janin telah mempunyai degupan jantung dan berada di luar rahim terpaksa juga digugurkan? ish..ish.. sedihnyakan, membuatkan saya takut pula nak menggunakan IUCD nie.. saya hanya mahu menjarakkan kehamilan tapi sekiranya ada tidak pula sanggup utk menggugurkannya lebih-lebih lagi kalau dah berdegup jantung..

  2. as slm dr..

    Saya mempunyai soalan yang hampir denagn entry di atas. Saya juga adalah pengguna IUCD sejak dari 26.12.2008. Kini, period saya telah lewat lebih kurang 7 minggu dan saya telah pun membuat ujian kehamilan. Ternyata saya tidak mengandung. Tetapi saya belum lagi berjumpa dengan doktor lain untuk mengesahkan hal ini. Soalan saya, adakah bahaya jika IUCD hendak dikeluarkan pada bukan masa period dan kesan kepada ibu mengandung serta bayi tersebut.
    Sekian, terma kasih dr….

  3. Saya mengandung ketika nak masuk tahun ke2 penggunaan IUCD. Saya dpt kesan kerana lewat datang period ketika kandungan berusia 2 bulan. IUCD saya dikeluarkan dan Alhamdulillah kandungan saya selamat. Sekarang anak saya telah berusia 6 tahun.

  4. Salam.

    Sy br shj melahirkan anak yg ke 4 n kami suami isteri sepakat utk menggunakan iucd. IUCD tlh selamat dipsg pd 18.1.13 nmn stlh sbln sy tidak dpt merasakan benang spt yg diberitahu oleh doktor. Dan sy juga blm period cm sy ada merasakan satu rasa yg kurang selesa di bhgn perut n pinggang spt rasa sengal2. Adakah iucd sy bermasalah? Mohon jwpn dan nasihat dr doktor.

    • Sy br shj melahirkan anak yg ke 4 n kami suami isteri sepakat utk menggunakan iucd. IUCD tlh selamat dipsg pd 18.1.13 nmn stlh sbln sy tidak dpt merasakan benang spt yg diberitahu oleh doktor. Dan sy juga blm period cm sy ada merasakan satu rasa yg kurang selesa di bhgn perut n pinggang spt rasa sengal2. Adakah iucd sy bermasalah? Mohon jwpn dan nasihat dr doktor.

      Dr Zubaidi: Wa alaikum mus salam. IUCD sebenarnya bertujuan sebagai kaedah perancangan sementara dan dibenarkan syarak jika ada sebab-sebab yang dibenarkan. IUCD boleh terkeluar dari rahem, melekat di dinding rahem, malah ada yang menyebabkan kebocoran pada dinding rahem dan masuk ke ruang abdomen. Oleh kerana puan gagal mengesan tali IUCD tersebut, saya mencadangkan puan menjalankan pemeriksaan ultrasound atau xray bagi mengesan kedudukan IUCD itu sekarang. Jika puan merasa tidak selesa dan sengat di pinggang, dibimbangi puan telah mengalami jangkitan kuman di faraj, atau lebih teruk lagi di dalam rahem. Jadi segeralah berjumpa doctor yang memasang IUCD itu.
      Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: